Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum menipu majikan dengan memberikan alasan-alasan palsu untuk keluar pada waktu bekerja? Adakah berkat gaji saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Firman Allah SWT:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah Surah al-Baqarah : 188)
Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)
Bagi menjawab persoalan di atas, kami tegaskan di sini bahawa, menipu adalah perbuatan dosa yang wajib dihindari. Menipu dan berbohong dalam melaksanakan kerja akan menyebabkan gaji dan pendapatan yang diperoleh itu kurang keberkatannya, bahkan diperoleh dengan jalan yang haram.
Kejujuran adalah sifat pekerja yang terbaik. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran al-Karim:
قَالَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا یَـٰۤأَبَتِ ٱسۡتَـٔۡجِرۡهُۖ إِنَّ خَیۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡأَمِینُ
Maksudnya: “Salah seorang anak perempuannya berkata: “Wahai ayah, ambillah dia (Musa) sebagai pekerja. Sesungguhnya sebaik-baik pekerja yang diupah adalah pekerja yang kuat dan jujur.”
(Surah al-Qasas: 26)
Imam Abu Hayyan al-Andalusi berkata: “Perkataan anak perempuan Syu‘aib ini merupakan kalam yang ringkas namun penuh kebijaksanaan. Apabila kekuatan dan sifat amanah bergabung dalam diri seseorang pekerja, sempurnalah segala tujuan yang baik pada dirinya.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 8/299)
Manakala sifat dusta pula adalah sifat yang keji dan bakal membawa diri pelakunya ke neraka. ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ، فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ وَيَتَحَرَّى الصِّدْقَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ صِدِّيقاً.وَإِيَّاكُمْ وَالكَذِبَ فَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ وَيَتَحَرَّى الكَذِبَ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّاباً
Maksudnya: “Hendaklah engkau bersifat jujur. Kerana sesungguhnya kejujuran itu membawa ke arah kebaikan. Kebaikan pula membawa ke arah syurga. Seorang lelaki yang jujur dan berusaha bersikap jujur sentiasa, sehinggalah ia mendapat darjat istimewa di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Janganlah engkau bersifat pendusta. Sesungguhnya sifat dusta membawa kepada kejahatan, dan kejahatan mendorong kepada neraka. Seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia sudah dikenali di sisi Allah sebagai seorang yang banyak berdusta.”
Riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)
Dusta ini bakal memesongkan kita dari sifat baik dan perlahan-lahan menjadikan kita semakin jahat, kerana membuka pintu kejahatan lain. Imam al-Nawawi berkata mensyarahkan hadith di atas ini: “Kejujuran membawa kepada kebaikan, kebaikan pula membawa kepada amal soleh yang murni, suci bersih daripada segala amal kekotoran nan buruk. Manalala, sifat dusta yang mendorong kepada kejahatan (الْفُجُورُ); ia bermaksud berpaling condong ke arah maksiat dan kejahatan, dan juga keinginan untuk membuat maksiat-maksiat yang lain.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/160)
Menipu bukanlah amalan orang-orang Islam yang baik dan bukanlah petunjuk Baginda Nabi Muhammad SAW. Menipu adalah sifat musuh Allah dan Rasul-Nya, kerana ia merupakan jalan ke neraka. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Sesiapa yang menipu, maka dia bukanlah dalam kalangan kami.”
Riwayat Muslim (102)
Meski menipu tidak menyebabkan seseorang itu kafir, namun ia tetap dosa besar yang berat. Nabi SAW tidak mengaku orang yang berdusta sebagai umatnya. Imam Tajuddin al-Fakihani berkata: “Maksud لَيْسَ مِنَّا – “dia bukanlah dalam kalangan kami” bermakna, dia bukanlah seperti kami, bukan di atas jalan pengamalan kami, tidak mengikut sunnah kami, tidak berpegang dengan petunjuk dan pedoman kami; bukan bermaksud pelakunya terkeluar daripada Islam. Namun, dia melakukan dosa besar.” (Lihat Riyadh al-Afham fi Syarh ‘Umdah al-Ahkam, 5/606)
Manakala, gaji hasil pekerjaan tersebut pula akan berkurang keberkatannya hasil dosa menipu semasa melaksanakan kerja dan tugas serta berdusta menawarkan perkhidmatan. Bahkan berpotensi besar untuk gaji tersebut menjadi tidak halal jika semakin besar pendustaan yang dilakukan. Na‘uzubillah min zalik.
Sifat terkeji ini sama seperti dosa al-Khilabah (الْخِلَابَةُ). Perbuatan al-Khilabah (الْخِلَابَةُ) bermaksud berdusta dan berbohong pada harga barang yang dijual dan ditawarkan, atau pada apa jua perkara berkaitan barangan/perkhidmatan yang diberikan; tanpa diketahui oleh pelanggan atau pembeli.
Apabila seseorang pekerja telah berjanji kepada majikannya untuk bekerja pada tempoh yang ditetapkan, itu merupakan ibarat barang dagangan yang ditawarkan dan dijual kepada pelanggan. Sebarang penipuan yang berlaku dalam perkhidmatan kepada majikan, adalah sama seperti penipuan yang berlaku pada barang dagangan kepada pelanggan.
Perbuatan ini ditegah secara keras di sisi syarak. ‘Abdullah bin Mas ‘ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلَا تَحِلُّ الْخِلَابَةُ لِمُسْلِمٍ
Maksudnya: “Perbuatan al-Khilabah (iaitu menipu dalam sebarang akad kontrak) adalah tidak halal bagi seorang Muslim.”
Riwayat Ibn Majah (2241); Ahmad (4125); dan dinilai dha‘if oleh Syeikh Ahmad Syakir dalam tahqiq Musnad Ahmad (6/73)
Imam Tajuddin al-Subki berkata: “Hadith ini dha‘if kerana diperselisihi; adakah ia merupakan perkataan Rasulullah SAW atau perkataan Ibn Mas‘ud RA. Namun hadith ini menepati dalil-dalil lain yang lebih kuat dan sahih, yang melarang penipuan dalam sebarang urusniaga dan perjanjian.” (Lihat Takmilah al-Subki ‘ala Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 12/44)
Gaji yang halal diperoleh dengan kerja yang bersungguh dan jujur. Allah SWT berfirman:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَیِّبَـٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Berinfaklah daripada hasil-hasil kerja kalian yang halal lagi baik.”
(Surah al-Baqarah: 267)
Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi menafsirkan ayat di atas berkata: “Makna pertama bagi مِن طَیِّبَـٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ – (daripada hasil kerja kalian yang halal) adalah hasil gaji yang halal, di sisi Ibn Zaid. Manakala makna kedua pula adalah, hasil penat lelah kerja yang bersungguh.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 3/321)
Berdasarkan tafsiran di atas, Allah menyifatkan kerja yang baik dan halal adalah kerja yang dilakukan secara bersungguh dan penat-lelah. Manakala, kerja yang dilakukan dengan penuh dusta, bohong dan penipuan adalah menghampiri jurang keharaman, tidak berkat dan tidak halal.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, kami kami tegaskan sekali lagi di akhir kalam ini bahawa haram dan berdosa hukumnya menipu majikan dengan alasan-alasan palsu untuk keluar pada waktu bekerja dan gaji yang diperoleh akan berkurang keberkatannya berdasarkan tahap penipuan tersebut. Semakin banyak dan besar pendustaan yang dilakukan, semakin hampir ia kepada haram.
Lazimilah sikap jujur dan telus dalam pekerjaan dan pengurusan amanah, agar kita beroleh rezeki yang halal, tayyib dan berkat daripada sisi Allah SWT sekaligus menggapai rahmat dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat kelak.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahu a‘lam.