#6582: Waktu Malaikat Pencatat Menjauh dari Manusia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bilakah waktu malaikat pencatat amal menjauh dari seorang hamba Allah (manusia)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan jawapannya kepada beberapa perbahasan.

Pertamanya, para ulama sepakat bahawa segala perbuatan hamba akan dicatatkan, sama ada dilakukan di tempat-tempat mulia, atau di tempat-tempat hina seperti tandas, sama ada dilakukan dalam keadaan beribadah atau dalam keadaan maksiat dan dosa. Semua yang dilakukan oleh hamba dalam hidupnya akan dijumpai pada Hari Kiamat tercatat dalam kitab catatan amalannya, yang dilakukannya sejak dari kecil hinggalah dia dewasa, dari perkara yang penting hingga perkara yang remeh. Allah SWT berfirman:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: “Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: ‘Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!’ Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”

(Surah al-Kahfi: 49)

Keduanya, para ulama berbeza pendapat mengenai sama ada malaikat yang ditugaskan untuk mencatatkan amal perbuatan akan meninggalkan hamba di beberapa tempat dan keadaan, ataupun tidak kepada sekurang-kurangnya tiga pendapat:

Pendapat pertama: Malaikat yang ditugaskan untuk menulis amal perbuatan tidak akan meninggalkan hamba tersebut dalam apa jua keadaan.

Syeikh Ibn al-‘Uthaimin menyebutkan, kedua-dua malaikat ini – yakni malaikat pencatat amal – adakah mereka selalu bersama manusia? Ya, berdasarkan firman Allah SWT: “إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ” (melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia — menerima dan menulisnya) [Surah Qaf: 18]. Namun, ada juga yang mengatakan bahawa mereka meninggalkan manusia apabila masuk ke tandas dan ketika melakukan hubungan suami isteri. Jika perkara ini sahih daripada Rasulullah SAW, kita menerimanya, tetapi jika tidak sahih, maka pada asalnya adalah berdasarkan kepada keumuman ayat 18 Surah Qaf (sebagaimana yang sudah disebutkan sebelum ini). (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Safariniyyah, 1/426).

Pendapat kedua: Malaikat meninggalkan hamba di beberapa tempat/keadaan seperti di tandas, ketika melakukan hubungan suami isteri, dan sebahagian mereka menambah, juga ketika mandi.

Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan, malaikat hafazah (penjaga) tidak akan meninggalkan kita, kecuali ketika membuang air, ketika melakukan hubungan suami isteri, dan ketika mandi, seperti mana disebutkan dalam hadith. (Lihat al-Fatawa al-Hadithiyyah, hlm. 47).

Begitu juga al-Safarini menyebutkan, kedua-dua malaikat tidak akan meninggalkan hamba dalam apa jua keadaan, dan dikatakan: “Bahkan ketika membuang air.” Al-Hasan menyebutkan, malaikat menjauhi manusia dalam dua keadaan; ketika buang air besar, dan ketika melakukan hubungan suami isteri. Berpisahnya kedua-dua malaikat itu daripada seorang mukallaf tidak menghalang mereka daripada mencatat apa yang berlaku dalam keadaan itu, seperti keyakinan hati. Allah jadikan bagi keduanya tanda akan hal itu. (Lihat Lawami‘ al-Anwar al-Bahiyyah, 1/448).

Mereka berpendapat demikian berlandaskan beberapa dalil. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالتَّعَرِّيَ، فَإِنَّ مَعَكُمْ مَنْ لَا يُفَارِقُكُمْ إِلَّا عِنْدَ الْغَائِطِ، وَحِينَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى أَهْلِهِ، فَاسْتَحْيُوهُمْ وَأَكْرِمُوهُمْ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan telanjang (tidak berpakaian), kerana sesungguhnya ada bersama kamu mereka yang tidak meninggalkan kamu kecuali ketika buang air besar, dan ketika seorang lelaki bersama dengan isterinya (yakni berjimak). Maka malulah kepada mereka dan hormatilah mereka.

Riwayat al-Tirmizi (2800)

Akan tetapi hadith di atas dinilai sebagai dha‘if. Imam al-Tirmizi selepas meriwayatkan hadith ini menyebutkan, hadith ini adalah hadith gharib. Ia dinilai sebagai dha‘if dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah (2300).

Badruddin al-‘Aini menyebutkan, jika ada yang mengatakan: “Telah diriwayatkan daripada Baginda SAW bahawa kedua malaikat pencatat tidak akan berpisah daripada seorang hamba kecuali ketika membuang air dan berjimak,” maka aku katakan bahawa hadith ini adalah dha‘if, tidak dapat dijadikan sebagai hujah. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 2/397).

Selain itu, di antara dalil lain yang disebutkan adalah apa yang diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (1/285), daripada Ibn Juraij, daripada sahabatnya, daripada Mujahid, katanya:

لَمَّا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالْحُدَيْبِيَةِ، وَعَلَيْهِ ثَوْبٌ مَسْتُورٌ عَلَيْهِ، هَبَّتِ الرِّيحُ فَكَشَفَتِ الثَّوْبَ عَنْهُ فَإِذَا هُوَ بِرَجُلٍ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا بِالْبَرَازِ، فَتَغَيَّظَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوَا اللَّهَ، وَاسْتَحْيُوَا مِنَ الْكِرَامِ فَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَا تُفَارِقُكُمْ إِلَا عِنْدَ إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِذَا كَانَ الرَّجُلُ يُجَامِعُ امْرَأَتَهُ، وَإِذَا كَانَ فِي الْخَلَاءِ – قَالَ: وَنَسِيتُ الثَّالِثَةَ – قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَارَ بَالِاغْتِسَالِ إِلَى جِدَارٍ، أَوْ إِلَى جَنْبِ بَعِيرٍ، أَوْ يَسْتُرُ عَلَيْهِ أَخُوهُ

Maksudnya: “Ketika Nabi SAW berada di Hudaibiyyah, beliau memakai sehelai kain yang menutupi tubuhnya. Tiba-tiba angin bertiup dan menyingkap kain itu, lalu terlihat seorang lelaki sedang mandi dalam keadaan telanjang di tempat terbuka. Nabi SAW pun marah dan bersabda: ‘Wahai manusia, bertakwalah kepada Allah dan malulah kepada malaikat yang mulia kerana malaikat tidak meninggalkan kamu kecuali dalam tiga keadaan: ketika lelaki sedang bersama isterinya (berjimak), ketika dia sedang buang air…’ — (perawi berkata) dan aku terlupa yang ketiga — Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Apabila salah seorang daripada kamu mandi, berlindunglah dengan mandi di sebalik dinding atau di samping unta atau ditutupi saudaranya.’

Riwayat ‘Abd al-Razzaq (1101)

Akan tetapi hadith ini adalah mursal, dan dalam sanadnya terdapat kesamaran (yakni perawi yang tidak dikenali). Jadi, tidak boleh berhujah dengannya disebabkan kedha‘ifannya.

Begitu juga di sana terdapat riwayat daripada Ibn Abbas, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَنْهَاكُمْ عَنِ التَّعَرِّي فَاسْتَحْيُوا مِنْ مَلائِكَةِ اللَّهِ الَّذِينَ مَعَكُمُ الْكِرَامِ الْكَاتِبِينَ الَّذِينَ لا يُفَارِقُونَكُمْ إلَاّ عِنْدَ إِحْدَى ثَلاثِ حَالاتٍ: الْغَائِطِ وَالْجَنَابَةِ وَالْغُسْلِ فَإِذَا اغْتَسَلَ أَحَدُكُمْ بِالْعَرَاءِ فليستتر بثوبه، أو بخذمة حَائِطٍ، أَوْ بِبَعِيرِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah melarang kamu daripada bertelanjang, maka malulah kepada malaikat Allah yang mulia dan pencatat (amal) yang bersama kamu, yang tidak meninggalkan kamu kecuali dalam tiga keadaan: ketika buang air besar, ketika berjunub, dan ketika mandi. Oleh itu, jika salah seorang daripada kamu mandi di tempat terbuka, hendaklah dia menutup dirinya dengan kainnya, atau dengan dinding, atau dengan untanya.

Riwayat al-Bazzar (4799)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa al-Bazzar menyebutkan, kami tidak mengetahui hadith ini diriwayatkan daripada Ibn Abbas kecuali melalui sanad ini, dan Hafs adalah layyin al-hadith (lemah dalam hadith). (Lihat Mukhtasar Zawa’id Musnad al-Bazzar ‘ala al-Kutub al-Sittah wa Musnad Ahmad, 1/181).

Pendapat ketiga: Apa yang sabit dalam al-Kitab dan al-Sunnah ialah setiap hamba diamanahkan dengan dua malaikat yang sentiasa mengawasi gerak-gerinya, mencatat amalannya, dan juga mencatat segala yang dilakukan olehnya, sama ada amalan baik (pahala) atau amalan maksiat (dosa), di tempat yang mulia atau di tempat yang hina.

Namun, tidak terdapat dalam al-kitab atau al-sunnah penjelasan mengenai bagaimana cara pencatatan ini dilakukan, dan sama ada malaikat-malaikat tersebut perlu menemani hamba di setiap tempat yang dimasukinya dan berada bersamanya dalam setiap perincian perbuatannya, atau bahawa Allah menciptakan pada mereka kemampuan yang membolehkan mereka mengetahui amalan dan mencatatnya tanpa perlu menemani hamba di setiap tempat yang dimasukinya.

Apa yang sepatutnya ialah seseorang itu tidak bercakap mengenai perkara-perkara ghaib seperti ini tanpa dalil daripada Kitab Allah atau Sunnah Rasul-Nya, dan menyerahkan ilmu mengenai hal ini kepada Allah ‘Azza wa Jalla, serta beriman bahawa segala yang dilakukan oleh hamba itu dicatat ke atasnya. Ini sudah memadai bagi hamba dalam hal ini, dan inilah perkara yang memberi manfaat dan kepentingan kepadanya. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

 مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

(Surah Qaf: 18)

Begitu juga firman Allah SWT:

هَٰذَا كِتَابُنَا يَنطِقُ عَلَيْكُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّا كُنَّا نَسْتَنسِخُ مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!

(Surah al-Jathiyah: 29)

Tambahan lagi, al-Suyuti turut menyatakan, adapun pertanyaan mengenai malaikat pencatat memasuki tandas, maka jawapannya adalah kita tidak mengetahuinya, dan tidak menjejaskan agama kita jika kita tidak mengetahuinya. Secara ringkas, jika mereka diperintahkan untuk masuk, mereka akan masuk, dan jika Allah memuliakan mereka dari hal tersebut dan memperlihatkan kepada mereka apa yang dilakukan oleh orang yang masuk tandas, yang mana menjadi tugas mereka untuk mencatatnya, maka mereka akan melakukan apa yang diperintahkan kepada mereka. (Lihat al-Haba’ik fi Akhbar al-Mala’ik, hlm. 90).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa pendapat yang ketiga adalah pendapat yang lebih aqrab (hampir kepada kebenaran) serta lebih sesuai dan tepat dari segi adab dalam hal seperti ini. Hal ini kerana dia membatasi diri dengan hanya berpada pada apa yang dinyatakan oleh nas-nas dan tidak melampaui batas tanpa dalil yang kuat dan bukti yang sahih.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”