Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah wanita boleh berkumpul sesama mereka bagi menunaikan solat jenazah secara berjemaah di rumah selepas jeanazah dimandikan dan dikafankan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ
Maksudnya: “Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”
(Surah al-Taubah: 103)
Dari sudut istilah Fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/257)
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Ia dinamakan solat kerana ia mengandungi doa yang merupakan unsur yang banyak di dalamnya. Hal ini kerana menggunakan nama juzuk untuk maksud keseluruhannya (إطلاقا لاسم الجزء على الكل). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/309)
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak mengapa jika wanita menunaikan solat jenazah di rumahnya, dan jika mereka berkumpul dan menunaikan solat secara berjemaah, maka itu adalah lebih baik.
Di antara dalil yang menunjukkan pensyariatan (keharusan) wanita menunaikan solat jenazah di rumahnya adalah berdasarkan riwayat Aisyah R.Anha menyatakan:
لَمَّا تُوُفِّيَ سَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ أَرْسَلَ أَزْوَاجُ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَمُرُّوا بِجَنَازَتِهِ فِي الْمَسْجِدِ فَيُصَلِّينَ عَلَيْهِ فَفَعَلُوا فَوُقِفَ بِهِ عَلَى حُجَرِهِنَّ يُصَلِّينَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Ketika Sa‘ad bin Abu Waqqas wafat, isteri-isteri Rasulullah SAW mengutuskan pesan agar jenazahnya dibawa ke masjid supaya mereka boleh menunaikan solat jenazah untuknya. Mereka (para pengurus pengebumian) melakukannya, dan jenazah tersebut diletakkan di hadapan bilik mereka dan mereka menunaikan solat jenazah untuknya.”
Riwayat Muslim (973)
Imam al-Nawawi menyebutkan, adapun wanita, jika mereka bersama-sama dengan golongan lelaki, mereka akan menunaikan solat dengan mengikut imam lelaki. Namun, jika mereka hanya terdiri daripada golongan wanita, Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya menyatakan, dianjurkan untuk mereka menunaikan solat (jenazah) secara sendirian, sendiri sendiri. Jika salah seorang daripada mereka menjadi imam untuk yang lain, hal itu dibolehkan, akan tetapi ia menyelisihi perkara yang lebih utama (afdhal). Berkenaan pendapat ini, ia perlu diteliti lagi. Sepatutnya disunatkan bagi mereka untuk solat jenazah secara berjemaah seperti mana solat berjemaah yang lain. Ini adalah pendapat sekelompok ulama salaf seperti al-Hasan bin Soleh, Sufyan al-Thauri, Ahmad, dan para ashab Abu Hanifah serta yang lainnya. Manakala Imam Malik berpendapat agar mereka menunaikan solat (jenazah) secara sendiri sendiri. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/172).
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ditanya berkenaan adakah dibolehkan bagi wanita untuk mengumpulkan ahli rumah daripada kalangan wanita dan menunaikan solat jenazah untuk mayat mereka di rumah tersebut? Beliau menjawab, ya, tidak menjadi masalah bagi wanita untuk menunaikan solat jenazah, sama ada menunaikannya di masjid bersama orang ramai, atau menunaikannya di rumah jenazah itu; kerana wanita tidak dilarang daripada menunaikan solat untuk jenazah, tetapi mereka dilarang daripada menziarahi kubur. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn al-‘Uthaimin, 17/157).
Selain itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin juga pernah ditanya mengenai adakah wanita menunaikan solat jenazah di rumahnya atau di masjid? Beliau menjawab, menunaikan solat jenazah di rumah adalah lebih baik, dan jika dia keluar lalu menunaikannya bersama orang ramai juga tidak menjadi masalah, tetapi kerana ia tidak dikenali di sini maka yang terbaik adalah dia tidak menunaikannya; iaitu tidak keluar ke masjid untuk menunaikan solat jenazah tetapi menunaikannya di rumah apabila mayat tersebut berada di rumah. Namun, jika mayat tersebut dari luar, dia tidak dapat menunaikan solat untuknya sebagai solat ghaib. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn al-‘Uthaimin, 17/114).
Diceritakan bahawa tatkala Imam al-Syafi‘i meninggal dunia, jenazahnya dibawa masuk ke dalam rumah gurunya, Sayyidah Nafisah dan beliau mendirikan solat jenazah buat Imam al-Syafi‘i di dalam rumahnya. Kedudukan tempat tinggal Sayyidah Nafisah adalah tempat di mana beliau dimaqamkan pada hari ini. Sayyidah Nafisah tetap tinggal di rumah tersebut sehinggalah beliau meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun 208 Hijrah. (Lihat Wafayat al-A‘yan, 5/424)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”