#6593: Mengikat Rambut Ketika dalam Ihram Bagi Lelaki

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum mengikat rambut ketika dalam ihram bagi lelaki? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ ۚ وَمَن قَتَلَهُ مِنكُم مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاءٌ مِّثْلُ مَا قَتَلَ مِنَ النَّعَمِ يَحْكُمُ بِهِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang- binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa diantara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendalah (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang akan ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu,”

Surah al-Ma’idah (95)

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan jawapannya kepada dua perbahasan.

Perbahasan pertama, berkenaan larangan dalam ihram yang terkait dengan kepala bagi lelaki yang mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah beberapa perkara:

Perkara pertama: Mengambil/mencabut rambut kepala

Wajib bagi orang yang berihram untuk mengelakkan daripada melakukan hal ini, dan larangan ini adalah berdasarkan kepada kesepakatan para ulama. Ibn ‘Abd al-Bar menyebabkan, sesungguhnya para ulama sepakat secara keseluruhan bahawa wajib bagi orang yang berihram untuk tidak mengambil (mencabut/memotong) sedikit pun daripada rambutnya, bermula dari saat dia berihram untuk haji hingga dia melontar Jamrah al-‘Aqabah pada waktu melontarnya. (Lihat al-Tamhid, 7/266).

Begitu juga Ibn al-Munzir ada menyebutkan, para ulama telah sepakat bahawa orang yang sedang berihram dilarang mencukur kepalanya, memotong rambutnya, atau menghilangkannya dengan cara mencukur, menggunakan nurah,[1] atau dengan cara lain; kecuali dalam keadaan sakit. Selain itu, mereka juga sepakat bahawa wajib membayar fidyah bagi orang yang mencukur kepalanya ketika sedang berihram tanpa sebab sakit. (Lihat al-Isyraf, 3/212).

Perkara kedua: Orang yang berihram mesti menghindari menggunakan wangi-wangian pada tubuhnya, termasuk pada rambut kepalanya.

Ibn al-Qattan al-Fasi menyatakan, para ulama telah sepakat bahawa semua jenis wangi-wangian haram bagi orang yang sedang haji atau umrah setelah berihram. Tidak ada perselisihan dalam kalangan ulama bahawa golongan lelaki dan golongan wanita adalah sama dalam hal penggunaan wangi-wangian. (Lihat al-Iqna‘, 1/258).

Perkara ketiga: Lelaki yang berihram mesti menghindari menutup kepala atau sebahagian daripadanya.

Ibn al-Qayyim menyatakan, lelaki yang berihram dilarang menutup kepalanya. Terdapat tiga peringkat dalam hal ini; yang dilarang secara sepakat ulama, yang dibolehkan secara sepakat ulama, dan yang diperselisihi.

Pertama: Semua yang bersentuhan secara langsung dengan kepala dan sememangnya dimaksudkan untuk menutup kepala, seperti serban, topi, songkok, topi keledar, dan lain-lain seumpamanya.

Kedua: Seperti khemah, rumah, pokok, dan seumpamanya, dan telah sahih daripada Nabi SAW bahawa Baginda memerintahkan agar dipasang khemah di Namirah ketika Baginda sedang berihram, kecuali Imam Malik melarang orang yang berihram untuk meletakkan kainnya di atas pokok untuk berteduh. Namun majoriti ulama membolehkannya, dan ashab Imam Malik melarang orang yang berihram untuk berjalan di bawah teduhan kenderaan.

Ketiga: Seperti kenderaan yang beratap, tandu, dan sekdup, terdapat tiga pendapat: Pendapat pertama, ia diharuskan. Ini merupakan pendapat Imam Syafi‘i dan Imam Abu Hanifah. Pendapat kedua, ia dilarang dan jika dilakukan maka perlu membayar fidyah. Ini merupakan pendapat Imam Malik. Pendapat ketiga, ia dilarang, namun jika dilakukan tidak perlu membayar fidyah. Ketiga-tiga pendapat ini diriwayatkan daripada Imam Ahmad. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/225).

Perbahasan kedua, berkenaan persoalan yang diajukan, iaitu seorang lelaki dalam ihram mengikat rambutnya. Secara umumnya, mengikat rambut dengan benang/tali dan seumpamanya, tidak termasuk dalam larangan ihram yang telah disebutkan sebelum ini, dan bukan juga pada makna mana-mana larangan tersebut. Ini kerana ia tidak melibatkan penyingkiran rambut, tidak melibatkan penggunaan wangi-wangian, dan tidak pula menutup kepala dengan sesuatu; malah ia lebih kepada seperti memakai jam di pergelangan tangan, dan cincin di jari.

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/154) dinyatakan bahawa haram menutup sebahagian kepala dengan sesuatu yang dianggap sebagai penutup (kepala), atau yang dimaksudkan untuk menutup (kepala), berdasarkan perbezaan pendapat yang disebutkan. Maka tidak dibenarkan untuk membalut kepala dengan kain balut, atau tali, atau meletakkan sesuatu yang melekat padanya.

Ulama mazhab Maliki telah menetapkan/meletakkan dhawabit berkenaannya, (iaitu tidak dibenarkan membalut kepala atau meletakkan sesuatu yang melekat padanya) dengan sesuatu yang menutupi kawasan sebesar dirham atau lebih. Manakala ulama mazhab Hanafi pula menetapkan bahawa yang kurang dari seperempat kepala adalah makruh dan dikenakan sedekah dengan syarat ia dilakukan secara berterusan. Namun, mereka sepakat tentang keharusan menggunakan seperti benang.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa lelaki yang sedang dalam ihram untuk mengikat rambutnya kerana mengikat rambut tidak termasuk dalam larangan berihram mahupun pada makna mana-mana larangan ihram seperti mana yang kami sudah jelaskan di atas. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Namun, keharusan mengikat rambut ini boleh berubah menjadi haram sekiranya seseorang yang berihram yakin bahawa dengan mengikat rambutnya, maka rambutnya akan ada yang gugur. Kesnya sama seperti mana orang yang menyikat rambutnya ketika dalam ihram, di mana pada asalnya perbuatan menyikat rambut itu adalah diharuskan dan tidak termasuk dalam larangan berihram, tetapi dihukumkan sebagai haram jika diyakini dengan menyikat rambut itu, rambutnya akan ada yang gugur.  Hal ini jelas sebagaimana dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (11/179) bahawa jika seseorang yang berihram yakin bahawa dengan menyikat rambut, maka rambutnya akan ada yang gugur, maka tidak ada perbezaan pendapat antara ahli fiqh tentang haramnya perbuatan tersebut.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tambahan dan penjelasan lanjut berkenaan hal ini bolehlah merujuk artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk:

  • #2398: Wanita dalam Ihram Menyikat Rambut.[2]
  • #5004: Lelaki Mengikat Rambut Dalam Solat.[3]
  • #5017: Lelaki Mengikat Rambut Luar Solat.[4]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota Hujung:

[1]  Campuran garam kalsium dan barion, serta digunakan untuk menghilangkan rambut. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi, hlm. 363).

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/2398-wanita-dalam-ihram-menyikat-rambut/. Diakses pada 30 Julai 2024.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/5004-lelaki-mengikat-rambut-dalam-solat/. Diakses pada 30 Julai 2024.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/5017-lelaki-mengikat-rambut-luar-solat/. Diakses pada 30 Julai 2024.