#6650: Memakan Ikan Katak (Frogfish)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada membaca berkenaan seekor ikan yang dikenali sebagai frogfish. Fizikal ikan itu, seperti menggerutu dan ada pelbagai warna. Soalan saya, adakah ia halal dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan definisi dan sedikit penjelasan berkenaan ikan katak atau frogfish ini. Ikan katak, adalah mana-mana daripada kira-kira 60 spesies ikan marin kecil dari keluarga Antennariidae (order Lophiiformes), biasanya ditemui di perairan cetek tropika. Ikan katak adalah ikan yang kukuh, agak berbonjol dengan mulut besar dan, selalunya, kulit berduri. Spesies terbesar tumbuh kira-kira 30 cm (12 inci) panjang.

Ikan katak, anggota kumpulan yang dikenali sebagai ikan angler, biasanya dilengkapi dengan “batang pancing,” yang di hujungnya terdapat “umpan” berdaging, terletak di hidung dan berasal dari duri sirip dorsal pertama. Umpan ini digunakan untuk memikat ikan mangsa. Ikan katak berbeza warna; sering kali bercorak untuk menyatu dengan persekitaran mereka, ada yang mampu menukar warna. Mereka biasanya berbaring diam di dasar laut atau merangkak perlahan-lahan dengan sirip pektoral mereka yang menyerupai anggota badan. Ikan sargassum (Histrio histrio) bercorak sangat mirip dengan rumpai sargassum di mana ia hidup.[1]

 

Frogfish Yawning at Racha Noi Phuket

Gambar di atas: Frogfish

https://www.localdivethailand.com/rare-finds/frogfish-bizarre-eating-machine-

Memakan Ikan Katak (frogfish)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, haiwan laut/air dapat dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548).

Bahkan, ulama mazhab Hanafi berpendapat jenis hidupan air yang halal dimakan hanyalah ikan sahaja. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Mukhtasar al-Quduri (hlm. 207) bahawa tidak dimakan haiwan/hidupan air melainkan hanya ikan dan makruh (tahrim) memakan yang terapung daripadanya (ikan tersebut), serta tidak mengapa memakan al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut).[2] Begitu juga al-Sarakhsi daripada kalangan ulama  Hanafiyyah turut menyebutkan bahawa semua jenis ikan adalah halal dimakan. Al-Jarith (الْجِرِّيثُ – ikan keli) dan al-Maramahi (المارماهي – belut) serta selainnya adalah sama sahaja (dari segi hukumnya). Manakala haiwan/hidupan air selain ikan adalah tidak halal untuk dimakan di sisi kami. (Lihat al-Mabsut, 11/248).

Di antara sebab haiwan/hidupan air selain ikan tidak halal dimakan di sisi Hanafiyyah kerana ia dianggap sebagai khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Hidupan air selain ikan adalah termasuk dalam benda khabith (benda yang dianggap buruk dan jijik). Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh ‘Abd al-Ghani al-Maidani dalam al-Lubab fi Syarh al-Kitab (3/231) ketika mensyarahkan kenyataan al-Quduri dan begitu juga turut disebutkan oleh al-Marghinani dalam al-Hidayah fi Syarh Bidayah al-Mubtadi (4/353).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa ikan katak (frogfish) adalah halal dan diharuskan untuk dimakan selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya seperti mengandungi racun dan seumpamanya. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan lautan dalam dan dihukumkan sebagai halal dan begitu juga bangkainya berdasarkan kepada keumuman nas al-Quran dan juga al-Sunnah.

Bahkan ketika ditanyakan adakah ikan katak beracun? Jawapannya, kebanyakan ikan katak, seperti ikan katak berbulu (hairy frogfish), tidak beracun. Terdapat beberapa spesies ikan kodok (toadfish) yang beracun, dalam keluarga Batrachoididae — tetapi itu bukan ikan katak (frogfish). Begitu juga ikan katak tidak diketahui mempunyai rasa yang sedap, jadi anda tidak patut memakannya.[3] Ini menunjukkan bahawa ikan ini dimakan, meskipun rasanya dikatakan kurang sedap.

Di samping itu, pada hakikatnya juga ia bukanlah katak yang diharamkan untuk dimakan sekalipun ia dipanggil sebagai ikan katak ataupun tergolong dalam spesies atau jenis katak, sebaliknya ia adalah haiwan yang jauh berbeza sama sekali; satu merupakan spesies ikan dan satu lagi merupakan spesies amfibia. Justeru kaedah ada menyebutkan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung: 

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/frogfish. Diakses pada 1 Ogos 2024.

[2] ‘Alauddin al-Haskafi mendefinisikan al-Jarith sebagai sejenis ikan berwarna hitam — iaitu merujuk kepada ikan keli. Manakala al-Maramahi sebagai sejenis ikan dalam bentuk ular — iaitu merujuk kepada belut. (Lihat al-Durr al-Mukhtar, hlm. 542).

[3] Lihat https://www.uwphotographyguide.com/frogfish#:~:text=Are%20Frogfish%20Poisonous%3F,you%20should%20not%20eat%20them. Diakses pada 1 Ogos 2024.