#6621: Isteri Memandikan Jenazah Suami di Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah isteri memandikan jenazah suami di masjid dan kemudian ke tanah perkuburan untuk melihat suami dikebumikan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan kepada jawapannya kepada dua perbahasan. Pertamanya, berkenaan persoalan isteri memandikan jenazah suaminya. Kami katakan bahawa para fuqaha bersepakat menyatakan bahawa harus wanita untuk memandikan suaminya. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

لَوِ اسْتَقْبَلْتُ مِنْ أَمْرِي مَا اسْتَدْبَرْتُ مَا غَسَّلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا نِسَاؤُهُ

Maksudnya: “Andai urusanku boleh kembali ke masa lalu, tidak ada yang akan memandikan jasad Rasulullah SAW melainkan isteri-isteri Baginda.”

Riwayat Abu Dawud (3141), Ibn Majah (1464), dan Ahmad (26306). Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1205)

Demikian juga sebuah riwayat daripada Abdullah bin Abu Bakar bahawasanya Asma’ binti ‘Umais memandikan jenazah Abu Bakar al-Siddiq ketika beliau meninggal dunia. (Lihat al-Muwatta’, 1/223). Ini kerana Asma’ merupakan isteri kepada Abu Bakar al-Siddiq, dan terdapat riwayat yang lain menunjukkan bahawa Asma’ memandikan jenazah Abu Bakar di atas faktor melaksanakan tuntutan wasiat yang dilakukan oleh Abu Bakar sendiri. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha, beliau berkata: Abu Bakar al-Siddiq R.A wafat pada malam selasa bersamaan lapan Jamadil Akhir tahun yang ke-13 Hijrah. Beliau mewasiatkan supaya dia dimandikan oleh Asma’ binti ‘Umais yang merupakan isterinya. (Lihat al-Sunan al-Kubra, 3/397).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa diharuskan dan tidak menjadi masalah bagi isteri untuk memandikan jenazah suaminya. Begitu juga di sana tidak terdapatnya larangan yang jelas menyatakan bahawa tempat mandian itu mesti hanya di rumah dan tidak boleh selainnya. Oleh itu, ia kekal sebagaimana asalnya, iaitu dibolehkan tidak kira di mana pun tempat mandi tersebut, sama ada di rumah mahupun di masjid ataupun di tempat selainnya. Apatah lagi, keluarnya adalah untuk memandikan jenazah suaminya itu dan ia termasuk dalam keperluan serta pengurusan jenazah.

Sekalipun begitu, disyaratkan dia hendaklah sentiasa menjaga dan berpegang teguh kepada adab-adab Islam di samping selamat atau aman daripada fitnah serta turut menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami.

Keduanya, berkenaan persoalan isteri ke tanah perkuburan untuk melihat suami dikebumikan. Terdapat riwayat daripada Ummu ‘Atiyyah R.Anha bahawa beliau berkata:

نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: “Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke perkuburan) dan Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami.”

Riwayat al-Bukhari (1278)

Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (5/277-278)  larangan ini bersifat makruh tanzih. Inilah mazhab al-Syafi‘i dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak menganggap makruh kecuali bagi wanita muda. Diceritakan daripada al-Abdari bahawa Imam Malik menganggapnya makruh kecuali jika jenazah itu ialah anaknya, ibu ayahnya, dan suaminya.

Sekalipun begitu, sebahagian ulama menganggap perbuatan mengiringi jenazah ini sebagai makruh tahrim berdasarkan sebuah hadith, di mana Rasulullah SAW menegur wanita yang menunggu-nunggu jenazah:

ارْجِعْنَ مَأْزُورَاتٍ غَيْرَ مَأْجُورَاتٍ

 Maksudnya: “Pulanglah kalian, kalian akan berdosa dan tidak mendapat pahala.”

Riwayat Ibn Majah (1579); Namun, Imam al-Nawawi menganggap hadith ini dha‘if.

Soalan yang hampir sama seperti ini juga pernah diajukan kepada kami,[1] dan kami berpendapat sebaik-baiknya cukuplah wanita itu tinggal di rumah dan, jika ingin solat jenazah, solat sahaja di rumah dan tidak mengikuti jenazah ke perkuburan. Ini bagi menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami. Jika sudah tamat waktu iddah, maka bolehlah menziarahi kubur suaminya sambil menjaga akhlak ketika ziarah kubur. Sekalipun begitu, jika wanita itu tetap mahu mengiringi jenazah suaminya, maka tidak mengapa tetapi makruh berdasarkan pendapat mazhab Syafi‘i dan jumhur ulama, dengan syarat dia berpegang teguh kepada adab-adab Islam di samping selamat atau aman daripada fitnah. Begitu juga dia hendaklah segera pulang selepas selesai pengebumian bagi menghormati dan meneruskan hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Nota Hujung:

[1] Boleh rujuk artikel tersebut di pautan berikut: https://maktabahalbakri.com/2991-isteri-mengiringi-jenazah-suami-ke-perkuburan/. Diakses pada 31 Julai 2024.