#6648:  Mahar Safiyyah R.A

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Mahar isteri Baginda SAW berupa pembebasannya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Mahar dan Konsepnya dalam Islam

Kami mulakan jawapan ini dengan mengemukakan definisi mahar dan pengertiannya terlebih dahulu. Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:

ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ

Maksudnya: “Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/151)

Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’i telah mendefinisikan mahar dengan maksud:

هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا

Maksudnya: “Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/220)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji berkata: Mahar atau mas kahwin ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya dengan sebab akad nikah.” Mahar juga disebut sebagai al-sadaq dan hukumnya adalah wajib  sebaik sahaja sempurna akad nikah sama ada mas kahwin itu disebut dengan kadar tertentu ataupun tidak semasa akad tersebut. Jika terdapat permuafakatan menafikannya atau tidak menyebutnya, persetujuan tersebut batal dan mas kahwin tetap wajib diserahkan.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/75)

Dalam istilah bahasa Melayu, merujuk kepada Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, mahar kahwin adalah merupakan pemberian yang diwajibkan daripada pengantin lelaki kepada pengantin perempuan.

Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

Maksudnya: “Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.”

(Surah al-Nisa’: 4)

Ibn Kathir berkata: Menurut Ibn Abbas, perkataan النحلة membawa maksud mahar. Ibn Zaid pula menjelaskan, ianya bermaksud sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan aqad nikah. Seorang lelaki wajib menyerahkan mahar kepada wanita sebagai hadiah dan pemberian ke atasnya dengan penuh kerelaan hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/235)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan benar Rasulullah mengahwini Safiyyah dan maharnya adalah berupa pembebasannya. Yang demikian sebagaimana yang dikisahkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau berkata:

 أنَّهُ أَعْتَقَ صَفِيَّةَ، وَجَعَلَ عِتْقَها صَداقَها

Maksudnya: “Bahawa Baginda telah membebaskan Safiyyah dan menjadikan pembebasannya sebagai mas kahwinnya.”

Riwayat al-Bukhari (371) dan Muslim (1365)

Dalam hadith ini terdapat dalil bahawa dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memerdekakan hamba perempuannya dan berkahwin dengannya, serta menjadikan kemerdekaannya sebagai mahar. (Lihat Minhah al-‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/373)

Syeikh Abd al-Qadir Syaibah al-Hamd dalam kitabnya Fiqh al-Islam (7/90) menyebutkan bahawa: Jika dia membebaskan hamba perempuannya dengan menjadikan pembebasan itu sebagai mas kahwinnya, maka sah pembebasan, perkahwinan, dan mas kahwinnya tersebut.

Justeru, berdasarkan hadith di atas ia pembebasan Safiyyah sebagai mas kahwin menunjukkan penghormatan yang tinggi kepada beliau, menjadikan beliau bukan sahaja bebas tetapi juga menjadi isteri Rasulullah SAW. Selain itu juga, Baginjda menunjukkan bahawa mas kahwin tidak semestinya sesuatu yang mahal atau rumit, tetapi boleh menjadi sesuatu yang sederhana tetapi bermakna.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahua’lam