#6584: Kesan Nifak Terhadap Masyarakat


Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah bahaya nifak dalam kalangan masyarakat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌ أَن لَّن يُخْرِجَ ٱللَّهُ أَضْغَـٰنَهُمْ (٢٩) وَلَوْ نَشَآءُ لَأَرَيْنَـٰكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُم بِسِيمَـٰهُمْ ۚ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِى لَحْنِ ٱلْقَوْلِ ۚ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَـٰلَكُمْ

Maksudnya: “Patutkah orang munafik yang ada penyakit dalam hatinya menyangka bahawa Allah tidak akan mendedahkan hasad dengki mereka terhadap Nabi Muhammad dan pengikut-pengikutnya. Dan sekiranya Kami kehendaki, tentulah Kami akan memperlihatkan tembelang mereka kepadamu wahai Muhammad, lalu engkau pasti mengenali mereka melalui tanda-tanda yang menjadi sifat mereka. Dan sesungguhnya engkau akan mengenali mereka daripada gaya dan tutur kata mereka. Dan ingatlah, Allah mengetahui segala perbuatan kamu.”

(Surah Muhammad: 29-30)

Dalam Tafsir al-Bayan (5/332-333), dinyatakan bahawa orang munafik yang digambarkan oleh al-Quran ialah mereka yang menzahirkan keislamannya tetapi batinnya kufur. Ibn Rejab al-Hanbali mengkategorikan nifak seperti ini sebagai Nifak Akbar. Nifak Akbar ialah menzahirkan keimanan kepada Allah SWT, Malaikat-Nya, Rasul-Nya dan hari akhirat. Akan tetapi apa yang ada dalam hati berlawanan dengan lahiriah secara keseluruhan atau sebahagian. Ini adalah nifak yang wujud pada zaman Nabi SAW. Al-Quran turun dalam bentuk mencela golongan ini dan mengkafirkan mereka dan memberitakan bahawa mereka akan ditempatkan di dalam neraka yang paling bawah.

Orang munafik seperti ini mungkin sudah tiada pada zaman ini, sebaliknya yang ada pada zaman ini ialah mereka yang memiliki sifat-sifat orang munafik. Berkaitan dengan sifat-sifat atau ciri-ciri orang munafik ini, ia telah diperincikan dalam Hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا – أَوْ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنْ أَرْبَعَةٍ كَانَتْ فِيهِ خَصْلَةٌ مِنَ النِّفَاقِ – حَتَّى يَدَعَهَا: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Maksudnya: “Empat sifat yang siapa dapati ada pada dirinya maka orang itu adalah seorang munafik, atau siapa yang di dalam dirinya ada satu daripada empat perkara tersebut, maka orang itu memiliki satu sifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya, iaitu: apabila berbicara dia berdusta, apabila berjanji dia mengingkari, apabila membuat perjanjian dia membelakanginya dan apabila berdebat dia berpaling daripada kebenaran.”

Riwayat al-Bukhari (2459)

Hadith di atas membicarakan tentang ciri-ciri orang munafik. Munafik yang dimaksudkan dalam hadith tersebut ialah munafik amali (perbuatan) dan bukan munafik i’tiqadi (akidah).  Ada lima jenis sifat munafik amali iaitu berdusta, tidak menepati janji, khianat, perselisihan yang melampau dan munkir janji.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sifat nifak merupakan sifat yang amat tercela kerana ia boleh memberikan impak yang negatif terhadap individu dan masyarakat. Antara kesannya terhadap masayarakat adalah sebagaimana berikut:

  • Merosakkan perpaduan Umnmah: Kemunafikan mengakibatkan hilangnya kepercayaan di kalangan masyarakat, di mana hubungan mereka berlandaskan kepada keraguan dan syak wasangka, bukan berdasarkan kepercayaan dan saling menghormati antara satu sama-lain
  • Menyebarkan kerosakan: Individu-individu yang berpura-pura dalam agama Islam, atau lebih dikenali sebagai golongan munafik, kerap kali berusaha meruntuhkan struktur masyarakat secara dalaman. Mereka melakukan ini dengan cara menyebarkan berita palsu dan fitnah di antara masyarakat, yang akhirnya mengakibatkan keruntuhan nilai-nilai murni dan moral yang dipegang oleh masyarakat tersebut.
  • Melemahkan semangat: Golongan munafik berusaha meredakan semangat individu yang beriman dan melemahkan keazaman mereka dengan menimbulkan keraguan terhadap tujuan dan niat mereka.
  • Mengkhianati amanah: Golongan munafik melakukan pengkhianatan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka, baik dalam konteks peribadi mahupun umum, sehingga ia meruntuhkan keamanan dan kestabilan dalam masyarakat.

Allah SWT berfirman:

 لَّئِن لَّمْ يَنتَهِ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَالْمُرْجِفُونَ فِي الْمَدِينَةِ لَنُغْرِيَنَّكَ بِهِمْ ثُمَّ لَا يُجَاوِرُونَكَ فِيهَا إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi melainkan sebentar sahaja.”

(Surah al-Ahzab: 60)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyebutkan bahawa jika golongan munafik tidak berhenti daripada kemunafikan mereka, iaitu dalam hati mereka ada kelemahan iman, keraguan, serta syak wasangka dan begitu juga mereka menyebarkan khabar angin palsu di kota Madinah yang bertujuan untuk melemahkan kedudukan kaum Muslimin serta menunjukkan kelebihan kaum musyrikin dan kemenangan mereka ke atas kaum Muslimin, maka Allah akan menguasakanmu (Rasulullah SAW) ke atas mereka dan memerintahkanmu untuk memerangi dan mengusir mereka dari kota Madinah. Mereka tidak akan tinggal di sana kecuali untuk waktu yang singkat.

Ketiga-tiga sifat ini, iaitu nifak, penyakit hati, dan menyebarkan khabar angin, adalah satu perkara yang sama. Ini kerana kemunafikan memerlukan adanya penyakit hati dengan kelemahan iman, menyebarkan fitnah, dan menyebarkan khabar buruk. Golongan munafik disifatkan dengan ketiga-tiga sifat ini. Setiap ciri ini membawa ancaman kepada masyarakat Islam. (Lihat Tafsir al-Munir, 22/112)

Justeru, kita dapat menyimpulkan bahawa sifat munafik adalah sangat merbahaya kerana ia boleh menimbulkan dampak negatif terhadap kestabilan dan kesejahteraan masyarakat. Allah SWT dengan tegas memberikan ancaman yang serius terhadap golongan munafik seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Sebagai seorang Muslim, kita harus menjauhkan diri dari sifat-sifat tercela seperti nifak dan selalu mendidik diri untuk memiliki sifat-sifat yang terpuji.

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam