#6658: Membaca Ayat-Ayat Lazim semasa Haid

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada soalan, bolehkah membaca al-quran atau ayat ayat lazim semasa haidh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam masalah wanita membaca al-Quran ketika haid, terdapat dua pandangan:

Pertama: Haram

Ini merupakan pendapat kebanyakan Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam haid dan sedang berjunub berdasar kepada hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

لاَ تَقْرَأُ الحَــائِضُ وَلاَ الجُــنُبُ شَــْـيئاً مِنَ القُرأَنِ

Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”

Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596) Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan dalam sanad hadith ini terdapat Ismail bin Ayyash yang meriwayatkan selain daripada ahli negerinya dan hadith ini terdapat dua jalur dan kedua-duanya dhaif.

Kedua: Harus

Ini adalah pendapat ulama Malikiah mengikut riwayat yang sahih mengatakan bahawa: Dibolehkan untuk memegang al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana hari-hari haid itu berlangsung adalah cukup lama. Maka, jika mereka dilarang daripada membaca al-Quran, dibimbangi bahawa mereka akan melupakan al-Quran. Sedangkan berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid. Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz Al-Quran untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupakan hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid dan nifas.

Inilah juga pendapat tokoh ulama silam seperti Imam al-Bukhari, al-Tabari, Ibn Munzir, Dawud al-Zahiri, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul Qadimnya dan kebanyakan ulama masa kini seperti Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin dan lain-lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, al-Syeikh Abdullah Al-Bassam, 1/461)

Malah dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga dibolehkan untuk membaca al-Quran sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Majmu’ al-Fatawa: “Membaca al-Quran bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Quran dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi jika dia yakin bahawa tidak melupakan bacaan al-Quran tersebut maka tak perlulah dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 1/636)

Antara pandangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 14 Syawal 1437 bersamaan 19 Julai 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:

“Hukum wanita haid membaca al-Quran menurut qaul muktamad dalam mazhab Syafie ialah haram sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Walaubagaimanapun, adat budaya pada zaman sekarang dalam mempelajari al-Quran sudah berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang mana salah satu kemajuannya adalah ianya telah menjadi satu bidang yang diiktiraf di peringkat Negara dan juga antarabangsa.

Justeru, pandangan ulama’ kontemporari seperti mantan syeikh al-Azhar, Syeikh Jadul Hak Ali Jadul Hak dan selainnya yang mengharuskan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Quran dan membacanya atas faktor peperiksaan atau ujian adalah lebih sesuai untuk dijadikan hukum berdasarkan kepada kaedah darurat atau masyaqqah dan juga maslahah kerana waktu peperiksaan adalah terhad dan terbatas. Keharusan dalam masalah ini juga boleh disandarkan kepada qaul qadim Imam Syafie yang menyatakan bahawa “wanita yang sedang dalam haid harus membaca al-Quran”.

Pandangan Ulama’

Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata: “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Quran dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” (Lihat Hasyiyah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284)

Syeikh Salih Abd al-Sami’ al-Abi berkata: “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Quran.” (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32)

Al-Mardawi al-Hanbali berkata: “Ditegah wanita haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” (Lihat al-Insaf, 1/347)

Ibn Hajar al-’Asqalani menukilkan daripada Ibn Rusyd dan Ibn Battal bahawa dikehendaki Imam al-Bukhari yang berdalilkan keharusan membaca al-Quran bagi haid dan junub sedangkan tidak sah dari sisi musannif sesuatu pun hadis tentang itu. (Lihat Fath al-Bari, 1/486)

Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan hukum wanita nifas dalam bab membaca al-Quran yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Quran sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiyah al-Dasuqi, 1/175)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa membaca al-Quran atau ayat-ayat lazim ketika dalam haid adalah dibolehkan berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan. Justeru, dibolehkan untuk perempuan yang berada dalam haid dan nifas untuk membaca ayat-ayat lazim sebelum tidur, bacaan 3 qul dan ayat al-Quran lain dan seumpamanya.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: “Yang benar menurut pandangan para ulama’ ialah tidak ada masalah bagi wanita haid dan nifas untuk membaca apa yang mereka hafal daripada al-Quran. Tidak ada masalah juga bagi wanita haid dan nifas untuk membaca Ayat al-Kursi ketika tidur, dan tidak ada masalah bagi mereka untuk membaca sebanyak yang mereka mampu dari Al-Quran pada semua waktu dengan ikhlas dari hati. Inilah yang benar dan ini adalah yang asalnya. Oleh sebab itu, Nabi SAW memerintahkan Aisyah R.Anha ketika beliau haid semasa Haji Wada’ untuk melakukan apa yang dilakukan oleh para haji, kecuali tidak melakukan tawaf di sekitar Kaabah hingga dia bersuci, dan dia tidak dilarang membaca al-Quran.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”