#6669: Solat dalam Keadaan Berpeluh 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tertanya-tanya adakah sah solat seseorang dalam keadaan berpeluh; pada badan atau pakaiannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir: 4)

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 776).

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895).

Seterusnya, di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.

Riwayat Abu Daud (365)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kita hendaklah mengetahui bahawa menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, peluh ialah  air yang keluar dari lubang-lubang seni pada kulit tubuh.[1] Tujuan utama badan manusia berpeluh adalah untuk mengawal suhu melalui perembesan keluar air daripada kelenjar ekrin. Seorang dewasa boleh menghasilkan peluh sebanyak 2–4 liter sejam atau 10–14 liter sejam (10–15 g/min·m²), kanak-kanak sebelum mencapai akil baligh pula jauh kurang penghasilan peluhnya. Penyejatan peluh daripada permukaan kulit memberi kesan penyejukan disebabkan penyejukan sejat. Oleh itu, lebih banyak peluh akan dihasilkan dalam persekitaran yang bersuhu panas atau otot-otot seseorang menghasilkan haba akibat penggunaan tenaga.[2]

Imam al-Nawawi ada menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577). Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan bahawa bagi manusia, apa yang keluar dari saluran selain daripada qubul dan dubur ada dua jenis. Salah satunya ada suci seperti air liur, air mata, peluh dan hingus. (Lihat al-Mughni, 2/493). Begitulah juga, al-Bajuri menyatakan, sesuatu yang keluar dari saluran lain (selain qubul dan dubur) dihukumkan sebagai suci kecuali muntah yang keluar dari mulut selepas sampai ke dalam perut. (Lihat Hasyiah al-Bajuri, 1/100).

Justeru, jelaslah bahawa hukum asal peluh manusia adalah suci dan bukannya najis sekalipun ia dianggap sebagai jijik oleh sebahagian manusia.

Lebih-lebih lagi, peluh turut dihukumkan sebagai suci kerana ia merupakan cabang kepada hukum asal iaitu manusia yang dihukumkan sebagai suci. Justeru, hukum yang sama terpakai kepada cabangnya atau apa yang berasal daripadanya. Ini berdasarkan kaedah:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya:(Hukum bagi) yang mengikut itu mengikut (hukum bagi yang asal).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, 1/117)

Begitu juga, jika timbul keraguan berkenaan peluh itu dan tidak ada sebarang tanda yang menunjukkan kepada kenajisannya, maka ia kekal sebagaimana hukumnya yang asal, iaitu suci. Ini bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْل بَقَاء مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya:Hukum asal sesuatu itu kekal mengikut keadaan asalnya.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 6/13)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa solat seseorang yang didirikan dalam keadaan dia berpeluh atau pakaiannya basah disebabkan oleh peluh adalah sah dan tidak perlu diulangi kerana peluh itu dianggap suci dan bukannya najis.  Hal ini kerana peluh manusia adalah kekal suci sebagaimana hukum asalnya melainkan diyakini padanya telah bercampur dengan najis berdasarkan kepada tanda-tanda kenajisannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=peluh. Diakses pada 5 Ogos 2024.

[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Peluh. Diakses pada 5 Ogos 2024.