#6632: Tempoh Nabi SAW Tinggal di Perkampungan Bani al-Sa’diyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapa lama Nabi SAW tinggal di rumah Halimah ketika proses penyusuan dan pengasuhan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Selepas dilahirkan oleh ibunya, Aminah, baginda disusui selama tiga hingga tujuh hari. Baginda juga diasuh oleh Ummu Aiman, atau namanya Barakah al-Habasyiyah. Kemudian, baginda disusui oleh Tsuwaibah, bekas hamba Abu Lahab, selama beberapa hari. Rasulullah SAW pernah bersabda, “Aku dan Abu Salamah telah disusui oleh Tsuwaibah.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/83)

Urwah bin al-Zubair R.A menyatakan, “Tsuwaibah merupakan hamba yang telah dimerdekakan oleh Abu Lahab, dan beliau telah menyusukan Nabi SAW. Setelah Abu Lahab meninggal dunia, beberapa anggota keluarganya melihatnya dalam mimpi. Apabila ditanya, ‘Apa yang telah kamu alami?’ Beliau menjawab, “Aku tidak mendapati apa-apa selepas kamu, namun aku telah menerima minuman sebagai ganjaran kerana memerdekakan Tsuwaibah.’”

Setelah itu, datang rombongan wanita yang mencari bayi untuk disusui. Di antara mereka adalah Halimah al-Sa’diyah. Rasulullah SAW ditawarkan kepada para wanita tersebut. Semua menolak apabila diberitahu bahawa baginda adalah anak yatim. Namun, setelah semua wanita mendapatkan anak susuan, sementara Halimah masih belum mendapat anak susuan, dia kembali menemui baginda dan membawanya pulang. Dalam Sahih Muslim, telah dijelaskan tentang kisah penyusuan ini. (Lihat Sahih Muslim, 1/142)

Setelah dua tahun berlalu, Halimah datang bersama baginda kepada ibunya dengan harapan agar baginda tetap bersamanya, disebabkan oleh keberkatan yang menyertai mereka sepanjang masa Rasulullah tinggal bersama mereka. Akhirnya, baginda tetap bersama Halimah sehingga mencapai batas waktu yang telah ditetapkan untuk mengembalikan baginda kepada ibunya.” (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/175)

Kisah Rasulullah SAW yang disusui oleh selain ibunya sendiri adalah sangat terkenal dalam kitab-kitab Sirah. Kisah ini diceritakan secara langsung oleh Halimah al-Sa’diyah. Dia menceritakan tentang peristiwa kedatangannya ke Mekah dan bagaimana dia akhirnya memilih Rasulullah SAW kerana tidak mendapat pilihan lain. Dia juga menceritakan apa yang berlaku selepas itu, di mana rumah keluarga Halimah mendapat banyak berkat. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh al-Zahabi, hlm. 19)

Peristiwa pembelahan dada telah menyebabkan Rasulullah dikembalikan kepada ibu baginda, Aminah dan datuk baginda, Abdul Muttalib. Ini kerana Halimah merasa risau tentang keselamatan baginda, dan sekaligus ingin menamatkan tanggungjawabnya terhadap baginda walaupun sebenarnya dia sangat sayangkan baginda.

Al-Waqidi meriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa usia Rasulullah ketika dipulangkan oleh Halimah kepada ibunya adalah 5 tahun. (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa’ad, 1/112)

Pendapat lain mengatakan bahawa Nabi SAW dikembalikan kepada ibunya pada usia 4 tahun dan tinggal bersama ibu tercinta sehingga berusia 6 tahun, iaitu sehingga ibunya meninggal dunia di Abwa’ yang terletak di antara Makkah dan Madinah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/155; al-Tabaqat oleh Ibn Sa’ad, 1/116; seperti dalam al-Sirah al-Nabawiyyah al-Sahihah, hlm. 105)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”