#6580: Ibu Membunuh Anak

 Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apa hukum ibu bunuh anak? Terima Kasih Dato Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membunuh dengan sengaja tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh syara‘ merupakan dosa suatu dosa besar, tanpa mengambil kira sama ada orang yang dibunuh itu adalah orang Islam atau orang bukan Islam. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ ۗ وَمَن قُتِلَ مَظْلُومًا فَقَدْ جَعَلْنَا لِوَلِيِّهِ سُلْطَانًا فَلَا يُسْرِف فِّي الْقَتْلِ ۖ إِنَّهُ كَانَ مَنصُورًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara‘).”

(Surah al-Isra’: 33)

Dan juga firman Allah SWT:

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 93)

Allah SWT menyebutkan dengan jelas di dalam firman-Nya (وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ), kata larangan yang membawa maksud haram. Imam al-Syirazi menyebutkan, jika syara‘ melarang sesuatu (seperti membunuh) yang hanya ada satu sahaja perkara berlawanan ( seperti membiarkan hidup atau tidak membunuh), maka perkara berlawanan itu (membiarkan hidup atau tidak membunuh) hukumnya wajib dilakukan. (Lihat Bughyah al-Musytaq, hlm. 104)

Pengharaman bunuh ke atas orang beriman ini pula diikat dengan syarat tertentu yang tidak boleh dilanggar. Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka terangkatlah larangan hukuman bunuh itu. Ini jelas sebagaimana dalam hadith ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ الثَّيِّبُ الزَّانِ وَالنَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالتَّارِكُ لِدِينِهِ الْمُفَارِقُ لِلْجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; nyawa (dibalas) dengan nyawa, orang yang telah berkahwin yang berzina, dan orang yang melepaskan (meninggalkan) diri daripada agamanya serta meninggalkan Jemaah (kaum Muslimin).”

Riwayat al-Bukhari (6878) dan Muslim (1676)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa perbuatan membunuh tanpa alasan yang sah merupakan satu perbuatan yang tercela bahkan ia diharamkan oleh syarak menurut kesepakatan para ulama walaupun terhadap ahli waris sendiri.  Walaubagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang sama ada seorang bapa atau ibu akan dikenakan hukuman qisas jika mereka membunuh anak mereka atau tidak.

Dalam hal ini pandangan yang dipegang oleh jumhur ulama adalah tidak dikenakan qisas sekiranya pembunuh itu adalah bapa atau ibu kandung. Ini kerana anak mereka adalah sebahagian daripada mereka. Pandangan ini disandarkan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada daripada ‘Umar bin al-Khattab R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُقَادُ الْوَالِدُ بِالْوَلَدِ

Maksudnya: “Seorang ayah tidak dituntut (hukuman qisas) kerana membunuh anaknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1400), Ibn Majah (2662), Ahmad (98)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyebutkan salah satu sebab, mengapa seorang ayah tidak dituntut (hukuman qisas) kerana membunuh anaknya. Ini kerana, si anak itu merupakan sebahagian dari ayahnya, begitu juga cucu itu sebahagian dari datuknya sehinggalah yang ke bawah (cucu-cicit) sama ada dari anak lelaki atau anak perempuannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/87)

Dinukilkan dalam Syarh Bulugh al-Maram (3/412) : Adakah ibu sama seperti bapa dalam hal ini? Ya, maka ibu tidak dibunuh kerana membunuh anaknya. Ibn Qudamah berkata: Ibu dalam hal ini sama seperti bapa, ini adalah pendapat yang sahih dalam mazhab dan diikuti oleh mereka yang menggugurkan qisas terhadap bapa.

Begitu juga disebutkan bahawa: kerana dia (Ibu) merupakan salah seorang daripada ibu bapa kepada anaknya, maka dia serupa dengan bapa. Selain itu juga, kerana dia lebih layak mendapat kebaikan, maka dia lebih layak dikecualikan daripada qisas. (Lihat Durus Fiqhiyyah, 5/31)

Justeru kami katakan di sini bahawa, seorang ibu adalah seperti bapa iaitu tidak dikenakan qisas sekiranya dia melakukan pembunuhan terhadap anaknya. Walau bagaimanapun, diwajibkan ke atasnya membayar diyat kepada ahli warisnya sebagai pampasan disebabkan pembunuhan tersebut dan tidak boleh baginya mewaris harta peninggalan anaknya itu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ ۖ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا ۚ أَنتَ مَوْلَانَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Wallahua‘lam