Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibenarkan untuk saya meminta kepada Allah SWT agar saya dapat bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dalam mimpi, supaya saya dapat mengemukakan soalan kepada baginda? Terdapat beberapa perkara yang ingin saya ketahui dan mendapatkan jawapannya daripada baginda?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tidak ada masalah jika seseorang itu memohon dan berdoa kepada Allah untuk melihat Nabi Muhammad SAW dalam mimpi kerana kerinduan untuk bertemu baginda SAW, kerana itu adalah kenikmatan yang menjadi penyejuk mata bagi orang beriman.
Melihat baginda SAW dalam mimpi adalah harus dan dibenarkan, sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَمَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَقَدْ رَآنِي، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لاَ يَتَمَثَّلُ فِي صُورَتِي
Maksudnya: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpinya, bererti dia benar-benar melihatku. Ini kerana syaitan tidak mampu menyerupai dengan rupaku.”
Riwayat al-Bukhari (110) dan Muslim (2266)
Justeru, pada dasarnya, dibenarkan untuk seseorang itu memohon kepada Allah SWT dengan apa yang diizinkan selagi mana doa ini tidak mengandungi sebarang kesalahan. Namun begitu, memohon dan berdoa untuk melihat mimpi bagi tujuan bertanya tentang sesuatu perkara, bukanlah kaedah yang betul; kerana jika perkara itu berkaitan dengan agama, maka agama tidak boleh diambil daripada mimpi. Pertanyaan mengenai sesuatu perkara dalam agama perlu dirujuk kepada ahli ilmu, sebagaimana firman Allah SWT:
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”
(Surah an-Nahl: 43).
Dan jika perkara itu berkaitan dengan urusan dunia dan diri manusia, maka Nabi Muhammad SAW tidak mengetahui perkara ghaib kecuali apa yang diberitahu oleh Allah SWT kepada baginda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW sedang berkhutbah dan bersabda:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّكُمْ مَحْشُورُونَ إِلَى اللَّهِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا»، ثُمَّ قَالَ: {كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ} إِلَى آخِرِ الآيَةِ، ثُمَّ قَالَ: «أَلاَ! وَإِنَّ أَوَّلَ الخَلاَئِقِ يُكْسَى يَوْمَ القِيَامَةِ إِبْرَاهِيمُ. أَلاَ! وَإِنَّهُ يُجَاءُ بِرِجَالٍ مِنْ أُمَّتِي فَيُؤْخَذُ بِهِمْ ذَاتَ الشِّمَالِ، فَأَقُولُ: يَا رَبِّ أُصَيْحَابِي. فَيُقَالُ: إِنَّكَ لاَ تَدْرِي مَا أَحْدَثُوا بَعْدَكَ. فَأَقُولُ كَمَا قَالَ العَبْدُ الصَّالِحُ: {وَكُنتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَّا دُمْتُ فِيهِمْ ۖ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنتَ أَنتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ ۚ}. فَيُقَالُ: إِنَّ هَؤُلاَءِ لَمْ يَزَالُوا مُرْتَدِّينَ عَلَى أَعْقَابِهِمْ مُنْذُ فَارَقْتَهُمْ».
Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya kamu akan dibangkitkan di hadapan Allah dalam keadaan tanpa alas kaki, bertelanjang dan tidak bersunat.” Kemudian Baginda membaca: {كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُّعِيدُهُ ۚ وَعْدًا عَلَيْنَا ۚ إِنَّا كُنَّا فَاعِلِينَ} (Maksudnya: “Sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya.”) [Surah Al-Anbiya’: 104] Kemudian Baginda bersabda: “Ketahuilah! Sesungguhnya makhluk pertama yang diberikan pakaian pada Hari Kiamat ialah Nabi Ibrahim. Ketahuilah! Sesungguhnya didatangkan beberapa orang lelaki daripada umatku, lalu diseret ke arah kiri (neraka), lantas aku berkata: Wahai Tuhan! (mereka ialah) sekumpulan kecil sahabatku.” Lalu dikatakan: “Sesungguhnya kamu tidak tahu apa yang mereka lakukan selepasmu (selepas kewafatanmu). Maka aku berkata sebagaimana perkataan hamba yang soleh (Nabi Isa): {وَكُنتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَّا دُمْتُ فِيهِمْ ۖ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِي كُنتَ أَنتَ الرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ} (Maksudnya: “Dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka.”) [Surah al-Maidah: 117] Dikatakan: “Sesungguhnya mereka itu kembali murtad ke agama yang lama sejak kamu berpisah dengan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (4625) dan Muslim (2860)
Cara ini berbahaya kerana mungkin syaitan akan datang dalam bentuk selain daripada Nabi SAW, menyesatkannya dan memberikan jawapan yang batil untuk menyesatkannya. Ini telah berlaku kepada ramai sufi sesat yang menyebarkan penyelewengan dan kesesatan, mendakwa bahawa mereka menerima arahan daripada Nabi SAW dalam mimpi, mungkin benar bahawa mereka melihat sesuatu, tetapi bukan Nabi SAW, sebaliknya mereka telah ditipu.
Di sini kami kongsikan beberapa pandangan ulama bahawa mimpi tidak boleh dijadikan sumber hukum:
- Abu al-Walid ibn Rusyd berkata: “Berkenaan hukum yang mana dua saksi yang adil telah memberikan kesaksian di hadapannya, maka tidak halal baginya untuk meninggalkan keputusan berdasarkan kesaksian tersebut hanya kerana apa yang dilihatnya dalam mimpi, bahawa Nabi SAW berkata kepadanya: “Jangan kamu memutuskan dengan kesaksian ini, kerana ia adalah palsu.” Hal ini kerana membatalkan hukum-hukum syariah berdasarkan mimpi adalah tidak sah dan tidak boleh dipercayai serta tidak boleh diperkatakan; sesungguhnya yang mengetahui perkara ghaib dari sudut ini hanyalah para nabi A.S yang mana bagi mereka ia adalah wahyu daripada Allah. Adapun selain mereka, mimpi mereka hanyalah sebahagian daripada empat puluh enam bahagian kenabian..” (Lihat Masail Ibn Rusyd, 1/ 533).
- Al-Syatibi berkata: “Dan yang paling lemah hujahnya di antara mereka adalah golongan yang bersandar kepada mimpi dalam mengambil amal perbuatan, lalu mereka menerima dan menolak sesuatu kerana mimpi tersebut. Mereka berkata: “Kami melihat si fulan – seorang lelaki yang soleh – berkata kepada kami: tinggalkan ini, lakukan ini.”Ini sering berlaku dalam kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pengamal tasawuf. Mungkin ada yang berkata: “Saya melihat Nabi SAW dalam mimpi, baginda berkata kepada saya begini, dan memerintahkan saya begini,” lalu mereka melaksanakannya dan meninggalkan sesuatu kerana mimpi tersebut, mengabaikan batas-batas yang ditetapkan dalam syariat. Ini adalah perkara yang salah; kerana mimpi selain daripada para nabi tidak boleh dijadikan hukum syara’ dalam apa jua keadaan, kecuali jika mimpi tersebut selari dengan hukum syara’ yang ada pada kita. Jika ia menepati hukum syara’, maka boleh diamalkan mengikut maksudnya, jika tidak, wajib ditinggalkan dan diabaikan. Kegunaan mimpi hanyalah sebagai berita gembira atau amaran sahaja, tetapi untuk mengambil hukum daripadanya; maka tidak dibolehkan. (Lihat al-I’tisam, 1/331).
- Imam al-Nawawi berkata: ” Kata-kata (bahawa Hamzah al-Zayyat melihat Nabi SAW dalam mimpi, lalu beliau memperlihatkan kepada baginda apa yang didengarnya daripada Aban, dan baginda hanya mengenali sedikit daripadanya)?! Qadi ‘Iyad berkata: Ini dan yang sepertinya hanyalah sekadar sebagai penguat dan sokongan terhadap apa yang telah ditetapkan tentang kelemahan Aban, bukanlah ia satu ketetapan dengan berdasarkan mimpi, atau ia membatalkan sesuatu sunnah yang telah tetap, dan bukan juga menetapkan sunnah yang tidak tetap. Ini adalah ijma’ ulama. Inilah kata-kata Qadi ‘Iyad.
Begitu juga dikatakan oleh ulama lain daripada kalangan mazhab kami dan selainnya, mereka menukilkan kesepakatan bahawa apa yang telah ditetapkan dalam syariat tidak boleh diubah disebabkan apa yang dilihat oleh orang yang bermimpi.
Apa yang disebutkan ini tidak bertentangan dengan sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah melihatku”: maksud hadis ini adalah bahawa penglihatannya dalam mimpi adalah benar, dan bukanlah daripada mimpi yang biasa atau tipu daya syaitan. Namun tidak boleh menetapkan hukum syarak dengannya; kerana keadaan tidur bukanlah keadaan yang boleh mengesahkan dan memastikan apa yang didengar oleh orang yang bermimpi, dan mereka bersepakat bahawa antara syarat bagi seseorang yang diterima riwayat dan kesaksiannya adalah dia mesti dalam keadaan sedar, tidak lalai, tidak buruk ingatan, tidak banyak kesilapan, dan tidak cacat dalam hafalannya, sedangkan orang yang tidur, tidak memiliki sifat-sifat ini, maka riwayatnya tidak diterima kerana ketidakcukupan dalam hafalannya.
Ini semua berkenaan mimpi yang berkaitan dengan menetapkan hukum yang berbeza dengan apa yang telah diputuskan oleh para hakim.
Adapun jika seseorang melihat Nabi SAW memerintahkannya melakukan sesuatu yang disunatkan, atau melarangnya daripada sesuatu yang dilarang, atau membimbingnya melakukan sesuatu yang bermanfaat: tiada khilaf tentang disunnahkan untuk beramal mengikutnya; kerana itu bukanlah hukum semata-mata berdasarkan mimpi, tetapi telah ditetapkan daripada hukum asalnya. Wallahu a’lam. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/115)
- Dalam Hasyiyah al-‘Attar Syarh al-Jalal al-Mahalli ‘ala Jam’ al-Jawami’, disebutkan: “Dan tidak semestinya daripada kebenaran melihat Nabi SAW dalam mimpi itu bergantung kepada mimpi tersebut dalam menetapkan hukum syarak; kerana terdapat kemungkinan kesilapan dalam penerimaan dan ketidakmampuan orang yang bermimpi untuk memastikan apa yang dilihatnya dengan tepat. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki melihat Nabi SAW dalam mimpi dan baginda berkata: “Di tempat tertentu terdapat harta karun, pergilah dan ambillah, dan tidak perlu bayar khums (seperlima daripadanya).” Lelaki itu pergi dan menemui harta tersebut!! Dia pun meminta fatwa daripada ulama, lalu ‘Izz Ibn ‘Abd al-Salam berkata: “Keluarkan khums; kerana ketetapan hukum ini adalah melalui tawatur (riwayat yang mutawatir), sedangkan penglihatanmu hanyalah satu riwayat ahad.” (Lihat Hasyiah al-‘Attar, 2/467).
Justeru, berdasarkan hal ini, hukum syariah tidak boleh diambil daripada mimpi walaupun ia merupakan mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW, melainkan perkara tersebut adalah perkara yang selari dengan syariat.
Bergantung kepada perkara mimpi tidak sepatutnya dilakukan, dan seorang pencinta Nabi SAW hendaklah membaca sunnah dan sirahnya. Mungkin jika kamu mencari dalam sunnahnya apa yang kamu inginkan, kamu akan menemuinya dengan jalan yang lebih dekat, lebih benar, dan lebih mudah. Bagaimana seseorang boleh berpaling daripada wahyu yang terjaga daripada kesilapan, untuk mencari pengetahuan dalam perkara yang diragukan, yang mungkin diselewengkan baginya.
Baginda SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا، فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ، تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ، فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang hidup selepasku akan melihat banyak perpecahan, maka berpeganglah kepada sunnahku dan sunnah khulafa ar-rasyidin yang mendapat petunjuk, gigitlah ia dengan gigi geraham, dan berhati-hatilah dengan perkara-perkara baru (dalam agama), kerana setiap yang baru itu bidaah, dan setiap bidaah itu sesat.”
Riwayat Abu Dawud (4607), al-Tirmizi (2676) dan Ibn Majah (42).
Baginda SAW bersabda dalam khutbahnya semasa Haji Wada’:
وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ، كِتَابُ اللهِ
Maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu sesuatu yang jika kamu berpegang kepadanya, kamu tidak akan sesat: Kitab Allah.”
Riwayat Muslim (1218)
Inilah jalan yang selamat, maka berpeganglah kepadanya: al-Quran dan sunnah, dan sunnah khulafa’ al-rasyidin, dan berusahalah untuk menuntut ilmu, dan menerimanya daripada orang yang dipercayai, maka kita akan berjaya dan selamat di dunia dan akhirat, dengan izin Allah.
Wallahu a’lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”