Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum dan pandangan syarak tentang berkongsi makanan dalam satu bekas yang sama? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: “Dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”
(Surah al-A‘raf: 157)
Syeikh al-Maraghi mengatakan bahawa perkataan “الطَّيِّبَاتِ” di sini bermaksud apa sahaja makanan yang baik untuk diri dan juga elok untuk kehidupan, yang mana manusia makan dengan penuh selera. Ia juga adalah makanan yang boleh dimakan dan dicerna dengan baik oleh manusia sehingga memberikan zat-zat yang mendatangkan manfaat kepada manusia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/56)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarak mengharuskan umat islam untuk berkongsi makanan bahkan syarak mengharuskan untuk berkumpul ketika makan walaupun dalam satu bekas yang sama selagimana diyakini ia tidak membawa bahaya kepada kesihatan. Keharusan ini adalah berdasarkan sebuah kaedah yang menyebutkan bahawa:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Bahkan dalam Islam, berkumpul dalam menjamu selera bukan hanya sekadar menikmati makanan, tetapi juga merupakan kesempatan untuk mempereratkan silaturrahim sesama manusia dan mendapatkan keberkatan dari Allah SWT. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Wahsyi bin Harb bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اجْتَمِعُوا عَلَى طَعَامِكُمْ، وَاذْكُرُوا اسْمَ اللهِ يُبَارَكْ لَكُمْ فِيهِ
Maksudnya: “Makanlah kalian secara berjamaah, sebutlah nama Allah nescaya kalian akan diberkati padanya.”
Riwayat Abu Dawud (3764) dan Ibn Majah (3286)
Al-San‘ani ketika mensyarahkan hadith ini beliau menyebutkan bahawa: Berkumpullah untuk makan dan sebutlah nama Allah SWT ke atasnya, nescaya makanan kamu akan diberkati, iaitu akan ada pertambahan dan keberkatan disebabkan oleh kebersamaan. (Lihat al-Tanwir li Syarh al-Jami al-Saghir, 1/361)
Dalam isu ini juga Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan bahawa: Berkongsi dalam satu bekas makanan adalah dibenarkan secara syarak, dengan syarat ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan manusia. Seseorang yang tidak selesa berkongsi bekas makanan atau yang mengambil kira piawaian kesihatan yang mengelakkan penularan jangkitan semasa penyebaran penyakit dan wabak, boleh menggunakan bekas makanannya sendiri dan duduk bersama rakan-rakannya jika boleh. Dengan cara ini, dia masih memperoleh pahala berkumpul untuk makan dan minum. Jika berkongsi bekas makanan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatannya atau orang lain, maka wajib baginya untuk makan berasingan demi mengelakkan dan menghindari kemudaratan.[1]
Justeru berdasarkan perbincangan di atas jelaslah kepada kita bahawa syarak mengharuskan umatnya untuk berkongsi makanan dalam satu bekas selama mana tidak membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan. Namun, sekiranya diyakini bahawa sekiranya berkongsi makanan tersebut, ia boleh membawa penyakit, maka menjauhinya adalah lebih utama. Ini kerana kaedah menyebut:
الضَّرَر يُزَال
Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)
Imam Suyuti berkata: Ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘alam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/21037/%D8% Diakses pada 30 Julai 2024