#6600: Orang yang Zalim Terhadap Diri Sendiri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah pada zaman Rasulullah SAW dahulu ada golongan yang mengaku beriman, tetapi mereka sertai kumpulan Kafir Musyrikin untuk memerangi Nabi SAW? Ada ustaz cerita, kisah ini hingga disebutkan oleh Allah dalam al-Quran sebagai orang yang zalim terhadap diri sendiri.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ ظَالِمِىٓ أَنفُسِهِمْ قَالُوا۟ فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا۟ كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِى ٱلْأَرْضِ ۚ قَالُوٓا۟ أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةًۭ فَتُهَاجِرُوا۟ فِيهَا ۚ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَآءَتْ مَصِيرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawa mereka oleh malaikat dalam keadaan mereka sedang menganiaya diri mereka sendiri kerana enggan berhijrah dari negara kafir ke negara Islam, mereka ditanya oleh malaikat: ‘Bagaimanakah keadaan kamu ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Kami ialah golongan yang tertindas di bumi.’ Tanya para malaikat lagi: ‘Bukankah bumi Allah begitu luas hingga kamu bebas berhijrah ke mana sahaja?’ Maka buat golongan ini, tempat kediaman mereka ialah di Neraka Jahanam dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

(Surah al-Nisa’: 97)

Allah SWT menjelaskan bahawa sesungguhnya orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menzalimi diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka akan ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang yang tertindas di bumi. Kami dianiaya oleh oleh kaum musyrikin di negeri dan bumi kami lantaran bilangan mereka yang ramai dan kekuasaan yang mereka miliki. Mereka menghalang kami daripada beriman dan mengikut Rasulullah SAW. Kami ditindas di bumi Makkah. Kami tidak mampu untuk menzahirkan keimanan.” Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah SWT itu – iaitu Madinah – luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Lalu Allah SWT mengatakan bahawa orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahannam, dan Neraka Jahannam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (Lihat al-Tafsir al-Maudhu‘i li Suwarf al-Quran al-Karim, 2/781-787)

Syeikh Abu Muhammad Ibn ‘Atiyyah menceritakan, dahulu ada sekumpulan orang dari kalangan ahli Makkah yang memeluk Islam dan menzahirkan keimanan mereka kepada Rasulullah SAW. Apabila Baginda berhijrah, orang-orang ini enggan untuk turut sama berkelana Madinah kerana hendak kekal bersama kaum dan kabilah mereka. Ada juga dari kalangan kaum Muslimin yang cuba memujuk mereka, tetapi mereka tetap menolak. Semasa berlaku peperangan Badar, orang-orang ini turut serta dalam kumpulan kaum musyrikin dalam menentang pasukan Islam yang dipimpin sendiri oleh Rasulullah SAW, sehinggalah sebahagian dari mereka ini terbunuh dalam perang tersebut. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 2/99)

Peristiwa ini disebutkan dalam sebuah hadith, dan ia menjadi sebab turunnya firman Allah SWT dalam ayat 97 dari Surah al-Nisa’. ‘Ikrimah menceritakan kepada Muhammad bin ‘Abd al-Rahman Abu al-Aswad, katanya:

أَخْبَرَنِي ابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ نَاسًا مِنَ الْمُسْلِمِينَ كَانُوا مَعَ الْمُشْرِكِينَ يُكَثِّرُونَ سَوَادَ الْمُشْرِكِينَ عَلَى عَهْدِ  رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَأْتِي السَّهْمُ فَيُرْمَى بِهِ فَيُصِيبُ أَحَدَهُمْ فَيَقْتُلُهُ أَوْ يُضْرَبُ فَيُقْتَلُ، فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ} الآيَةَ

Maksudnya: “‘Ibn ‘Abbas R.Anhuma mengkhabarkan kepadaku bahawa terdapat beberapa orang daripada kalangan orang Islam yang menyertai kaum musyrikin sehingga ini menambahkan jumlah kaum musyrikin yang memerangi Rasulullah SAW. (Ketika) Datangnya anak panah itu, lalu dia pun dilemparkan dan terkena salah seorang daripada mereka hingga membunuhnya, atau dipukul dan terbunuh. Maka Allah menurunkan (firman-Nya):

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ

(Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri  – kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik –) [Surah al-Nisa’: 95]’.”

Riwayat al-Bukhari (4596)

Orang yang terus tinggal di Makkah serta tidak berhijrah ke Madinah bagi berjuang bersama Baginda SAW dan meramaikan bilangan Muslim di bumi Islam, mungkin mereka dihalang berbuat demikian kerana harta benda atau kepentingan mereka, atau dihalang oleh kelemahan mereka daripada berkorban menghadapi kepenatan hijrah dan kesakitan perjalanan. Sedangkan, jika mereka mahu dan berazam melakukan pengorbanan, mereka pasti mampu untuk berhijrah. Golongan ini digambarkan oleh Allah SWT dengan satu gambaran yang menjijikkan lagi menjengkelkan. Gambaran ini adalah bagi membangkitkan semangat seseorang yang masih ketinggalan daripada mereka jika benar dia mahu menyelamatkan agama dan akidahnya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 5/185)

Sekiranya kita perhatikan, orang-orang ini mendakwa bahawa mereka sebenarnya bukanlah tidak mahu berhijrah bersama Rasulullah SAW, akan tetapi mereka ini termasuk dalam kalangan orang yang tertindas. Sekiranya benar, bagaimana mungkin Allah SWT melabel mereka ini sebagai orang yang menzalimi diri sendiri?

Ini terjawab menerusi kefahaman terhadap ilmu balaghah dalam bahasa Arab. Malaikat tidak bertanya kepada mereka kerana keprihatinan, sebaliknya soalan tersebut berbaur celaan, ancaman, amaran, serta sebagai mukadimah untuk menyangkal alasan mereka yang mendakwa ditindas. Seolah-olah malaikat bertanya kepada mereka: “Apakah keadaan kamu semasa itu? Apa bezanya kamu dengan kaum Musyrikin itu? Tidakkah kamu hanya meramaikan lagi tentera mereka?” Mereka ini pada hakikatnya tidak berlaku jujur semasa menyatakan alasan tersebut; kerana Allah SWT memberikan ancaman dan amaran. Sekiranya alasan tersebut benar, nescaya tidak akan ada sebarang ancaman atau amaran, kerana Allah SWT telah berfirman:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Pengecualian daripada sebarang taklifan akan diberikan seandainya mereka itu benar-benar termasuk dalam kalangan orang yang ditindas. Oleh sebab itu juga, malaikat bangkitkan sekali lagi persoalan berbentuk istifham taqriri (اسْتِفْهَامٌ تَقْرِيرِيٌّ) selepas mereka memberikan alasan: “Bukankah bumi Allah begitu luas hingga kamu bebas berhijrah ke mana sahaja?” Istifham taqriri (اسْتِفْهَامٌ تَقْرِيرِيٌّ) ini adalah kata tanya yang diajukan supaya seseorang itu tidak boleh lagi mengelak dan terpaksa mengaku. Maka sudah pasti setiap penduduk bumi itu tahu bahawa bumi Allah ini luas, dan mereka tidak dapat lagi mengelak dengan alasan-alasan lain. Inilah sebab mengapa mereka dicela dan diberikan ancaman dalam ayat ini. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/175; Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 195)

Semoga perkongsian ringkas ini dapat memberikan kepada saudara serta keseluruhan umat Islam lain di Malaysia. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya:Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam