#6643: Memakan Gulai Biji Getah (Asam Rong)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terbaca di sesetengah tempat ada menyediakan hidangan daripada biji getah yang dipanggil sebagai “asam rong.” Saya pelik, bagaimana biji getah yang keras itu boleh dimasak dan dimakan. Bagaimana syarak melihat akan perkara seperti ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menerangkan secara ringkas berkenaan biji getah dan juga hidangan asam rong tersebut.

undefined

Gambar di atas: Biji getah (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Hevea_brasiliensis#/media/File:Hevea_semillas2.jpg)

Ringkasnya, biji getah ialah biji yang dihasilkan dari pokok getah yang matang. Biji getah ini berbentuk bulat dan lonjong. Warnanya bergantung kepada baka pokok getah itu ada yang berwarna coklat, hitam, merah-kemerahan, berjalur hitam dan putih. Saiz biji getah ini juga mengikut baka pokok tersebut ada yang kecil dan ada yang besar kebiasaanya dalam lingkungan (20mm hingga 35mm). Kulit di bahagian permukaannya keras, licin dan nipis dan mempunyai tertulang di bahagian belakang biji getah ini. Isinya berwarna putih dan ia lembut serta kenyal. Biji getah ini akan gugur sendiri ke bumi jika sudah dan biji getah yang gugur ke bumi ini boleh mengeluarkan tunas dan boleh menjadi baka anak pokok getah yang baru.[1]

Manakala asam rong atau asam rum merupakan makanan tradisional bagi masyarakat di daerah Jerantut, Pahang dan begitu popular di sekitar beberapa perkampungan di dalam daerah ini seperti di kawasan perkampungan kecil iaitu di Kampung Ulu Tembeling, Kampung Kuala Tembeling, Kampung Kuala Tahan dan sekitarnya. Kini asam rong mula dikenali hingga ke beberapa daerah dalam negeri Pahang yang lain seperti di Kuala Lipis, Maran, Raub dan Kuantan. Uniknya ialah asam rong ini diperbuat dari biji buah getah yang dikutip dari bawah pokok getah lalu diproses menjadi asam rong.

undefined

Gambar di atas: Gulai asam rong di satu majlis kenduri (Sumber gambar: https://ms.wikipedia.org/wiki/Asam_rong#/media/Fail:Asamrong.jpg)

Perkataan asam rong ini berasal dari perkataan isirong iaitu merujuk kepada bahagian isi dalam buah dan perkataan asam itu digunakan kerana kaedah penyimpanan dan pembuatan asam rong ini sama dengan asam yang lain. Asam rong ini dipopularkan oleh penduduk di sebelah perkampungan mukim Tembeling, Jerantut, Pahang. Pada asalnya asam rong ini diperbuat dari buah perah iaitu sejenis buah yang didapati dari pokok perah yang tumbuh di dalam hutan tebal. Namun menyedari sukarnya mencari dan mendapatkan buah perah ini penduduk di sini mula mencari alternatif lain dengan menggantikan dengan biji getah iaitu biji dari pokok getah. Pada masa kini mereka menggunakan biji getah kerana ianya senang diperolehi berbanding dengan buah perah yang perlu dicari di dalam hutan tebal. Memandangkan kebanyakan penduduk di sini banyak menanam pokok getah sebagai sumber pendapatan utama mereka maka penggunaan biji getah untuk membuat asam rong ini memudahkan mereka mendapatkan bahan tersebut.

Asam rong ini bukanlah mempunyai rasa masam seperti lazim asam yang lain, ia mempunyai rasa yang sedikit pahit dan lemak. Mungkin kerana ia diperam berbulan-bulan lamanya dan dipanggil asam oleh penduduk di sini lantaran cara penyedian dan penyimpanannya sama dengan asam yang lain.[2]

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudharatan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan — dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Selain itu, al-Qarafi juga ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — berlepas daripada hukum haram.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, biji getah termasuk dalam jenis tumbuhan atau makanan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, kami berpendapat bahawa gulai biji getah atau asam rong, hukumnya kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya selagi mana tidak terdapat dalil lain yang menunjukkan hukum sebaliknya seperti mengandungi racun atau memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Lebih-lebih lagi, sememangnya gulai biji getah atau asam rong ini merupakan makanan tradisi turun temurun di sebahagian tempat. Bahkan, dikatakan ia lebih enak jika dimasak bersama ikan kenerak iaitu spesies ikan sungai yang berkulit tebal dan badan bertompok.[3]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Biji_getah. Diakses pada 1 Ogos 2024.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Asam_rong. Diakses pada 1 Ogos 2024.

[3] Lihat https://www.hmetro.com.my/WM/2021/06/715998/gulai-biji-getah. Diakses pada 1 Ogos 2024.