#6581: Suplemen Mengandungi Gelatin Bovine

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum makan suplemen yang mengandungi gelatin (sumber bovine)? Kebanyakan suplemen tiada logo halal. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman makanlah kamu semua daripada benda-benda baik yang telah kami rezekikan kepada kamu dan bersyukurlah kalian kepada Allah sekiranya kalian benar-benar mengabdikan diri kepada-Nya.“

(Surah Al-Baqarah: 172)

Imam Al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini menyatakan: Dan hendaklah kalian memuji Allah terhadap segala nikmat yang telah Allah rezekikan dan perelokkan kepada kamu. (Lihat Jami’ al-Bayan, 3/317)

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, kami mulakan dengan mendefinisikan gelatin terlebih dahulu secara ringkas. Dalam Portal Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, perkataan gelatin berasal daripada bahasa Latin yakni ‘gelatus’ (keras). Gelatin merupakan sejenis protein yang dihasilkan daripada rangkaian kolagen. Kolagen ini dapat diperolehi daripada tulang atau ligamen (tulang rawan), kulit, haiwan seperti lembu, kerbau, ikan atau babi.

Gelatin untuk makanan boleh didapati sama ada dalam bentuk serbuk atau kepingan dan ia adalah hidrokoloid (mudah bersatu dengan air). Gelatin boleh menyerap air sehingga 10 kali ganda daripada beratnya di dalam air. Menurut Peraturan-peraturan Makanan 1985, gelatin dikategorikan sebagai kondisioner makanan – penstabil, pemekat, kanji ubah suai dan agen penggelan (rujuk Jadual Kesebelas)(Peraturan 25). Kondisioner ialah apa-apa bahan yang ditambah pada makanan bagi maksud teknologi untuk mendapatkan makanan yang dihasratkan.

Gelatin boleh didapati dari pelbagai sumber kolagen haiwan seperti ikan, kerbau, lembu dan babi melalui proses yang dipanggil hidrolisis.[1] Terdapat 2 jenis gelatin yang dibezakan melalui cara penghasilan iaitu sama ada menggunakan alkali atau asid.

1)  Gelatin jenis A:

  • Diperoleh dengan cara pengasidan.
  • Majoriti gelatin jenis ini diperoleh daripada kulit babi yang kolagennya masih muda.
  • Gelatin daripada sumber ikan juga dihasilkan daripada proses pengasidan ini.

2)  Gelatin jenis B:

  • Diperoleh dengan cara menggunakan alkali atau air kapur.
  • Sumber untuk memproses gelatin ini adalah daripada lembu, kerbau atau kambing.
  • Gelatin jenis ini juga dikenali sebagai ‘beef bovine’ atau ‘bovine’.
  • Banyak dihasilkan daripada sumber lembu.
  • Gelatin jenis ini lebih sukar untuk dihasilkan kerana menggunakan kolagen yang matang.

Tiada gelatin daripada sumber tumbuhan. Alternatif kepada penggunaan gelatin adalah gum tumbuhan seperti carrageenan dan Arabic gum. Kebiasaannya digunakan dalam industri farmaseutikal bagi penghasilan kapsul dan soft gel.

Seterusnya tujuan gelatin digunakan adalah mengatasi masalah yang timbul dalam industri makanan khususnya dalam mempelbagaikan produk. Gelatin boleh digunakan sama ada sebagai bahan ramuan atau kondisioner makanan dalam industri pemprosesan makanan. Di antara fungsi gelatin adalah agen penstabilan dalam produk hasilan daging seperti sosej, agen pemekat dalam makanan bersos, agen pembuih dalam produk susu terproses, agen pengikat dalam produk daging, agen pelekat dan gula-gula dan produk sejenisnya, dan banyak lagi. Ringkasnya, kebanyakan produk minuman dan makanan yang dihasilkan akan mengandungi gelatin seperti gula-gula, ais krim, produk daging, produk susu, minuman, sari buah, sarung kapsul dan seumpamanya.

Begitu juga gelatin menjadi isu dalam aspek halal kerana 90% pengeluaran gelatin dalam pasaran dunia adalah tidak dapat dipastikan status halal. Bahkan kebanyakan pengeluarannya dari negara bukan Islam.[2]

Manakala, bovine pula boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang berkaitan dengan lembu, atau sesuatu yang kelihatan dan berlagak seperti lembu.[3]

Keduanya, pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685)

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685)

Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)

Ketiganya, para ulama telah berbeza pendapat berkenaan kehalalan gelatin kepada sekurang-kurangnya dua pendapat. Ada yang mengharuskannya tanpa mengambil kira ia diambil dari sumber haiwan yang mana, dan ada juga yang memperincikannya. Kami ringkaskannya sebagaimana berikut:

Pendapat pertama: Gelatin halal sekiranya ia diambil daripada haiwan yang diharuskan (untuk dimakan) dan disembelih mengikut kehendak syariat. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Tuwaijiri bahawa tidak mengapa mengekstrak gelatin dari kulit, sendi, dan tulang haiwan yang diharuskan (untuk dimakan) dan disembelih mengikut kehendak syariat, atau dari tumbuhan yang tidak berbahaya dan tidak beracun. Maka, gelatin jenis ini adalah diharuskan dan tidak mengapa menggunakannya dan memakannya dalam makanan dan ubat-ubatan. (Lihat Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, 4/329).

Tambahan lagi, ini juga merupakan keputusan yang telah diputuskan oleh Majlis al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam sesi kelima belas, yang diadakan di Makkah al-Mukarramah, yang bermula pada hari Sabtu, 11 Rejab 1419 Hijrah bersamaan 31/10/1998 Masihi, membahasakan berkenaan isu gelatin, dan selepas perbahasan dan perbincangan tersebut, jelaslah kepada Majlis bahawa gelatin ialah bahan yang digunakan dalam pembuatan manisan dan beberapa ubat-ubatan perubatan, yang diekstrak dari kulit dan tulang haiwan. Sehubungan dengan itu, Majlis memutuskan bahawa dibolehkan menggunakan gelatin yang diekstrak dari bahan yang diharuskan dan dari haiwan yang diharuskan (untuk dimakan) yang telah disembelih mengikut kehendak syarak. Begitu juga tidak boleh mengekstraknya dari bahan yang diharamkan seperti kulit babi dan tulangnya serta haiwan-haiwan dan bahan lain yang diharamkan. (Lihat Qararat al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami, hlm. 85).

Pendapat kedua: Gelatin diharuskan penggunaannya tanpa mengambil kira sama ada haiwan itu disembelih ataupun tidak, mahupun bersumberkan babi. Hal ini kerana gelatin yang diambil daripada kulit, tulang babi, lembu yang tidak disembelih dan lain-lain telah melalui satu proses istihalah, sehinggakan hakikat asal dan sifat kulit, tulang babi atau bangkai tidak wujud lagi padanya. Justeru, tidak wujud lagi apa yang dihukumkan sebagai najis dan haram, yang menyebabkan ia juga dihukumkan sebagai haram. Selain itu, benda yang berubah itu juga telah menjadi benda lain yang berbeza dengan yang pertama, baik dari segi bentuk, rasa, bau, susunan kimia dan kriteria-kriteria fiziknya. Oleh kerana itu, hukumnya berubah daripada haram kepada hukum halal, yang merupakan hukum asal kepada segala sesuatu. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal dan Haram Semasa,  1/616).

Pendapat ini juga adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Eropah yang mengizinkan bahan yang berasal haram tapi telah berubah melalui suatu proses. Mereka ditanya mengenai, bahan-bahan daripada sebahagian makanan yang mengandungi item yang ditandai huruf “E” dan nombor yang berasal daripada sumber lemak dan tulang babi. Maka, apakah pandangan hukum menurut syariat terhadap makanan tersebut?

Mereka menjawab, item bertanda huruf “E” dan rentetan nombor adalah bahan tambahan (additives) . Bahan tambahan ini mempunyai lebih 350 sebatian dan ia boleh jadi sebagai pengawet, pewarna, perasa dan pemanis. Seterusnya, bahan tambahan ini pula dibahagikan kepada empat kumpulan berdasarkan sumbernya:

  1. Sebatian asal kimia tiruan
  2. Sebatian asal tumbuh-tumbuhan.
  3. Sebatian asal haiwan
  4. Sebatian larutan dalam alkohol

Hukum pada semua sebatian ini adalah ia tidak menjejaskan status halal yang asal bagi makanan kerana perkara berikut:

Kumpulan pertama dan kedua adalah halal kerana ia berasal daripada bahan yang dibenarkan dan tidak membahayakan daripada menggunakan item tersebut. Kumpulan ketiga juga adalah halal, kerana keadaan asal haiwan tidak lagi kekal sama semasa proses pembuatan. Malah ia berubah secara radikal daripada bentuk asalnya kepada satu bentuk baru bersih dan tulen melalui proses yang dipanggil transformasi kimia. Transformasi ini juga memberi kesan kepada hukum mengenai bahan tersebut. Oleh itu, jika bentuk asal adalah najis atau haram, transformasi kimia telah merubahnya kepada satu lagi ramuan yang memerlukan ketetapan hukum baru. Contohnya, jika alkohol berubah dan telah bertukar kepada cuka, maka ia tidak lagi kekal sebagai haram, tetapi membawa hukum baru mengikut sifat bahan hasilan yang baru tersebut, iaitu halal.

Bagi kumpulan keempat, item ini biasanya pewarna dan digunakan dalam kuantiti yang sangat sedikit, yang larut dalam bentuk produk akhir, yang dikira sebagai satu perkara dimaafkan. Oleh itu, apa-apa makanan atau minuman yang mengandungi mana-mana bahan ini masih kekal halal dan dibenarkan untuk kegunaan orang Islam. Kita juga perlu ingat bahawa agama kita adalah agama mudah dan kita dilarang daripada membuat perkara yang menyusahkan. Lebih-lebih lagi, mencari-cari dan menyiasat perkara itu bukanlah apa yang Allah SWT atau Rasul-Nya SAW perintahkan kepada kita untuk dilakukan.[4]

Begitu juga Nadwah Fiqh Perubatan kali ke-8 anjuran Pertubuhan Perubatan Islam di Kuwait (Mei 1995) telah mengeluarkan resolusi bahawa al-Istihalah yang melibatkan perubahan dari satu bahan kepada satu bahan yang lain, yang berbeza dengan bahan yang pertama dari segi sifat-sifatnya, merubah bahan-bahan najis atau terkena najis, kepada bahan-bahan yang suci dan merubah bahan-bahan yang diharamkan, kepada bahan-bahan yang diharuskan menggunakannya dari segi syarak. Berdasarkan hal ini, gelatin yang terbentuk dari perubahan tulang binatang yang najis, kulit, tulang lembut pada telinga, adalah suci dan halal dimakan. (Lihat Isu-isu Fiqh Halal dan Haram Semasa,  1/616).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa jika sekiranya gelatin itu diambil atau diekstrak daripada lembu (bovine) atau haiwan yang halal dagingnya yang disembelih menurut kehendak syarak, maka hukumnya adalah halal dan diharuskan. Namun, sekiranya tidak (yakni gelatin itu diekstrak daripada lembu (bovine) yang tidak disembelih menurut syarak atau daripada haiwan yang diharamkan syarak), maka hukum penggunaannya adalah tidak dibolehkan dan haram memakannya. Tambahan lagi, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati kerana keluar daripada perkara yang diperselisihi (khilaf) adalah lebih baik berbanding jatuh di dalamnya.

Dalam konteks negara kita, terdapat badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bahkan Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri akan memastikan syarikat yang membuat permohonan sijil halal itu, wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal. Sehubungan dengan itu, jika suatu produk makanan tersebut sudah mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM[5] seperti Halal Certification Europe (HCE) dan Halal Food Authority Ltd. (HFA) yang bertanggungjawab dalam pengurusan halal di United Kingdom, maka ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas sekalipun tertulis dalam salah satu kandungannya adalah “gelatin” atau “bovine.”

Adapun berkenaan suplemen yang tidak mempunyai logo halal, kami katakan bahawa sekiranya telah yakin suplemen tersebut  tidak diperbuat daripada bahan-bahan yang haram maka ia adalah halal sebagaimana hukum asalnya, yang kami telah terangkan mengenainya sebelum ini. Dalam erti kata lain, apa-apa suplemen mahupun makanan boleh dimakan walaupun tiada logo halal sekiranya  telah yakin ia tidak bercampur dengan bahan-bahan yang haram.

Pada masa yang sama, suka juga untuk kami nasihati supaya tinggalkanlah keraguan dan ambillah apa yang telah diyakini kerana keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu). Bahkan meninggalkan sesuatu yang syubhah itu adalah lebih baik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyah, hlm. 61)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat dan penjelasan tambahan, boleh juga merujuk kepada artikel kami yang berkaitan dalam isu ini, yang bertajuk: #1259: Status Halal Gelatin.[6]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1]  Hidrolisis ialah tindak balas kimia apabila sebatian bertindak balas dengan air untuk menghasil­kan sebatian lain. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hidrolisis. Diakses pada 5 April 2023).

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/gelatin-dalam-makanan/. Diakses pada 5 April 2023.

[3] Lihat https://www.britannica.com/dictionary/bovine. Diakses pada 31 Julai 2024.

[4] Lihat https://boiv.org.au/wp-content/uploads/2020/08/ECFR-Fatawa-Coolection-01-1.pdf. Diakses pada 5 April 2023.

[5] Sila rujuk kepada pautan berikut, bagi mengetahui Senarai Badan Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, https://www.halal.gov.my/v4/index.php?data=bW9kdWxlcy9jZXJ0aWZ5X2JvZHk7Ozs7&utama=CB_LIST&lang=bm. Diakses pada 13 Oktober 2021.

[6] Lihat https://maktabahalbakri.com/1259-status-halal-gelatin/. Diakses pada 31 Julai 2024.