#6609:  Jenis Haiwan Yang Tidak Boleh Dibunuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, boleh jelaskan kepada kami apakah 4 jenis haiwan yang tidak boleh dibunuh? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang menyuruh umat Islam agar bersifat dengan sifat rahmat pada semua makhluk. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ

Maksudnya: “Sesiapa yang tidak merahmati maka dia tidak akan dirahmati.”

Riwayat  al-Bukhari (5997)

Hadith di atas bersifat umum, meliputi semua makhluk yang ada di muka bumi ini. Kemudian datangnya dalil lain mengkhususkan beberapa haiwan yang tidak harus untuk bersifat rahmat padanya kerana mudarat yang dibawa lebih besar. Hal ini kerana sesetengah haiwan tersebut melakukan kerosakan, bahkan sehingga mengancam nyawa manusia.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa terdapat beberapa jenis haiwan yang dilarang oleh syarak antaranya ialah seperti semut, burung hud hud, lebah dan al-Surad (sejenis burung lang).  Yang demikian adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةِ، وَالنَّحْلَةِ، وَالْهُدْهُدِ، وَالصُّرَدِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada membunuh empat binatang yang melata iaitu semut, lebah, hud-hud dan al-Surad (sejenis burung lang).”

Riwayat Ahmad (3066). Menurut Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut, hadith ini adalah sahih.

Apa yang dapat difahami melalui hadith di atas adalah sebagaimana berikut:

  • Larangan membunuh lebah kerana membunuhnya adalah pembaziran harta dan hilang kebaikan yang banyak. Ini kerana lebah menghasilkan madu yang merupakan penyembuh bagi manusia. Jika satu demi satu lebah dibunuh, maka ia menyebabkan hilangnya penghasilan madu yang berkat ini. Para ulama berpendapat bahawa segala sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia, jika dibunuh, ia dianggap sebagai pembaziran harta.
  • Larangan membunuh empat jenis haiwan ini termasuk larangan memakannya, kerana haiwan-haiwan tersebut tidak akan dimakan kecuali selepas disembelih atau dibunuh. Maka, larangan membunuhnya membawa kepada larangan memakannya, dan hasilnya ia menjadi haram.
  • Larangan membunuh hud-hud dan semut, sebagai tanda penghormatan kepada mereka kerana kisah mereka dengan Nabi Sulaiman A.S
  • Sebab pengharaman membunuh al-Surad (sejenis burung lang) tidak diketahui. Wajib bagi seorang Muslim untuk menerima perintah Allah dan perintah Rasul-Nya SAW walaupun tidak mengetahui sebabnya. (Lihat Syarh Ahadith al-Ahkam, oleh Dr Salim al- ‘Ajmi, hlm.377-378)

Justeru berdasarkan hadith di atas jelaslah kepada kita 4 jenis haiwan tersebut merupakan haiwan yang dilarang oleh syarak untuk dibunuh disebabkan terdapat padanya manfaat atau sebab-sebab tertentu sebagaimana yang telah dijelaskan dalam syarah hadith tersebut. Oleh yang demikian,  kita hendaklah mendidik diri dengan sifat kasih dan sayang terhadap semua  makhluk termasuklah makhluk haiwan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam.