Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, bolehkah melewatkan solat disebabkan telah dihidang santapan makanan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
(Surah al-Nisa’: 103)
Ayat ini menunjukkan bahawa solat-solat itu telah ditentukan waktunya yang tersendiri. Dalam erti kata lain, setiap solat memiliki waktu permulaan dan waktu akhirnya. Justeru, tidak boleh mendahulukannya mahupun mengakhirkannya. Hal ini kerana Allah SWT mewajibkan para hamba-Nya untuk mendirikan solat dan menentukan waktu-waktu solat itu. Oleh yang demikian, seseorang itu tidak boleh menunaikannya bukan pada waktunya melainkan terdapatnya keuzuran syar‘i seperti tertidur, tidak sengaja (terlupa) dan seumpamanya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 120)
Allah SWT juga amat suka dengan mereka yang mengerjakan solat pada awal waktu. Ini disebutkan dalam hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang paling disukai oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW bersabda:
الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا
Maksudnya: “Menunaikan solat pada waktunya.”
Riwayat al-Bukhari (527) dan Muslim (85)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami menyatakan bahawa seorang Muslim dituntut untuk mengerjakan solat pada awal waktu tanpa melewat-lewatkannya. Ini kerana terdapat larangan yang keras bagi mereka yang sengaja melewat-lewatkannya sehingga lalai dari tanggungjawab tersebut. Namun, syarak memberikan kebenaran dalam keadaan tertentu untuk melewatkannya, seperti apabila juadah makanan telah terhidang atau keadaan-keadaan lain yang dibenarkan syarak. Dalam situasi ini, seseorang itu boleh makan terlebih dahulu sebelum mengerjakan solat.
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا قُدِّمَ العَشَاءُ، فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ المَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ
Maksudnya: “Apabila makan malam telah dihidangkan, maka makanlah terlebih dahulu sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan janganlah kamu tergesa-gesa menghabiskan juadah itu.”
Riwayat al-Bukhari (672) dan Muslim (557)
Begitu juga diriwayatkan juga daripada Ibn Umar, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ وَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ
Maksudnya: “Apabila makan malam untuk kamu telah dihidangkan lalu iqamat dikumandangkan, makanlah terlebih dahulu dan jangan makan tergesa-gesa, hingga selesai.”
Riwayat al-Bukhari (673)
Hadith ini adalah dalil bahawa jika makanan dihidangkan pada waktu solat Maghrib, maka hendaklah dimulakan dengan makan sebelum menunaikan solat, dan orang yang makan tidak perlu tergesa-gesa sehingga selesai keperluannya terhadap makanan tersebut. Ini kerana solat adalah hubungan antara hamba dan Tuhannya, dan hubungan ini tidak akan sempurna kecuali dengan hadirnya hati dan kelapangan daripada gangguan. Oleh itu, makan didahulukan supaya solat dapat dilakukan dengan khusyuk dan kehadiran hati.
Ini bukanlah dari segi meremehkan solat atau mengutamakan hak hamba berbanding hak Allah SWT, tetapi ia adalah untuk mengagungkan solat supaya ia dilaksanakan dengan sepenuh hati dan jasad. Secara zahirnya, hadith ini menunjukkan bahawa makanan didahulukan secara mutlak, sama ada orang tersebut memerlukannya atau tidak. Namun, ulama membawa hadith ini kepada situasi di mana seseorang itu benar-benar memerlukan makanan dan hatinya terikat dengannya. Adapun jika tidak ada keperluan kepada makanan, maka tidaklah wajar bagi seorang Muslim untuk menjadikannya sebagai kebiasaan dengan menetapkan waktu makan bertepatan dengan waktu solat, kerana ini akan menyebabkan terlepasnya solat berjemaah. Mereka mungkin mengambil kira makna yang dimaksudkan, iaitu jika jiwa tidak teringin kepada makanan, maka mendahulukan solat tidak akan menjejaskan khusyuk. Berbeza halnya jika jiwa teringin kepada makanan. (Lihat Minhah al- A‘llam fi Syarh Bulugh al-Maram, 2/435)
Imam al-Nawawi berkata: “ini menunjukkan makruhnya solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakan kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’iyyah) dan selain daripada mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/46)
Justeru, berdasarkan perbincangan di atas, dapat difahami bahawa syarak mengharuskan untuk makan terlebih dahulu apabila makanan telah dihidangkan sebelum mendirikan solat. Ini juga bagi memastikan solat dapat dilakukan dengan sempurna dan tidak terganggu atau tergesa-gesa kerana lapar atau rasa ingin makan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Wallahu a’lam.