Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum orang yang mencipta pakaian yang membuka aurat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?’ Katakanlah : ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”
(Surah al-A‘raf : 32)
Ayat ini merupakan hujah daripada Allah SWT bagi menolak sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan atau minuman atau pakaian menurut pendapat mereka sendiri bukannya syariat daripada Allah SWT. Perhiasan dan benda-benda yang baik ini Allah SWT telah jadikannya buat orang-orang yang beriman kepada-Nya di atas dunia, sekalipun orang-orang kafir itu turut sama menikmatinya di atas dunia ini. Akan tetapi apabila di hari akhirat kelak, kenikmatan tersebut adalah khusus buat orang-orang beriman sahaja. Tidak ada seorang pun dalam kalangan orang-orang kafir yang akan berkongsi bersama mereka kenikmatan tersebut kerana orang-orang kafir itu tempat kembali mereka adalah neraka. Demikian juga, syurga itu telah diharamkan buat orang-orang kafir (dari memasukinya). (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 3/1323).
Secara umumnya, hukum asal bagi mencipta pakaian adalah diharuskan bertepatan dengan hukum asal bagi pakaian dan perhiasan itu sendiri. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji bahawa hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada yang diletakkan pada badan, pakaian atau mana-mana tempat. Hukumnya akan berkekalan sedemikian (halal dan harus) selagi mana tiada nas-nas yang khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 3/89-90).
Di sana terdapat kaedah fiqh yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Ini kerana pemakaian suatu pakaian berkait rapat dengan sesuatu adat dan budaya masyarakat setempat. Islam tidak ada menetapkan sebarang pakaian khusus bagi seseorang Muslim atau Muslimah. Namun, Islam meletakkan prinsip-prinsip terhadap pakaian mahupun perhiasan yang dibenarkan untuk dipakai agar ia selari dengan kehendak agama dan tidak melanggar batasan syarak. Firman Allah SWT:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ
Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”
(Surah al-A‘raf: 26)
Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan bahawa Dia telah menurunkan pakaian untuk menutupi aurat dan pakaian untuk berhias, dan dua jenis pakaian ini baik untuk digunakan. Akan tetapi pakaian maknawi bagi hati adalah lebih utama dan lebih tinggi darjatnya iaitu ketaqwaan yang dapat memperbaiki hati dengan menjalankan ketaatan kepada Allah. Ia adalah pakaian terbaik bagi seorang Mukmin, kerana ia akan memperbaiki dan melindungi seluruh tubuh. (Lihat Tafsir al-Madinah al-Munawwarah, hlm. 487).
Di antara prinsip-prinsip tersebut yang digariskan oleh syarak adalah menutup aurat, wanita tidak menyerupai lelaki atau sebaliknya dan tidak membawa kepada libas syuhrah (pakaian yang dilihat pelik).
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, berkenaan penciptaan pakaian yang tidak menutup aurat ini, kami berpendapat bahawa dalam menentukan hukumnya, ia hendaklah diperincikan lagi kepada sekurang-kurangnya dua keadaan/tujuan utamanya:
Tujuan pertama: Penciptaan pakaian yang tidak menutup aurat itu, tujuannya adalah untuk dipakai sebagai pakaian dalaman (yang dipakai di dalam pakaian lain) seperti seluar dalam, baju dalam wanita dan pakaian lain seumpamanya. Dalam hal ini, tidak menjadi masalah untuk menciptanya dan hukumnya kekal diharuskan sebagaimana hukum asalnya. Apatah lagi, penciptaannya itu terdapat keperluan untuknya.
Tujuan kedua: Penciptaan pakaian yang tidak menutup aurat itu, tujuannya adalah untuk dipakai sebagai pakaian utama, pakaian keraian dan bukannya pakaian dalaman (yang dipakai di dalam pakaian lain) seperti t-shirt, blaus, skirt dan lain-lain seumpamanya. Dalam hal ini, pada asalnya ia tidak dibolehkan kerana ia dilihat seolah-olah membawa kepada perbuatan maksiat iaitu pendedahan aurat. Namun, dalam menentukan hukumnya secara khusus hendaklah dilihat kepada situasi penggunaannya. Kami nyatakan sebahagian daripada situasi penggunaan tersebut:
- Jika pakaian yang tidak menutup aurat itu dipakai secara bersendirian tanpa ada orang lain yang melihatnya, maka tidak mengapa.
- Jika pakaian yang tidak menutup aurat itu dipakai di hadapan orang yang halal baginya seperti isteri memakainya di hadapan suaminya, maka ia adalah tidak mengapa, bahkan digalakkan lagi kerana boleh jadi dengan pemakaian sebegitu akan meningkatkan lagi kualiti hubungan sesama pasangan tersebut.
- Jika pakaian yang tidak menutup aurat itu dipakai di hadapan mahramnya, maka ia adalah tidak mengapa seperti seseorang wanita memakai t-shirt berlengan pendek di hadapan ayahnya.
Inilah sebahagian daripada situasi-situasi yang dapat kami sebutkan. Pada masa yang sama, kami juga ingin mengingatkan, bagi pereka fesyen sebaik-baiknya elakkanlah daripada mencipta pakaian utama yang secara jelas mendedahkan aurat. Ini kerana dibimbangi dia turut akan menanggung saham dosa pemakainya.
Pada asasnya, sebagai seorang Muslim, tidak dibolehkan untuk membantu orang dalam perkara maksiat dan dosa. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu atau menjadi penyebab dan pendorong bagi seseorang yang lain melakukan maksiat dan dosa turut dianggap sebagai maksiat dan diharamkan. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”