Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bagaimana cara untuk menjauhi perkara-perkara syubhat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu ‘Abdillah, Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرأَ لِدِيْنِهِ وعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى. أَلا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ القَلْبُ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh sebahagian manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhah bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang membawa haiwan gembalaannya disekitar padang larangan, maka lambat laun dia mungkin akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”
Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)
Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhat dan sikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Sufyan al-Tsauri menyatakan: “Itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhat.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200)
Imam al-Suyuti dalam mensyarahkan hadith menyatakan perkara mutasyabihat merupakan perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dan sesiapa yang meninggalkannya bererti ia telah menyelamatkan agamanya daripada fitnah. (Lihat Syarh al-Suyuti ala Sahih Muslim, 4/190)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa adalah menjadi satu kewajipan seorang muslim untuk berhati-hati dalam melaksanakan sesuatu perkara. Ini bagi memastikan seseorang itu tidak terjatuh dalam perkara-perkara syubhat yang memberi kesan terhadap agama dan dirinya. Antara cara menjauhi diri daripada perkara-perkara syubhat adalah sebagaimana berikut:
- Menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai dalil
Al-Quran al al-Sunnah harus menjadi rujukan kepada umat dalam menolak segala perkara syubhat. Allah SWT berfirman:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّـهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya: “Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) di dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul-Nya (al-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan juga hari Akhirat.”
(Al-Nisa’ : 59)
Ayat ini menunjukkan bahawa sekiranya terdapat perselisihan pada sesuatu perakra atau terdapat padanya kesamaran hendaklah kembali kepada kedua-duanya. Kerana al-Quran dan al-Sunnah merupakan solusi kepada sebarang permasalahan yang timbul.
- Memahami secara mendalam sesuatu syubhat yang timbul
Sebelum menjawab mana-mana syubhat, ia harus difahami dengan sepenuhnya serta mengetahui sumber dan sebabnya. Imam al-Syafi‘i menyatakan bahawa: Aku tidak pernah berdebat dengan sesiapa pun kecuali aku berharap Allah SWT akan menzahirkan kebenaran melalui lisannya. (Lihat Syarh Kitab al-Ibanah min Usul al-Diyanah, 17/20)
- Bertanya kepada para ulama
Ulama adalah ahli zikir yang harus dirujuk dalam perkara-perkara yang rumit.
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Nahl: 43)
Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “(Ahli Zikri) adalah umum pada setiap orang yang disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533).
- Menggunakan dalil ‘naqli mahupun ‘aqli
Seseorang muslim harus menggunakan dalil ‘aqli dan naqli dalam menjawab atau menolak syubhat. Disebutkan dalam al- A‘ql wa al-Naqli ‘inda Ibn Rusyd (hlm 77) bahawa: Akal yang jelas tidak bertentangan dengan nas yang sahih iaitu jika akal kita membimbing kita untuk mengenal Allah SWT dan menerima Muhammad sebagai Rasul-Nya, maka tidak seharusnya ada percanggahan antara akal dan ajaran al-Quran dan Sunnah. Sebarang percanggahan yang dikatakan bertentangan dengan akal, sebenarnya adalah percanggahan terhadap petunjuk akal itu sendiri. Oleh itu, akal yang jelas sejajar dengan nas yang sahih.
- Memastikan setiap rujukan atau masdar yang dirujuk itu adalah sahih
Penting bagi setiap individu muslim memastikan sumber yang dirujuk itu adalah sahih. Ini kerana Rasulullah SAW bersabda:
كَفى بالمَرْءِ كَذِبًا أنْ يُحَدِّثَ بكُلِّ ما سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta jika dia menceritakan setiap perkara yang didengarnya.”
Riwayat Muslim (5)
Imam al-Nawawi berkata: Di sini menunjukkan larangan daripada bercakap setiap apa yang dia dengar kerana boleh jadi dia dengar pada adatnya benar atau dusta. Justeru, apabila dia berbicara setiap apa yang dia dengar, maka sesungguhnya dia telah mendustakan dengan berita-beritanya yang boleh jadi bukan begitu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75)
Justeru dengan mengikuti disiplin ilmu yang sahih, seseorang tidak mudah terjerumus dalam perkara-perkara syubhat. Selain itu, juga disiplin ini membantu seseorang untuk menolak perkara-perkara syubhat dengan pengetahuan yang benar dan tepat.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahu a’lam