#6657: Makan Dari Tepi Pinggan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah Rasulullah SAW memerintahkan sahabat untuk memulakan makan dari tepi pinggan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Ayat di atas menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kamu semua dapat mengikutinya. Maka, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Begitu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420)

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.

Islam dikenali sebagai agama yang sempurna kerana ia membimbing manusia dalam segala aspek kehidupan, dari yang paling kecil hinggalah kepada yang terbesar. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga digambarkan sebagai individu yang luar biasa, kerana Baginda telah menyampaikan wahyu-wahyu Allah dan ajaran agama kepada  umatnya dengan sempurna.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan benar, Rasulullah SAW pernah mengajar adab ketika ingin menjamah makanan iaitu dimulakan dengan mengambil makanan di tepi pinggan bukan makanan yang berada di tengah pinggan. Ini kerana dengan memulakan makan dari tepi, makanan di tengah tetap bersih dan tidak tercemar oleh tangan. Ini bagi memastikan baki makanan boleh dimakan oleh orang lain dengan selamat dan bersih. Inilah sunnah yang telah diamalkan oleh Baginda SAW dan sahabat-sahabatnya  R.Anhum.

Diriwayatkan daripada Ibn  ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW didatangkan dengan pinggan besar berisi tharid. Lalu Baginda bersabda:

كُلوا مِن جوانبِها، ولا تأكُلوا مِن وَسَطِها؛ فإنَّ البَركةَ تنزِلُ في وسَطِها.

Maksudnya: “Makanlah dari tepinya, dan jangan makan dari tengahnya, kerana keberkatan turun di tengahnya.”

Riwayat al-Tarmizi (1805)

Dinyatakan dalam Minhah al- ‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram (7/445) bahawa: Hadith ini menunjukkan bahawa disunatkan makan dari tepi pinggan dan makruh makan dari tengahnya. Ini adalah sunnah, dan adab syarak yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW; kerana Nabi SAW melarang makan dari tengahnya, dan bersabda: “Keberkatan turun di tengahnya.” Antara keberkatannya adalah makanan yang sedikit mencukupi ramai orang, menjadikan makanan mudah dicerna, dan jika ada baki, ia akan tetap bersih kerana tidak disentuh tangan, jadi orang lain boleh memanfaatkannya. Sebaliknya, memulakan dari tengah akan merosakkan dan mengotorkan makanan, menyebabkan ia dibuang walaupun banyak.

Justeru, jelaslah kepada kitab bahawa Baginda SAW memberikan panduan yang jelas tentang adab makan yang membawa kepada keberkatan, kebersihan, dan penghormatan terhadap rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Oleh yang demikian,  sebagai seorang muslim adalah sewajarnya mengikut apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam segenap aspek kehidupan kerana padanya terdapat hikmah dan manfaat yang besar.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam