#6663: Benarkah Suami Terakhir di Dunia Adalah Suami di Syurga?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sekiranya seorang wanita berkahwin sekali lagi setelah kematian suaminya, adakah pada hari akhirat nanti dia akan bersama suaminya yang terakhir?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

 تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَن كَانَ تَقِيًّا

Maksudnya: “Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan pusaka kepada orang-orang. yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.”

(Surah Maryam: 63)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang sentiasa bertakwa. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 332)

Sebelum ini kami juga pernah mengeluarkan sebuah artikel yang hampir serupa dengan persoalan yang diajukan ini. Saudari yang bertanya boleh merujuk artikel kami yang bertajuk: “Isteri Memilih Suami Pertama yang Sudah Meninggal Dunia Sebagai Suami di Syurga.”

Menerusi artikel tersebut, kami bawakan beberapa pendapat ahli ilmu berkenaan isu: Siapakah suami yang akan bersama dengan isteri pada hari akhirat kelak. Terdapat 3 pendapat yang berbeza dalam masalah ini, dan antara pendapat yang disebutkan adalah si isteri akan bersama dengan suami terakhirnya di dunia dahulu. Mereka berhujah dengan sebuah nas yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ R.A, katanya bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا، فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.”

Riwayat al-Tabarani (3130) di dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3/275)

Antara hujah dalam pendapat ini juga adalah hadith Huzaifah R.A, ketika beliau menyebutkan kepada isterinya:

إِنْ شِئْتِ أَنْ تَكُونِي زَوْجَتِي فِي الْجَنَّةِ، فَلَا تَزَوَّجِي بَعْدِي، فَإِنَّ الْمَرْأَةَ فِي الْجَنَّةِ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا فِي الدُّنْيَا

Maksudnya: “Sekiranya engkau mahu bersamaku sebagai isteri di Syurga, maka janganlah engkau berkahwin lagi setelah pemergianku. Sesungguhnya wanita di Syurga kelak akan bersama suaminya yang terakhir semasa di dunia.”

Riwayat al-Baihaqi (13421) dalam al-Sunan al-Kubra.

Riwayat-riwayat ini mempunyai perbincangan dari sudut sanadnya, dan ia tidak terlepas daripada kritikan para ulama atau tokoh-tokoh hadith. Imam al-Suyuti menyatakan bahawa seorang wanita dan isteri itu akan bersama suaminya yang terakhir sekiranya kesemua suaminya itu sama baik dari sudut akhlak dan kelakuannya. Sekiranya tidak, maka wanita tersebut akan memilih yang paling baik akhlaknya. (Lihat al-Jami‘ al-Saghir, 262/1)

Namun begitu, perkara sebegini adalah termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib kerana ia melibatkan hal syurga. Justeru, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada Allah SWT. Dia jualah yang Maha Tahu dan Maha Memberi kepada sekalian hamba-Nya apa sahaja yang dikehendaki. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam