Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana pandangan Islam jika kita menyokong pemimpin yang membenarkan arak dan judi, adakah turut berdosa?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).
Persoalan yang saudara bangkitkan ini berkait rapat dengan isu ketaatan terhadap pemimpin. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulul amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”
(Surah al-Nisa’: 59)
Al-Zamakhsyari menafsirkan, makna “pemimpin” di sini adalah para pemerintah yang berada pada jalan kebenaran; kerana Allah SWT dan Rasul-Nya berlepas diri dari mana-mana pemerintah yang jahat. Maka pemimpin yang jahat ini tidak akan disebutkan selepas nama Allah dan Rasulullah SAW dalam kewajipan untuk taat. Sebaliknya, ayat ini hanya menghimpunkan para pemimpin yang sehaluan dengan perintah Allah SWT serta Rasul-Nya dalam mengutamakan keadilan, memilih kebenaran, mengajak kepada mentaati kedua-duanya, serta melarang untuk bertentangan dengan kedua-duanya, sepertimana al-Khulafa’ al-Rasyidun dan mereka yang mengikuti mereka. (Lihat al-Kassyaf, 1/524)
Sokongan tidak diberikan melainkan adanya rasa ketaatan kepada seseorang pemimpin tersebut, dan ketaatan kepada pemimpin yang mengharuskan perkara-perkara haram itu adalah salah. Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, Rasulullah SAW bersabda:
لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الـمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Tiada ketaatan dalam perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan itu hanya pada perkara yang ma‘ruf (kebaikan).”
Riwayat al-Bukhari (7257)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, Rasulullah SAW menerangkan bahawa perintah untuk mentaati pemimpin ini terbatas pada pada perkara yang bukan maksiat sahaja. (Lihat Fath al-Bari, 8/60)
Perbuatan membenarkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT itu sudah pastinya termasuk dalam perkara maksiat. Allah SWT berfirman:
وَلَا تَقُولُوا۟ لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ ٱلْكَذِبَ هَـٰذَا حَلَـٰلٌۭ وَهَـٰذَا حَرَامٌۭ لِّتَفْتَرُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: ‘Ini halal dan ini haram,’ untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”
(Surah al-Nahl: 116)
Allah SWT juga berfirman di dalam ayat yang lain:
قُلْ أَرَءَيْتُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ لَكُم مِّن رِّزْقٍۢ فَجَعَلْتُم مِّنْهُ حَرَامًۭا وَحَلَـٰلًۭا قُلْ ءَآللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ ۖ أَمْ عَلَى ٱللَّهِ تَفْتَرُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): ‘Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?’ Katakanlah lagi (kepada mereka): ‘Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?’.”
(Surah Yunus: 59)
Pengharaman arak dan perjudian ini juga telah jelas dalam banyak dalil syara‘ dan kita tidak lagi memerlukan kepada sebarang penerangan tentang pengharamannya. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas, sebagaimana yang haram juga jelas.”
Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)
Imam al-Nawawi berkata pula, haram yang telah jelas ini seperti mengambil arak, babi, bangkai, kencing, darah yang mengalir, zina, berdusta, mengumpat, mengadu domba, melihat kepada ajnabi dan seumpamanya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/27)
Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ
Maksudnya: “Mendengar dan taat adalah wajib selama mana tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Apabila diperintahkan untuk melakukan maksiat maka tidak ada (kewajipan) lagi untuk mendengar dan taat.”
Riwayat al-Bukhari (2955) dan Muslim (1839)
Al-Hafiz Ibn Hajar menghuraikan, tidak wajib bahkan haram hukumnya ke atas sesiapa yang mampu untuk menolak taat setia terhadap pemerintah yang mengajak kepada maksiat, lebih-lebih lagi apabila telah jelas pembawakan pemimpin tersebut mempunyai unsur kekufuran terhadap perintah Allah SWT. Wajib ke atas semua orang Islam untuk bangkit menentang kemaksiatan tersebut. Sesiapa sahaja yang berjaya menentang perkara tersebut, maka baginya ganjaran pahala. Sesiapa sahaja yang sengaja hendak membodek pemimpin dengan memperakui maksiat tersebut, maka baginya balasan dosa. Mereka yang tidak mampu untuk menentang perkara maksiat itu pula, dia perlulah berhijrah. (Lihat Fath al-Bari, 13/123)
Oleh yang demikian, apabila kita sedia maklum seseorang pemimpin itu cenderung untuk membawa sesebuah negara ke arah menormalisasikan perkara-perkara yang jelas diharamkan oleh Allah SWT seperti arak dan perjudian, maka wajib hukumnya untuk tidak memberikan sokongan kepada pemimpin tersebut kerana dia secara terang-terangan mengajak kepada perkara yang haram.
Kesimpulan
Menerusi perbahasan yang kami bawakan di atas, sokongan terhadap pemimpin yang jahat merupakan salah satu bentuk bantuan yang boleh memberikannya kuasa dalam memegang tampuk pemerintahan, sekaligus dapat menggerakkan pelbagai agenda yang bertentangan dengan hukum-hakam Islam, seperti mengaburi mata generasi-generasi akan datang akan hukum sebenar arak dan perjudian. Maka hukumnya adalah haram dan tidak sewajarnya diberikan sokongan.
Nas al-Quran jelas menyebutkan:
وَمَن يَشْفَعْ شَفَـٰعَةًۭ سَيِّئَةًۭ يَكُن لَّهُۥ كِفْلٌۭ مِّنْهَا ۗ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang memberikan bantuan yang buruk, nescaya dia juga akan mendapat bahagian dosa daripadanya.”
(Surah al-Nisa’: 85)
Sesiapa sahaja yang membantu orang lain ke arah sebarang perkara kejahatan, maka dia akan mendapat bahagian daripada dosa mengikut apa yang dia lakukan dan bantu. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 190)
Semoga Allah SWT melantik dari kita pemimpin yang adil serta menegakkan agama-Nya, dalam masa yang sama tegas dalam meletakkan hukum-hakamnya tanpa melakukan sebarang keputusan demi kepentingan peribadi. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين. اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا. اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami. Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.”
Wallahu a‘lam