#6630: Kafa‘ah Pada Nasab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah nasab keturunan termasuk dalam kriteria sekufu? Adakah sah perkahwinan tanpa melihat kepada nasab ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَانكِحُوا مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya: “Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat.”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa pada asalnya sekufu bukanlah termasuk dalam syarat sah nikah namun ia merupakan perkara yang penting yang perlu diambil kira sebelum melaksanakan perkahwinan bahkan jumhur ulama mengatakan ia merupakan syarat yang lazim bagi sesebuah perkahwinan . Yang demikian bagi mengelakkan apa-apa permasalahan yang timbul dari perkahwinan tersebut seperti menyebabkan keaiban pada keluarga dan sebagainya.  Ini dinyatakan dalam beberapa nas daripada al-Quran dan juga al-Sunnah itu sendiri. Antaranya adalah firman Allah SWT:

وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik begitu juga lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.”

(Surah al-Nur: 26)

Kata Syeikh al-Sya’rawi dalam tafsirannya terhadap ayat di atas: “Kami menyatakan pada tafsir Surah al-Nur ayat 3 sesungguhnya perkahwinan itu didirikan atas dasar sekufu sehingga tidak meninggi satu kedudukan daripada kedudukan yang lain. Salah satu bentuk sekufu adalah Surah al-Nur ayat 26.” (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 16/10243)

Dalam isu ini perkahwinan yang dilakukan tanpa melihat nasab keturunan tetap dikira sah kerana ia bukanlah syarat sahnya sesuatu perkahwinan bahkan sebahagian ulama berpandangan bahawa nasab tidak dikira dalam kriteria kafa’ah. Yang demikian sebagaimana pandangan yang dipegang oleh Ibn Qayyim, sebahagian salaf dan satu pandangan daripada mazhab al-Syafi ‘i.

Mereka berdalilkan kepada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Fatimah bin Qais bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

انْكِحِي أُسَامَةَ

Maksudnya: “Nikahilah Usamah”

Riwayat Muslim (1470)

Hadith ini adalah dalil bahawa kesetaraan dalam keturunan tidak dikira dalam sesebuah perkahwinan, dan bahawa perkahwinan antara seorang Quraisy dengan seorang yang pernah menjadi hamba adalah dibolehkan; kerana Nabi SAW memerintahkan Fathimah binti Qais untuk berkahwin dengan Usamah bin Zaid, walaupun beliau bukanlah sekufu dengannya; kerana dia adalah seorang Quraisy, manakala Usamah adalah daripada golongan mawali (bekas hamba), dan baginda memintanya agar tidak memilih Muawiyah atau Abu Jahm, walaupun mereka dari kaumnya dan dari sukunya serta dari Quraisy. Ini menunjukkan bahawa kesetaraan dalam keturunan tidak dianggap perkara yang perlu dikira bagi sesebuah perkahwinan . Di dalam kitab  “Haji”: juga disebutkan tentang hadith Duba’ah binti Az-Zubair yang berkahwin dengan al-Miqdad bin al-Aswad, walaupun dia adalah seorang Hashimi yang mempunyai keturunan lebih tinggi daripadanya, kerana dia merupakan hulafa’ Quraisy dan bukan dari Quraisy. Inilah pilihan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. (Lihat Minhah al-‘Allam, 7/283)

Justeru, perkahwinan yang dilakukan tanpa melihat kepada kemuliaan atau darjat sesebuah nasab adalah sah. Walaupun begitu, mengambil kira dengan memilih nasab keturunan yang baik atau setara adalah penting bagi mengelakkan sebarang perselisihan yang mungkin akan timbul. Perbezaan darjat atau keturunan boleh menjadi punca konflik dalam sesetengah keluarga, maka adalah lebih baik untuk memilih pasangan yang sama dari segi darjat dan keturunan bagi menjamin keharmonian dan kebahagiaan dalam rumah tangga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam