#6577: Status Kerja Jurusolek

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, isteri saya merupakan seorang jurumekap pengantin sebelum ini, sejak berumahtangga, saya menegah beliau untuk meneruskan kerjayanya. Soalan saya, adakah profesion ini haram di sisi agama Islam? Adakah saya boleh membenarkan beliau untuk meneruskan kerjayanya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi merungkai kemusykilan yang diajukan ini, kami nyatakan bahawa kecantikan dan keindahan tidak dapat dipisahkan dengan perempuan. Untuk menjadi cantik dan berhias adalah naluri fitrah seseorang, lebih-lebih lagi bagi seorang perempuan.

Allah SWT tidak menghalang sebarang perhiasan yang telah ciptakan di dunia ini untuk diambil dan dinikmati, selagi ia halal dan tidak melanggar sempadan hukum-hakam syariat-Nya. Allah berfirman:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan yang telah Allah keluarkan untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?”

(Surah al-A’raf : 32)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan: “Secara umumnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada yang diletakkan pada badan, pakaian atau mana-mana tempat. Hukumnya akan berkekalan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 3/89-90)

Hukum Wanita Bersolek dan Berhias

Bersolek atau berhias untuk sebarang majlis atau sempena apa-apa perkara yang dibenarkan oleh syarak dengan kadar yang sesuai adalah harus dan dibenarkan. Hal ini berdasarkan kaedah:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha turut dihias dan dicantikkan perwatakan beliau ketika majlis perkahwinan beliau dengan Rasulullah SAW. ‘Aisyah RAnha menceritakan detik perkahwinannya dengan Rasulullah SAW:

فَأَخَذَتْ بِيَدِي حَتَّى أَوْقَفَتْنِي عَلَى بَابِ الدَّارِ وَإِنِّي لَأُنْهِجُ حَتَّى سَكَنَ بَعْضُ نَفَسِي ثُمَّ أَخَذَتْ شَيْئًا مِنْ مَاءٍ فَمَسَحَتْ بِهِ وَجْهِي وَرَأْسِي ثُمَّ أَدْخَلَتْنِي الدَّارَ فَإِذَا نِسْوَةٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فِي الْبَيْتِ فَقُلْنَ عَلَى الْخَيْرِ وَالْبَرَكَةِ وَعَلَى خَيْرِ طَائِرٍ فَأَسْلَمَتْنِي إِلَيْهِنَّ فَأَصْلَحْنَ مِنْ شَأْنِي

Maksudnya: “Tanganku diambil kemudian aku dibawa dan tiba-tiba berhenti di hadapan sebuah pintu rumah. Aku berasa gementar tercungap-cungap sehingga sebahagian orang perlu menenangkan aku. Kemudian mereka ambil air lalu menyapu kepada muka dan kepalaku, lantas mereka memasukkan aku ke dalam sebuah rumah yang di dalamnya ada para wanita Ansar. Mereka semua berkata: “Semoga sentiasa berada dalam kebaikan dan keberkatan, juga nasib yang baik dan bertuah sentiasa buat dirimu.” Kemudian, aku dihantar kepada mereka dan mereka memperelokkan (menghias) keadaan diriku.

Riwayat al-Bukhari (3681)

Perkataan “فَأَصْلَحْنَ مِنْ شَأْنِي” di dalam hadith di atas bermaksud: wanita-wanita Ansar itu memperbaiki dan memperelokkan penampilan Ummul Mukminin  ‘Aisyah binti Abu Bakar R.Anhuma. Perkataan aslaha (أَصْلَحَ) bermakna memperbaiki, memperelokkan dan mempercantikkan.

Walau bagaimanapun, wanita hanya dibenarkan untuk berhias dengan bersungguh-sungguh dan menarik perhatian untuk para suami mereka dan dibenarkan berhias untuk mereka yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Tidak halal bagi seorang perempuan Muslimah untuk mendedahkan auratnya dan mempamerkan kecantikan dengan begitu menyerlah selain daripada suami mereka dan sebahagian manusia yang telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi firman-Nya:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur : 31)

Ayat ini merupakan dalil tunjang berkenaan siapakah orang yang dibenarkan untuk melihat perhiasan wanita termasuklah aurat asasinya. Daripada senarai tersebut, orang yang paling berhak melihat segalanya dengan apa jua cara sekalipun hanyalah si suami. Adapun kepada selain suami, maka mempunyai batas dan diharamkan secara mutlak bagi orang asing (ajnabi). Termaktub di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah: “Mempamerkan perhiasan dan kecantikan kepada sesiapa yang tidak sepatutnya dilihat seperti memakai pakaian yang ketat untuk mempamerkan bentuk badan atau selainnya. Dan disebabkan itu dapat menaikkan syahwat dan nafsu orang yang memandangnya, maka Ijma’ (sepakat) para ulama’ adalah haram melainkan kepada suaminya sahaja.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 10/62)

Perempuan yang berhias untuk menarik minat lelaki-lelaki asing selain suami dan ahli keluarganya, diibaratkan sebagai penzina dan sebagai seorang yang mendorong kepada perzinaan. Rasulullah SAW mengecam tindakan perempuan yang memakai minyak wangi untuk menarik perhatian orang-orang asing (ajnabiyyah) menerusi sabdaan Baginda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi suatu kaum (lelaki asing) supaya mereka boleh menghidu wangian tersebut; maka wanita adalah umpama penzina.”

Riwayat al-Nasa’i (5126); Abu Daud (4173) dan al-Tirmizi (2786); dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani

Imam ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan, lafaz “فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ” (kemudian wanita itu melintasi suatu kaum — golongan lelaki) iaitu daripada kalangan ajnabi (lelaki asing). Manakala “لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا” (supaya golongan lelaki asing itu dapat menghidu wangian wanita tersebut) iaitu dengan meniatkan sedemikian itu. Maka, “فَهِيَ زَانِيَةٌ” (jadilah wanita itu penzina), yakni seperti penzina dari segi memperoleh dosa meskipun terdapat perbezaan, kerana orang yang melakukan “sebab” (yang membawa kepada zina) adalah seperti orang yang melakukan zina itu sendiri. Al-Tibi menyebutkan, disamakan wanita yang keluar dari rumahnya dengan memakai wangi-wangian, yang membangkitkan nafsu lelaki, yang merupakan martabat seorang yang mendorong kepada jalan mendekati zina; dengan perbuatan zina sendiri sebagai suatu peringatan, ancaman, dan penegasan terhadap perbuatan tersebut. (Lihat Faid al-Qadir, 3/147)

Mencantikkan diri dengan apa jua aksesori yang dihalalkan oleh syarak dan bersih adalah dibenarkan, untuk tujuan berhias bagi wanita. Namun, perbuatan melampau di dalam berhias adalah terlarang di sisi syarak. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan, alasan yang membolehkan wanita memakai perhiasan adalah untuk berhias bagi suami mereka, yang merangsang nafsu dan mendorong kepada memperbanyakkan zuriat. Tidak ada keindahan dalam bersikap melampau dalam hal ini, malah jiwa akan menjauhinya kerana keburukannya. (Lihat Fath al-Wahhab Syarh Minhaj al-Tullab, 1/129).

Oleh yang demikian, solekan yang dilakukan pula mestilah dilakukan secara sederhana dan tidak melampaui batas, sehingga menyebabkan tabarruj iaitu perbuatan dan keadaan melampau dalam berhias. Allah SWT berfirman:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu bertabarruj seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

(Surah al-Ahzab : 33)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas dengan menukilkan tafsiran Mujahid dan Qatadah yang menyatakan, tabarruj ialah melunakkan suara dan membuat nada yang menggoda. Manakala Ibn Abi Najih pula berpendapat, ia adalah berjalan dengan gaya menimbulkan syahwat lelaki. Selain itu, dikatakan juga maknanya adalah menzahirkan perhiasan dan menunjukkan kecantikan kepada lelaki-lelaki asing. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 6/349)

Maka, jelaslah kita kepada bahawa bersolek adalah dibenarkan dengan syarat tidak melampau sehingga mendorong kepada tabarruj iaitu segala bentuk hiasan wanita yang mempunyai potensi membangkitkan syahwat lelaki-lelaki asing; dan memiliki unsur haram seperti mengubah ciptaan Allah, berunsur kejelekan dan keganjilan daripada fitrah insan dan lain-lain asbab yang merosakkan maruah wanita Muslimah.

Kesimpulannya

Merujuk kembali kepada persoalan di atas, profesion dan pekerjaan sebagai seorang jurusolek dan juru make up adalah halal dan dibenarkan di sisi syarak dengan syarat, mestilah mematuhi syarat-syarat berikut:

  • Seorang wanita hanya dibenarkan untuk menyolek dan menghiaskan solekan dan perhiasan wanita kepada kaum hawa sahaja dan tidak dibenarkan untuk menyolek kepada kaum lelaki ajnabi. Begitulah juga sebaliknya.
  • Menggunakan alat-alat solek dan make up yang dijamin halal lagi bersih serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada sesiapa.
  • Hanya melakukan khidmat solekan untuk majlis-majlis pertunangan, pernikahan dan lain-lain majlis yang dibenarkan oleh syarak. Tidak menawarkan khidmat solekan untuk majlis yang haram serta mendukung maksiat.
  • Tahap solekan berada para paras sederhana dan tidak melampau untuk mengelakkan tabarruj (berlebihan dalam berhias) yang dilarang oleh syarak.
  • Tidak melakukan tatacara solekan yang telah difatwakan atau digazetkan sebagai haram di sisi dalil-dalil syarak, oleh mana-mana autoriti keagamaan atas apa jua faktor dan sebab; seperti tatacara solekan dan berhias yang berunsur mengubah ciptaan Allah.
  • Menghindari sebarang upacara yang berunsur khurafat, tahayul dan berbaur kesyirikan seperti pemujaan sesuatu selain Allah.

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa pekerjaan sebagai jurusolek adalah halal dan diharuskan apabila menepati syarat-syarat di atas. Sebagai suami, tuan boleh memilih sama ada untuk membenarkan isteri untuk bekerja sebagai jurusolek, selagi si isteri mentaati syarat-syarat yang telah disebutkan di atas ini. Pendapatan yang diperoleh juga adalah pendapatan yang halal, Insya-Allah.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kami akhiri dengan doa:

الْحَمْدُ لِلَّهِ، اللَّهُمَّ كَمَا حَسَّنْتَ خَلْقِي فَحَسِّنْ خُلُقِي

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah. Ya Allah, sepertimana Engkau telah memperindahkan kejadianku, maka indahkanlah akhlak pekertiku.”

Wallahu a‘lam.