#6631: Saudara Susuan Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Siapakah yang menjadi saudara susuan Nabi SAW? Dengan maksud, siapa lagi anak susuan kepada Halimah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Setelah kelahiran Nabi SAW, datuknya Abdul Mutalib telah memilih ibu-ibu susuan untuk baginda. Antara wanita yang menyusukan baginda adalah seorang wanita daripada keluarga Saad bin Bakar, iaitu Halimah binti Abu Zu’aib dan suaminya bernama al-Harith bin Abdul Uzza yang digelar sebagai Abu Kabsyah, juga daripada keluarga atau kabilah yang sama.

Antara saudara susuan baginda di sana adalah Abdullah bin Al-Harith, Anisah binti al-Harith, dan Huzafah atau Juzamah binti Al-Harith (namanya yang sebenar adalah al-Syaima’ kerana gelarannya lebih dikenali berbanding namanya). Halimah juga menyusukan baginda bersama-sama dengan Abu Sufyan bin al-Harith bin Abdul Mutalib, sepupu baginda.

Bapa saudara nabi, iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib disusukan oleh Bani Saad bin Bakar. Ibu Hamzah pernah menyusukan baginda pada suatu hari ketika baginda berada di sisi ibu susuannya, Halimah. Hamzah adalah saudara susuan Nabi Muhammad SAW daripada dua pihak, iaitu dari pihak Tsuwaibah dan pihak Halimah. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/19;  al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 87)

Justeru, antara saudara susuan Rasulullah ialah:

  • Abdullah bin al-Harith (anak kepada Halimah)
  • Anisah binti al-Harith (anak kepada Halimah)
  • Huzafah atau Juzamah binti al-Harith (iaitu al-Syaima’) (anak kepada Halimah)
  • Abu Sufyan bin al-Harith bin ‘Abd al-Muttalib, sepupu Nabi SAW.
  • Hamzah bin ‘Abd al-Muthalib, iaitu bapa saudara Nabi SAW.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”