#660: Lelaki Mengajar Perempuan

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah harus bagi lelaki mengajar perempuan dalam urusan agama, bacaan dan lain-lain? Mohon pencerahan. Terima Kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ayat di atas menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang tidak alim. Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini, di mana Allah SWT mengangkat kedudukan orang beriman yang diberi ilmu pengetahuan lebih tinggi berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi,17/299)

Begitu juga dengan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طلبُ العلمِ فريضةٌ على كلِّ مسلمٍ

Maksudnya: “Menuntut ilmu suatu kewajipan ke atas setiap Muslim.

Riwayat Ibn Majah (224)

Para ulama telah bersepakat bahawa ilmu itu terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ain yang diwajibkan ke atas setiap Muslim. Keduanya, ilmu fardhu kifayah iaitu jika sebahagian Muslim sudah melaksanakannya, maka gugurlah kewajipan tersebut kepada sebahagian yang lain dalam kawasan yang sama.  Seterusnya, ilmu fardhu ain itu pula adalah perkara-perkara yang berkait rapat dengan kewajipan yang dituntut ke atas setiap insan. Dalam erti kata lain, dia mesti mengetahui dan mempelajarinya seperti ilmu berkaitan akidah, solat, puasa dan seumpamanya yang melibatkan persoalan asas Islam. (Lihat Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadhlihi, 1/56)

Selain itu, ilmu juga adalah jambatan untuk seseorang itu ke Syurga. Hal ini kerana ilmu merupakan perkara yang penting untuk memastikan seseorang itu beramal dengan benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Oleh yang demikian, terdapat satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga.

Riwayat Muslim (2699)

Berbalik kepada persoalan di atas, Syeikh Syarbasi menyebutkan, diharuskan bagi lelaki untuk menjadi guru kepada perempuan bagi urusan agama, bacaan dan lain-lain, apabila masyarakat memerlukan. (Lihat Yasalunaka fi al-Din wa al-Hayah, 7/254-255)

Tambahan lagi, kami katakan juga, sejarah telah membuktikan bahawa terdapat ramai fuqaha dalam kalangan wanita dan ulama yang terbilang, yang mempelajari ilmu daripada guru-guru lelaki dan begitulah sebaliknya, bermula dari zaman sahabat sehinggalah zaman kini.

Bahkan Imam al-Zahabi, seorang pakar dalam bidang ilmu rijal dan perawi, pernah menyebut bahawa beliau tidak mengetahui adanya walaupun seorang perawi wanita yang dituduh sebagai pemalsu hadith atau yang ditolak kerana tidak diyakini kebolehpercayaannya. (Lihat Mizan al-I‘tidal, 4/604)

Justeru, diketahui bahawa Islam tidak pernah menutup pintu yakni menghalang orang perempuan daripada mempelajari ilmu mahupun menghalang haknya yang telah disyariatkan bagi mendapatkan ilmu pengetahuan sekalipun daripada guru lelaki. Walau bagaimanapun, ia mestilah dengan syarat jauh daripada fitnah dan perkara yang dilarang dalam agama seperti berdua-duaan yang bukan mahram atau seumpamanya.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan bagi lelaki mengajar atau menjadi guru bagi perempuan dalam urusan agama, bacaan dan lain-lain. Walau bagaimanapun, guru dan anak murid perempuan tersebut hendaklah tetap menjaga batas-batas yang telah digariskan oleh syarak seperti menutup aurat dan tidak berdua-duaan jika bukan mahram, atau seumpamanya yang jelas dilarang dalam agama sehingga boleh menimbulkan fitnah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H