#6613: Hati Yang Dikunci Disebabkan Meninggal Kefardhuan Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Allah mengunci hati mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Maka dapat difahami bahawa menghadiri dan mendirikan kewajipan solat Jumaat merupakan ciri seorang mukmin yang mendahulukan tanggungjawab seorang hamba kepada Allah SWT mengatasi sebarang kepentingan duniawi seperti berjual beli pada masa tersebut.

Meskipun begitu, tuntutan menghadiri solat Jumaat secara berjemaah ini diberikan keringanan kepada mereka yang mempunyai keuzuran yang diambil kira di sisi syarak untuk tidak menghadirinya. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Menurut hadith di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran? Maka Rasulullah SAW menjawab :

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: “Perasaan takut ataupun sakit.”

Riwayat Abu Daud (551)

Maka jelas daripada hadith di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi solat berjamaah. Kemudian para fuqaha memperincikan lagi akan tahap ketakutan yang membolehkan seseorang itu tidak menghadiri solat berjemaah dan juga solat Jumaat.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan benar, Allah SWT akan mengunci hati mereka yang lalai dan sengaja meninggalkan solat Jumaat melainkan terdapat keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Yang demikian boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn  ‘Umar dan Abu Hurairah bahawa mereka mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbarnya:

لَيَنْتَهينَّ أقْوامٌ عن ودْعِهِمُ الجُمُعاتِ، أوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ على قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكونُنَّ مِنَ الغافِلِينَ.

Maksudnya: “Hendaklah berhenti daripada meninggalkan solat Jumaat, atau Allah akan mengunci hati-hati mereka, kemudian mereka akan menjadi daripada golongan yang lalai.”

Riwayat Muslim (865)

Disebutkan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (2/563): Larangan yang keras terhadap meninggalkan solat Jumaat, dan ancaman yang pasti bagi mereka yang meninggalkannya, iaitu Allah akan menutup hati mereka sebagai hukuman kerana kelalaian, dan sebagai balasan kerana melupakannya. Mereka akan menjadi dari kalangan orang-orang yang lalai dari apa yang bermanfaat bagi kebahagiaan mereka, sehingga datangnya musibah kematian yang menyebabkan mereka hilangan kehidupan abadi yang bahagia. Itulah kerugian yang nyata.

Selain itu juga disebutkan dalam Syarh Ahadith al-Ahkam, oleh Dr Salim al- ‘Ajmi, (hlm.136) bahawa: Hadith ini memberi  peringatan dan larangan  tentang meninggalkan solat Jumaat, dan bahawa meninggalkannya termasuk dalam dosa-dosa besar. Ini merupakan sebuah ancaman, dan setiap dosa yang disertai dengan ancaman adalah termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu juga, ia menunjukkan Solat Jumaat adalah fardhu ain; kerana jika ia adalah fardhu kifayah, memadai dengan kehadiran yang ada dan tidak ada dosa bagi mereka yang meninggalkannya.

Justeru, berdasarkan hadith di atas, kita dapat memahami bahawa mereka yang dengan sengaja mengabaikan kewajiban yang ditetapkan oleh Allah, iaitu melaksanakan solat Jumaat yang wajib, hati mereka akan dikunci dan dihalang dari menerima rahmat dan petunjuk dari Allah SWT. Dengan kata lain, seorang lelaki Muslim yang telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Solat Jumaat tidak boleh mengabaikannya kecuali jika ada halangan atau alasan yang sah menurut syarak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.