#6594: Kiraman Katibin (كِرَامًا كَـٰتِبِينَ) adalah Sifat Malaikat Pencatat Amalan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah “Kiraman Katibin” nama bagi dua malaikat pencatat amalan ataupun sifat mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan kami dengan menyatakan bahawa lafaz kiraman katibin (كِرَامًا كَاتِبِينَ) ada disebutkan dalam ayat 11 daripada Surah al-Infitar. Firman Allah SWT:

وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَـٰفِظِينَ ١٠ كِرَامًا كَـٰتِبِينَ ١١ يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ ١٢

Maksudnya: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu (10), (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu)(11); Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan.

(Surah al-Infitar: 10-12)

Seterusnya, dalam menjawab soalan ini, kita hendaklah merujuk kepada tafsiran-tafsiran ulama terhadapnya. Kami nukilkan sebahagian daripada tafsiran tersebut. Di antaranya, al-Baghawi ketika menafsirkan ayat 11 di atas menyebutkan bahawa lafaz “كِرَامًا” bermaksud (malaikat-malaikat pencatat amalan itu) mulia di sisi Allah SWT, manakala lafaz “كَـٰتِبِينَ” pula bermaksud mereka menulis/mencatat perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan kamu. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Qur’an, 5/220).

Begitu juga al-Tabari ada menafsirkan ayat “وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَـٰفِظِينَ” dengan maksud sesungguhnya buat kamu ada malaikat yang menjaga, yang mencatat segala amal perbuatan kamu, dan mengira/menghitungnya ke atas kamu. Manakala ayat “كِرَامًا كَاتِبِينَ” pula bermaksud mereka adalah mulia di sisi Allah, mencatat segala amal perbuatan kamu.

Kemudian, al-Tabari membawakan satu riwayat dengan menyatakan, Ya‘qub menyampaikan kepadaku, katanya: Ibn ‘Ulayyah menyampaikan kepada kami, katanya: Sebahagian ashab kami berkata, daripada Ayyub berkenaan firman Allah SWT: “وَإِنَّ عَلَيْكُمْ لَحَافِظِينَ كِرَامًا كَاتِبِينَ” Beliau menyebutkan (maknanya): “Mereka menulis/mencatat apa yang kamu katakan dan apa yang kamu maksudkan.”

Manakala ayat “يَعْلَمُونَ مَا تَفْعَلُونَ” pula bermaksud malaikat yang menjaga/mengawasi ini mengetahui apa yang kamu lakukan berupa perkara kebaikan atau kejahatan, dan mereka menghitungnya ke atas kamu. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 24/271).

Tambahan lagi, Ibn Kathir juga menafsirkan ayat di atas dengan menyebutkan maknanya adalah, sesungguhnya ke atas kamu ada malaikat-malaikat yang menjaga lagi mulia. Oleh itu, janganlah kamu melakukan perkara-perkara yang buruk di hadapan mereka, kerana sesungguhnya mereka mencatat segala perbuatan kamu. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/611).

Selain daripada itu, Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini juga berdasarkan tafsirannya itu jelas menunjukkan bahawa ia merupakan sifat kepada para malaikat pencatat amalan. Beliau menyatakan, kamu pasti akan dihisab atas apa yang kamu lakukan, dan Allah SWT telah menugaskan malaikat-malaikat yang mulia untuk mencatat perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan kamu serta mengetahui segala tindak-tanduk kamu. Ini termasuk tindakan hati dan anggota badan. Oleh itu, adalah wajar bagi kamu untuk memuliakan dan menghormati mereka. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/914).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, jelaslah bahawa kiraman katibin itu adalah merujuk kepada sifat-sifat kedua malaikat pencatat amalan hamba Allah dan bukannya merujuk kepada namanya. Hal ini dapat dilihat menerusi tafsiran-tafsiran ulama tafsir terhadap ayat berkenaan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”