#6634: Larangan Mencekak Pinggang Ketika Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah terdapat larangan daripada hadith tentang meletak pinggang ketika solat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110).

Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 9/329).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa benar terdapat larangan daripada hadith tentang mencekak pinggang ketika mendirikan solat. Namun larangan tersebut menunjukkan perbuatan tersebut adalah makruh. Ini kerana perbuatan tersebut menyamai golongan yahudi di mana mereka meletakkan tangan mereka dengan mencekak  pinggang ketika melakukan ibadah.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa beliau berkata:

نَهَى النبيُّ صَلَى اللهٌ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أنْ يُصَلِّيَ الرَّجُلُ مُخْتَصِرًا

Maksudnya: “Dilarang  mencekak pinggang ketika di dalam solat”

Riwayat al-Bukhari (1220)

Hadith ini adalah dalil tentang larangan bagi orang yang solat mencekak pinggangnya. Larangan ini, menurut majoriti ulama, adalah untuk  makruh tanzih. Mereka mengatakan bahawa perbuatan ini tidak membatalkan solat, dan ini adalah pendapat para fuqaha dari mazhab Hanbali, Syafi‘i, dan lain-lain. Selain itu juga, antara hikmah di sebalik larangan ini  adalah untuk menjauhkan diri daripada menyerupai orang Yahudi, kerana mereka meletakkan tangan mereka di pinggang ketika solat. (Lihat Minhah al- ‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 2/433)

Diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Justeru, larangan ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga kekhusyukan dan tumpuan ketika solat. Mencekak pinggang boleh dianggap sebagai perbuatan yang tidak sopan dan boleh mengganggu tumpuan serta kekhusyukan solat bahkan perbuatan tersebut merupakan perbuatan kaum yahudi di mana kita diperintah untuk menyelisihi mereka khususnya dalam ibadah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.