Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukumnya jika kita bekerja, tapi kita telah menyiapkan kerja dan tidak bertangguh dan selepas itu ada masa terluang kita gunakan untuk layari internet. Apakah hukumnya.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).
Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)
Daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku lantas bersabda:
كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيْبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيْلٍ. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا يَقُوْلُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلا تَنْتَظِرِ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلا تَنْتَظِرِ المَسَاءَ. وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لمَوْتِكَ
Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia ini seperti orang asing atau yang musafir.” Ibn Umar R.Anhuma berkata: ” Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa hidupmu sebelum waktu matimu.”
Riwayat al-Bukhari (4616)
Ibn Umar R.Anhuma dalam hadith ini menjadi contoh bagaimana seorang yang menerima nasihat serta wasiat daripada seseorang dengan sepenuh hati kemudian terus menyematkannya di dalam dada serta mengamalkannya. Ini dapat dilihat pada pengakhiran hadis yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari bahawa terdapat athar daripada Ibn Umar iaitu reaksi balas terhadap pesanan Rasulullah SAW terhadapnya iaitu: “Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu tunggu sehingga ke pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi janganlah ditunggu sehingga ke petang. Gunalah masa sihatmu sebelum masa sakitmu dan gunalah masa hidupmu sebelum waktu matimu.”
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam bekerja kita sewajarnya amanah dengan tanggungjawab yang telah diberikan. Namun, dalam isu ini, ia perlu dilihat dari sudut tatatertib dalam sesebuah tempat dan jenis pekerjaan. Sekiranya tugasnya untuk menjadi guard misalnya, maka tidak wajar untuknya tidur walhal tugasnya untuk menjaga keselamatan.
Justeru, kami katakan apabila tugas yang diamanahkan telah selesai, maka tidak mengapa untuk anda mengambil istirahat sebentar seperti melayari internet dan seumpamanya. Akan tetapi, janganlah sehingga pulang awal kerana setiap Syarikat mempunyai jadual kerja yang telah ditetapkan dan kita sebagai pekerja perlu patuhi peraturan di syarikat.
Kami akhiri dengan memesan kepada diri yang dha’if ini serta rakan-rakan semua supaya dapat melaksanakan tugas dengan seterbaiknya. Kalau ini menjadi pegangan dan moto kehidupan, maka sudah tentu keberhasilan dan produktiviti akan meningkat, di samping kurniaan keberkatan daripada Allah kepada orang seumpama ini.
Marilah sama-sama kita berdoa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”