#6601: Memelihara Binatang ketika Ihram

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada kekeliruan berkaitan larangan semasa ihram. Adakah betul orang yang sedang dalam ihram tidak dibenarkan memiliki binatang tertentu,kerana disabitkan melanggar pantang larang ihram iaitu berburu tidak kira sama ada di tanah haram mahupun di luar tanah haram.contohnya,memiliki kucing peliharaan di tanah air yang diserahkan ke hotel kucing untuk penjagaan sementara sebelum berangkat menunaikan haji.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ihram merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Ibn Ruslan menyebutkan dalam matan al-Zubad:

أَرْكَانُهُ الإِحْرَامُ بِالنِّيَةَ قِفْ # بَعْدَ زَوَالِ التِّسْعِ إِذْ تُعْرَفْ

Maksudnya: “Rukunnya adalah berihram dengan niat. Juga berwukuflah  #   selepas gelincir matahari pada 9 hari bulan jika diketahui.

Habib Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa ihram bermaksud ialah niat untuk memasuki (memulakan) amalan haji atau umrah dengan cara-caranya. Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, maka hendaklah dia berniat dalam hatinya dan melafazkan dengan mulutnya secara perlahan. Kemudian beliau menyebutkan beberapa contoh lafaz niat bagi umrah dan haji. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-476.)

Seseorang yang berada di dalam keadaan berihram hendaklah menjaga pantang larang yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram.

Antara larangan dalam ihram adalah seperti berikut:

  • Menutup kepala.
  • Memakai pakaian berjahit.

Manakala larangan-larangan ihram yang khusus bagi perempuan pula adalah:

  • Menutup muka.
  • Mamakai sarung tangan.

Adapun larangan-larangan ihram yang umum bagi lelaki dan perempuan adalah:

  • Berwangi-wangian.
  • Memakai minyak pada rambut atau janggut.
  • Memburu di tanah Haram.
  • Mencabut dan merosakkan tumbuhan di tanah Haram. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 502)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan yang dimaksudkan dengan memburu binatang di tanah haram adalah dengan memburu atau membunuh binatang darat. Manakala, bagi binatang laut tidak menjadi masalah untuk diburu sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ ۖ وَحُرِّمَ عَلَيْكُمْ صَيْدُ الْبَرِّ مَا دُمْتُمْ حُرُمًا ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Maksudnya: Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.

Maka, dapat kita fahami  di sini binatang buruan darat tidak dibenarkan diburu oleh mereka yang sedang dalam ihram. Namun, bagi Binatang laut seperti ikan, tidak menjadi masalah untuk diburu.

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan  memelihara binatang tidak termasuk dalam larangan ihram terutamanya peliharaan yang di luar tanah haram. Maka, tidak perlu untuk anda sehingga melepaskan kucing peliharaan anda yang berada di Malaysia disebabkan anda dalam ihram.

Semoga Allah kurniakan kepada dhuyuf al-Rahman dengan haji yang mabrur.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”