#6620: Niat Wuduk sebelum Air Sampai ke Muka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar jika niat sebelum air wudhu kena pada muka. Maka, wudhunya tidak sah? Mohon pencerahan. Makna selama ni solat saya tidak sah sebab saya niat berwudhu sebelum air kena muka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwudhu dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Takrif Niat

Niat menurut bahasa adalah mengarah diri kepada sesuatu perbuatan. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, hlm. 1021)

Manakala menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, niat ialah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm.  1080)

Dari segi istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diberikan. Antaranya ialah:

Al-Nawawi menyebutkan bahawa niat ialah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310)

Ibn ‘Abidin pula menyebutkan bahawa niat ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amal perbuatan. (Lihat Rad al-Mukhtar, 1/105)

Berdasarkan kepada definisi di atas, kita dapat simpulkan bahawa niat ialah lintasan dalam hati ketika adanya tekad dan keazaman untuk melakukan sesuatu perkara. Dalam erti kata lain, hakikat niat itu mestilah disertai bersamanya perbuatan. Justeru, jika hanya ada keazaman untuk melakukan sesuatu tanpa disertai bersamanya perbuatan, maka ia tidak dikira sebagai niat. Justeru, hal ini adalah bertepatan sebagaimana kenyataan ulama tentang niat iaitu:

قَصْدُ الشَّيْءِ مُقْتَرِنًا بِفِعْلِهِ

Maksudnya: “Keazaman dan keinginan untuk melakukan sesuatu berserta perbuatannya.” (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82)

Niat merupakan syarat bagi semua ibadah. Justeru, tidak sah suatu ibadah itu termasuklah wudhu’ melainkan dengan niat.

Perkara-perkara yang membatalkan wudhu’

Disebutkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) bahawa perkara yang membatalkan wudhu’ ada lima, iaitu:

  • Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  • Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  • Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  • Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wudhu’ kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  • Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Selain itu, dijelaskan juga bahawa segala sesuatu yang keluar dari saluran selain daripada saluran qubul dan dubur, jika ia bukan najis, maka tidak dianggap sebagai pembatal wudhu’ menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/113).

Waktu berniat ketika berwudhu’

Mengenai hal ini, menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, waktu berniat adalah ketika mula membasuh bahagian muka kerana ia adalah permulaan berwuduk. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/54)

Begitu juga Habib Hasan al-Kaff juga menyebutkan bahawa waktu berniat wudhu’ adalah ketika mula-mula membasuh bahagian daripada muka kerana yang diambil kira itu adalah basuhan yang wajib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 83)

Walau bagaimanapun, al-Nawawi ada menyebutkan bahawa perkara yang lebih afdhal ialah seseorang itu berniat wuduk sejak dari awal lagi, lalu berterusan menghadirkan niat tersebut sehinggalah selesai berwudhu’. Perkara ini telah disepakati oleh para ulama bahawa ia adalah sunat dan awal perbuatan wuduk ialah membaca basmalah. Al-Qadhi Abu al-Tayyib dan al-Mutawalli menyatakan bahawa disunatkan menghadirkan bersama niat wudhu’ — yakni sepanjang perbuatan wudhu’ — sebagaimana disunatkan juga dalam solat untuk berterusan menghadirkan niatnya bermula daripada permulaan solat sehingga memberi salam.

Selain itu, al-Nawawi menyatakan lagi bahawa sekiranya seseorang berniat ketika awal basuhan wajah dan tidak berniat sebelum mahupun selepasnya, maka wudhunya dikira sah tanpa sebarang khilaf. Namun, jika dia membasuh sebahagian mukanya tanpa niat, kemudian membasuh sebahagian lagi dengan niat, maka basuhan sebahagian muka yang pertama tadi — yakni yang dilakukan tanpa niat — dikira tidak sah tanpa sebarang khilaf kerana terdapat sebahagian anggota wajib yang tidak dilakukan dengan niat. Justeru, dia hendaklah mengulangi basuhan sebahagian muka pertama tadi sebelum beralih kepada anggota wajib yang seterusnya ialah tangan.

Kemudian timbul pula persoalan lain, jika wudhu’ seseorang itu dikira sah dengan niatnya bermula ketika membasuh muka, maka adakah perbuatan sunat wuduk sebelum basuhan muka — yakni yang dilakukan tanpa niat — seperti membaca basmalah, bersiwak, membasuh kedua pergelangan tangan, berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung dikira mendapat pahala sunat wuduk? Dalam hal ini, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘i. Di antaranya adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh jumhur bahawa perbuatan sunat wuduk itu — yang dilakukan tanpa niat — tidak diberi pahala mahupun diambil kira termasuk dalam perbuatan wuduk kerana ia dilakukan tanpa niat. Oleh itu, ia dianggap tidak sah sebagaimana ibadah-ibadah yang lain. Mereka yang berpendapat dengan pendapat ini ialah al-Qadhi Husain, Imam al-Haramain, al-Ghazali, al-Mutawalli dan al-Baghawi. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/318-319)

Selain daripada itu, Ibn Qudamah ada menyatakan bahawa diwajibkan untuk mendahulukan niat ke atas perbuatan wuduk kerana ia adalah syaratnya. Jika didapati ada perbuatan wajib wudhu’ yang dilakukan sebelum daripada niat, maka ia tidak akan dikira. Begitulah juga disunatkan untuk berniat sebelum daripada membasuh kedua pergelangan tangan, agar niat itu mencakupi perbuatan-perbuatan sunat dan wajib wudhu’. Jika seseorang itu membasuh kedua pergelangan tangannya sebelum daripada niat wudhu’, maka sebenarnya dia seolah-olah belum lagi membasuh kedua pergelangan tangannya itu. Di samping itu, dibolehkan juga untuk berniat wudhu’ lebih awal sedikit dengan syarat tidak terlalu lama jarak tempohnya. Namun, jika jarak tempohnya terlalu lama, maka hal itu tidak dibolehkan. (Lihat al-Mughni, 1/159)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan wudhu’ yang diambil sah jika berniat sebelum air terkena muka dengan syarat niat tersebut dibuat ketika mana air sampai pada mana-mana bahagian muka. Tidak disyaratkan air sampai kepada muka keseluruhannya baru boleh berniat.

Menurut Imam al-Nawawi, jika seseorang itu  berniat ketika awal basuhan wajah dan dia tidak berniat sebelum dan selepasnya maka sah wuduknya tanpa ada khilaf” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/361)

Imam al-Baijuri menyatakan berniat ketika awal basuhan bagi mana-mana bahagian muka.” (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 1/89)

Namun, sebahagian ulama menyatakan bahawa sah wuduk jika berniat ketika melakukan perkara sunat seperti membasuh tapak tangan atau berkumur. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Abu Hafs Bin Wakil. Ada juga yang berpandangan bahawa wudhu’ tidak sah jika dia lakukan ketika membasuh tapak tangan akan tetapi sah jika niat tersebut dilakukan ketika berkumur dan menghembus air dari hidung. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’.

Kami lebih cenderung kepada pandangan sebahagian ulama yang mengatakan sah wudhu’ ketika melakukan perkara sunat wuduk. Pandangan ini lebih sesuai bagi mereka yang sukar untuk menghadirkan niat ketika membasuh anggota fardhu ataupun bagi mereka ada sifat was-was. Ini kerana was-was akan menyebabkan kesukaran sehingga berwudhu’ berulang kali.

Justeru, wuduk menjadi sah jika niat tersebut dilakukan ketika mula membasuh mana-mana bahagian wajah. Namun, jika seseorang sukar untuk menghadirkan hati ketika membasuh anggota fardhu atau ada sikap was-was diharuskan untuk berniat ketika melakukan perkara sunat wudhu’.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”