#6590: Memakan Belut Cusk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah belut cusk yang merupakan salah satu haiwan laut dalam boleh dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas belut cusk atau cusk eel. Belut cusk adalah salah satu daripada kira-kira 30 spesies ikan laut yang langsing dan menyerupai belut daripada keluarga Ophidiidae, yang terdapat di seluruh dunia dalam perairan hangat dan sederhana. Belut cusk dicirikan oleh penyatuan sirip dorsal, sirip anal, dan sirip ekor mereka menjadi satu sirip panjang, serta kedudukan sirip pelvic yang yang berada di tekak dan berfungsi sebagai alat deria untuk mencari makanan semasa ikan berenang di dasar laut. Sesetengah belut cusk ditemui di perairan cetek, tetapi kebanyakannya adalah ikan laut dalam yang tumbuh tidak lebih panjang daripada 0.6 meter (2 kaki); walau bagaimanapun, dua spesies melebihi 1.5 meter (5 kaki) panjangnya. Salah satunya, kingklip (Genypterus capensis), adalah spesies dari Afrika Selatan yang dianggap sebagai makanan.[1]

undefined

Gambar di atas: Salah satu spesies belut cusk iaitu spectrunculus grandis. (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Cusk-eel#/media/File:Spectrunculus_grandis.jpg)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebagaimana yang kita maklum, belut cusk termasuk dalam salah satu haiwan laut. Pada asasnya, haiwan laut/air dapat dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548).

Bahkan, mazhab Hanafi juga berpendapat bahawa belut termasuk dalam jenis hidupan air atau ikan yang halal dimakan. Sebagaimana yang kita ketahui, ulama mazhab Hanafi berpendapat jenis hidupan air yang halal dimakan hanyalah ikan sahaja. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[2] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama  Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).

Di antara sebab haiwan/hidupan air selain ikan tidak halal dimakan di sisi Hanafiyyah kerana ia dianggap sebagai khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Hidupan air selain ikan adalah termasuk dalam benda khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Abd al-Ghani al-Maidani dalam al-Lubab fi Syarh al-Kitab (3/231) ketika mensyarahkan kenyataan al-Quduri dan begitu juga turut disebutkan oleh al-Marghinani dalam al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi (4/353).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa belut cusk atau cusk eel adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan laut dan dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Bahkan terdapat fakta menunjukkan bahawa belut cusk ini ditangkap sebagai tangkapan sampingan dan dijadikan sebagai hidangan.[3]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/cusk-eel. Diakses pada 29 Julai 2024.

[2] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).

[3] Lihat https://www.mass.gov/info-details/learn-about-cusk. Diakses pada 29 Julai 2024.