#6636: Hukum Belajar Ilmu Tajwid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum belajar ilmu tajwid bagi masyarakat awam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا

Maksudnya: “Dan bacalah al-Quran dengan tartil.”

(Surah al-Muzammil: 4)

Syeikh Muhammad al-Tahir Ibn ‘Asyur berkata, tartil al-Quran ini adalah pada bacaan yakni tenang dalam melafazkan huruf-huruf al-Quran sehingga keluar dari mulut secara jelas bersama memanjangkan harakat yang sepatutnya dipanjangkan. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 29/260)

Tartil ini merupakan salah satu cara bacaan untuk mempraktikkan ilmu tajwid sebaiknya. Imam Ibn al-Jazari mendefinisikan ilmu tajwid ini, katanya, memberikan hak kepada huruf-huruf, menyusun kedudukannya, mengembalikan huruf ke tempat keluarnya dan asalnya, menyamakannya dengan huruf yang sejenis, memperbetulkan sebutannya, dan melembutkan lafaznya mengikut cara dan kesempurnaan bentuknya, tanpa berlebihan atau memaksa-maksa, tanpa melampau atau dibuat-buat. (Lihat al-Nasyr fi al-Qiraat al-‘Asyr, 1/172)

Dalam bahasa yang lebih mudah, ilmu tajwid ini adalah ilmu untuk mengetahui teknik dan cara melafazkan huruf-huruf al-Quran mengikut tertib yang telah ditetapkan. Hukum mempelajarinya pula, seperti yang disebutkan oleh Sayyid Syaltut, ia merupakan fardhu kifayah, manakala beramal dengannya adalah fardhu ‘ain ke atas setiap mukallaf yang mempunyai ilmu tentangnya.

Imam Ibn al-Jazari juga pernah menyebutkan dalam al-Muaqaddimah:

إِذْ وَاجِبٌ عَلَيْهِمُ مُحَتَّمُ                 قَبْلَ الشُّرُوعِ أَوَّلًا أَنْ يَعْلَمُوا

“Maka wajib ke atas mereka dan dimestikan,

sebelum mereka mulai (membaca al-Quran) hendaklah mereka pelajari dahulu.”

Syeikh Ibrahim al-Dausari berkata, kebanyakan ulama memahami wajib yang disebutkan ini dengan erti kata fardhu kifayah, iaitu sekiranya ada sebahagian kaum muslimin yang mempelajarinya maka gugurlah sebahagian yang lain dari sebarang dosa. Maka dapat difahami, sekiranya ilmu ini ditinggalkan dan tidak ada seorang pun mempelajarinya, maka semua umat Islam dihukum berdosa. Maha Suci Allah, tidak berlalu satu zaman melainkan pasti akan ada yang memberikan sepenuh perhatian kepada ilmu ini; baik dari segi menghuraikannya, menulis tentangnya, mengamalkannya dan sebagainya dari pelbagai bentuk memelihara ilmu ini. (Lihat Fath al-Aqfal Syarh Tuhfah al-Atfal, hlm. 7; Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah, hlm. 18)

Mengapa ia difardhukan ke atas umum masyarakat islam? Kata Imam al-Jazari:

……………………                        لِيَنْطِقُوا بِأَفْصَحِ اللُّغَاتِ

“……………………………..,

agar mereka membacanya dengan bahasa yang paling fasih.”

Hukum mempelajari ilmu ini adalah fardhu ke atas umat Islam agar al-Quran itu dapat dibacakan dengan bahasa Arab yang fasih sebagaimana ia diturunkan kepada Rasulullah SAW dan dengan cara yang Baginda bacakan. Hal yang demikian disebabkan bahasa Arab ini mempunyai banyak loghat, sedangkan al-Quran tidaklah turun dalam kesemua loghat tersebut, sebaliknya ia turun dalam beberapa wajah qiraat yang tertentu sahaja. Kefasihan ini tidak akan tercapai melainkan dengan mempelajari ilmu tajwid yang berkisar tentang makhraj, sifat-sifat huruf, serta apa sahaja yang terkandung dalamnya. (Lihat Syarh al-Muqaddimah al-Jazariyyah, hlm. 22-24)

Semoga seluruh umat Islam diberikan peluang dan ruang untuk terus memperbaiki dan memperelokkan bacaan al-Quran agar kelak ia dapat menjadi syafaat buat mereka.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”