Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Benarkah kita digalakkan untuk bersembang atau berbual-bual ketika makan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab: 21)
Ayat ini menunjukkan bahawa sesungguhnya telah ada bagi kamu semua (wahai orang-orang yang beriman) pada perkataan-perkataan Nabi SAW, perbuatan-perbuatannya, dan keadaan-keadaannya contoh teladan yang baik, agar kita semua dapat mengikutinya. Justeru, berpeganglah dengan sunnahnya kerana sesungguhnya ia dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat. Selain itu juga, perbanyakkanlah mengingati Allah dan memohon keampunan daripada-Nya, serta bersyukur kepada-Nya dalam setiap keadaan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 420).
Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Azkar ada mengadakan satu bab khusus yang menerangkan sunnah bercakap dan berbual-bual sambil makan. Beliau menyebutkan, “بابُ استحباب الكَلامِ على الطَّعام” (Bab mengenai anjuran berbicara ketika makan).
Di antara dalil yang dijadikan sebagai sandaran kepada sunnah bercakap/berbual sambil makan ialah hadith yang diriwayatkan Jabir, katanya:
أنَّ النبيَّ صَلّى اللَّهُ عليه وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الأُدُمَ، فَقالوا: ما عِنْدَنا إلّا خَلٌّ، فَدَعا به، فَجَعَلَ يَأْكُلُ به، ويقولُ: نِعْمَ الأُدُمُ الخَلُّ، نِعْمَ الأُدُمُ الخَلُّ
Maksudnya: “Nabi SAW meminta kepada ahli keluarganya lauk. Mereka menjawab: ‘Kami tidak mempunyai lauk melainkan cuka.’ Lalu, Baginda meminta supaya dibawakan kepadanya cuka itu dan Baginda pun memakannya sambil bersabda: ‘Sebaik-baik lauk adalah cuka, sebaik-baik lauk adalah cuka.’”
Riwayat Muslim (2052)
Seterusnya, Imam al-Nawawi menukilkan pula kenyataan Imam al-Ghazali dalam al-Ihya’ bahawa termasuk dalam adab-adab makan adalah bercakap perkara baik semasa makan dan bercerita tentang kisah orang-orang soleh berkaitan makanan dan lain-lain. (Lihat al-Azkar, hlm. 392)
Tambahan lagi, turut dinukilkan bahawa Ibn al-Jauzi ada menyebutkan kenyataan yang senada dengan Imam al-Ghazali di atas, di mana beliau menyebutkan, salah satu adab makan adalah tidak berdiam diri ketika makan, tetapi berbicara perkara baik dan menceritakan kisah orang-orang soleh berkaitan makanan. (Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 8/333).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa berbual-bual atau bercakap-cakap ketika makan tidaklah dilarang, sebaliknya kita dianjurkan atau disunatkan untuk bercakap-cakap perkara yang baik ketika makan dan begitu juga bercerita tentang kisah orang-orang soleh. Apatah lagi, dengan berbual-bual atau bersembang-sembang itu akan menjadikan suasana makan lebih menyeronokkan, di samping mengeratkan lagi ukhuwah sesama Muslim dan juga menjadi salah satu cara untuk saling mengingatkan tentang kebaikan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”