#657: Solat atas Bot

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang kaki pancing dan biasanya saya berada di atas bot selama berjam-jam sehingga kadang-kadang waktu solat sudah pun masuk. Justeru, soalan saya, bolehkah saya solat di atas bot dan jika boleh bagaimanakah caranya?  Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.

Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.” (Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466)

Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.

Selain itu, orang yang menjaga solat juga akan terhindar daripada termasuk dalam kalangan orang yang lalai. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَافَظَ عَلَى هَؤُلاَءِ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَاتِ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ

Maksudnya“Sesiapa yang menjaga solat-solat fardhu, maka dia tidak akan ditulis sebagai orang-orang yang lalai.”

Riwayat Ibn Khuzaimah (1142), al-Hakim (1160) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (2191)

Justeru, amat penting seseorang itu menjaga solat-solat fardhu. Menjaga dan memelihara solat dengan maksud menunaikannya dengan sebaik mungkin, di samping berusaha untuk menghadirkan khusyuk di dalamnya.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, mendirikan solat di atas bot adalah sah sekiranya memenuhi syarat-syarat dan rukun solat yang ditetapkan. Imam al-Nawawi menjelaskan lagi, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menyebutkan bahawa apabila seseorang itu mendirikan solat fardhu di atas kapal, maka dia tidak boleh meninggalkan rukun berdiri jika dia berkemampuan untuk melakukannya sebagaimana ketika berada di daratan. Ini juga merupakan pendapat Imam Malik dan Ahmad. Manakala Imam Abu Hanifah berpendapat dibolehkan untuk tidak berdiri ketika kapal bergerak. Selain itu, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i turut menyebutkan, jika terdapatnya keuzuran seperti mabuk laut dan seumpamanya, maka dibolehkan untuk mendirikan solat fardhu secara duduk. Begitu juga jika angin bertiup dan mengubah arah kapal sekaligus berubah arah kiblatnya, maka wajib ke atasnya untuk menghalakan semula ke arah kiblat dan meneruskan solatnya. (Lihat al-Majmu‘, 3/242)

Terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

سُئِلَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ عن الصلاةِ في السفينةِ : فقال : كيف أُصلِّي في السفينةِ ؟ قال : صَلِّ فيها قائمًا إلا أن تخافَ الغرقَ

Maksudnya:Nabi SAW ditanya berkenaan solat di atas kapal dengan katanya: ‘Bagaimanakah caranya untuk aku solat di dalam kapal?’ Baginda SAW menjawab: ‘Solatlah di dalamnya dalam keadaan berdiri melainkan kamu takut tenggelam.’

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, 3/155

Oleh itu, jelaslah bahawa seseorang yang ingin mendirikan solat fardhu di atas kapal hendaklah memenuhi semua rukun dan syarat sah solat. Dalam erti kata lain, dia hendaklah mendirikan solat dalam keadaan berdiri jika dia berkemampuan untuk melakukannya kerana berdiri adalah salah satu rukun dalam solat. Walau bagaimanapun, jika terdapat keuzuran bagi melakukannya seperti mabuk laut, khuatir akan terjatuh ke dalam air kerana apabila berdiri bot menjadi tidak stabil, atau seumpamanya, maka dia dibolehkan untuk mendirikan solat fardhu dalam keadaan duduk.

Begitu juga dia diwajibkan untuk menghadap ke arah kiblat. Sekiranya kedudukan kiblatnya berubah disebabkan oleh tiupan angin, dia hendaklah menghalakan semula ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dalam mazhab al-Syafi‘i, cara-cara mengetahui kiblat mengikut susunan keutamaan itu ada empat, iaitu:

  • Ilmu pengetahuan sendiri yang meyakinkan, seperti orang yang celik melihat ain Kaabah atau orang buta yang memegang Kaabah.
  • Perkhabaran seorang yang terpercaya dengan pengetahuannya.
  • Ijtihad seperti menggunakan kompas dan seumpamanya.
  • Orang yang bertaqlid kepada ijtihad orang lain. (Lihat I‘anah al-Talibin, 1/145)

Selain itu juga, jika dia dalam keadaan berhadas kecil, dia boleh berwuduk dengan menggunakan air laut atau air sungai kerana kedua-dua jenis air itu termasuk dalam jenis air mutlak yang suci lagi menyucikan. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat fardhu di atas bot adalah dibolehkan dan dikira sah jika memenuhi semua rukun dan syarat-syaratnya. Pada asalnya, seseorang itu hendaklah mendirikan solat dalam keadaan berdiri jika berkemampuan untuk melakukannya. Sekiranya tidak yakni adanya halangan atau keuzuran untuk berdiri ketika mendirikan solat, maka dibolehkan untuk mendirikan solat fardhu dalam keadaan duduk dan solatnya adalah sah serta tidak perlu diulangi.

Manakala berkenaan arah kiblat pula, dia wajib menghadap ke arah kiblat ketika solat fardhu dan sekiranya arah kiblatnya berubah kerana perubahan pada botnya disebabkan oleh tiupan angin, maka dia mesti menghalakan semula wajahnya ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Hal ini adalah bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya:Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.

(Surah al-Taghabun: 16)

Walau bagaimanapun, kami ingin mengesyorkan, jika tiada sebarang halangan dan mampu untuk singgah di daratan bagi mendirikan solat, maka ia adalah lebih baik kerana lebih dekat dengan kekhusyukan tanpa sebarang kekhuatiran terjatuh dalam air dan sebagainya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H