#6596: Tidur dalam Gelap atau dalam Keadaan Lampu Menyala

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukumnya tidur dalam keadaan gelap atau tidur dalam keadaan lampu menyala?Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa kami tidak mengetahui terdapatnya apa-apa dalam syariat mengenai keperluan untuk wujudnya pencahayaan di dalam bilik tidur ketika tidur, tidak kira lelaki mahupun wanita.

Akan tetapi, dalam sunnah, terdapatnya perintah umum kepada umat Islam — dalam kalangan lelaki dan wanita — sebagai panduan dan anjuran untuk memadamkan lampu dan pelita ketika tidur; bimbang ia diganggu oleh tikus atau seumpamanya yang boleh menyebabkan kebakaran rumah.

Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, beliau merafa‘kannya kepada Nabi SAW, Baginda bersabda:

خَمِّرُوا الآنِيَةَ، وَأَوْكُوا الأَسْقِيَةَ، وَأَجِيفُوا الأَبْوَابَ وَاكْفِتُوا صِبْيَانَكُمْ عِنْدَ العِشَاءِ، فَإِنَّ لِلْجِنِّ انْتِشَارًا وَخَطْفَةً، وَأَطْفِئُوا المَصَابِيحَ عِنْدَ الرُّقَادِ، فَإِنَّ الفُوَيْسِقَةَ رُبَّمَا اجْتَرَّتِ الفَتِيلَةَ فَأَحْرَقَتْ أَهْلَ البَيْتِ

Maksudnya: “Tutuplah bejana, ikatlah kepala kantung air, kuncilah pintu-pintu, lindungilah anak-anak kamu ketika malam hari kerana sesungguhnya ketika itu jin berkeliaran dan menyambar, dan padamkanlah lampu pelita ketika tidur, kerana sesungguhnya tikus boleh menjatuhkan lampu pelita lalu membakar penghuni rumah.

Riwayat al-Bukhari (3316) dan Muslim (2012)

Selain itu, terdapat hadith lain, daripada riwayat Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

جاءَت فأرَةٌ، فأخذَتْ تجرُّ الفَتِيلةَ، فجاءت بها فألقَتْها بين يدَي رسولِ الله صلى الله عليه وسلم على الخُمْرَةِ التي كان قاعدًا عليها، فأحرقَت منها مثلَ موضِعِ دِرْهَمٍ، فقال: إذا نِمتُم فأطفِئُوا سُرُجَكم؛ فإنَّ الشيطانَ يَدُلُّ مِثلَ هذِهِ على هذا فَتُحْرِقَكُم

Maksudnya: “Tikus datang dan menarik sumbu pelita, ia membawanya dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW di atas tikar yang Baginda sedang duduk, sehingga terbakar seperti saiz dirham. Baginda bersabda: ‘Jika kamu tidur, padamkanlah pelita kamu; kerana syaitan menunjukkan seperti ini kepada yang lain sehingga menyebabkan kebakaran.’

Riwayat Abu Daud (5247); al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (1222); al-Bazzar (4779); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sunan Abi Daud (5247) menilainya sebagai sahih li ghairihi.

Adapun lampu elektrik dan seumpamanya, kami melihat ia tidak termasuk dalam perintah ini; kerana ‘illah (sebab) — yakni kebimbangan kebakaran rumah — tidak wujud dalam situasi penggunaan lampu elektrik ini (sekalipun dibiarkan terbuka). Imam al-Nawawi menyatakan, adapun pelita yang digantung di masjid dan tempat lainnya, jika dibimbangi terjadinya kebakaran disebabkan olehnya, ia termasuk dalam perintah memadamkan. Namun, jika aman daripada terjadinya kebakaran sebagaimana kebiasaannya, maka secara zahirnya tidak mengapa dengan tidak memadamkan pelita itu kerana ‘illahnya (sebab yang memerintahkan sedemikian) sudah tiada. Hal ini kerana Nabi SAW telah menjelaskan sebab perintah memadamkan api pelita itu iaitu haiwan perosak (tikus) boleh menyebabkan kebakaran rumah, maka jika ‘illahnya telah tiada, maka larangan juga hilang. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/187).

Selain daripada itu, Syeikh ‘Amr al-Wardani, ahli fatwa di Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, juga pernah ditanya mengenai hukum tidur dengan lampu terpasang kerana wajib tidur dalam gelap mengikut hadith nabi, tetapi mempunyai fobia terhadap kegelapan? Beliau menjawab, tidur dalam gelap bukanlah wajib tetapi dianjurkan, berdasarkan kepada hadith Nabi SAW: “Padamkan lampu apabila kamu tidur, tutup pintu, ikat bekas air, dan tutup makanan dan minuman.” Kemudian, beliau menambah lagi dengan menyebutkan, lampu pada pada zaman itu berkait dengan keselamatan rumah kerana ia dinyalakan dengan api, yang boleh membahayakan rumah jika haiwan seperti tikus menjatuhkan lampu tersebut — sebab itu disunatkan untuk api pelita dipadamkan sebelum seseorang itu tidur.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa jika seseorang mempunyai fobia gelap, tidak wajib bagi mereka untuk tidur dalam gelap, dan mereka tidak perlu berbuat demikian. Dalam kes ini, menyalakan lampu dianggap sebagai makruh. Apatah lagi, beliau menegaskan bahawa dalam keadaan biasa, tidak perlu tidur dengan lampu terpasang untuk mengelakkan pembaziran wang. Beliau menjelaskan bahawa Nabi SAW melarang perbualan sia-sia, terlalu banyak bertanya, dan pembaziran wang.[1]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang itu memilih untuk tidur dalam keadaan gelap mahupun cerah dengan ditemani oleh lampu yang terpasang. Ini kerana di sana tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan larangan untuk tidur dalam keadaan lampu terpasang, mahupun seseorang itu mesti tidur dalam keadaan gelap. Jadi, ia kekal dengan hukum asalnya, iaitu diharuskan selagi mana tidak terdapat dalil yang menunjukkan sebaliknya, sebagaimana kaedah menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Akan tetapi tidur dalam keadaan lampu terpasang tanpa sebarang keperluan, apatah lagi sehingga membawa kepada pembaziran dihukumkan sebagai makruh kerana termasuk dalam perbuatan mensia-siakan harta.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.masrawy.com/islameyat/othersislamic_ppl_news/details/2023/11/26/2501357/هلالنومفيالنورحرامأمينالفتوىيوضح. Diakses pada 30 Julai 2024.