#6671: Ugutan Bunuh Jika Tidak Melakukan Zina

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya seseorang diugut bunuh jika dia tidak berzina?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, ketahuilah bahawa perbuatan zina itu merupakan satu dosa besar yang boleh menjadi pintu kepada banyak keburukan. Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Allah SWT menyifatkan perbuatan zina itu sendiri sebagai “satu jalan yang jahat,” yakni merupakan seburuk-buruk jalan dan tingkah laku. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/72)

Kemudian, bagaimana pula sekiranya seseorang itu menghadapi satu situasi di mana dia dipaksa untuk melakukan perbuatan zina yang terkutuk ini, dan dia menghadapi ugutan bunuh sekiranya dia tidak melakukannya?

Imam Ibn Rejab al-Hanbali berkata di dalam Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam (hlm. 376), paksaan itu mempunyai dua bentuk:

  • Orang yang dipaksa itu tidak mempunyai pilihan.

Dalam erti kata mudah, dia tidak mempunyai sebarang kemampuan untuk menentang atau menolak paksaan tersebut; seperti orang yang diangkat secara paksa lalu dimasukkan ke dalam satu tempat yang pernah dia (orang dipaksa itu) bersumpah untuk tidak memasukinya, atau orang yang dikawal pergerakan tubuhnya untuk memukul orang lain sehingga mati – dalam keadaan orang itu tidak mampu untuk menghalang paksaan tersebut, atau perempuan yang dibaringkan lalu dia dirogol – dan dia tidak mampu untuk menghalangnya dari berlaku. Kesemua situasi ini tidaklah dihukumkan berdosa menurut persepakatan ulama.

  • Orang itu dipaksa untuk melakukan sesuatu, atau dia akan dicederakan.

Sekiranya dia dipaksa untuk meminum arak dan sebagainya dari perkara-perkara yang haram, jika tidak dia akan dipukul atau dibunuh. Maka dalam situasi ini, diharuskan baginya untuk melakukan perkara haram tersebut. Ini adalah pandangan majoriti ulama seperti Imam al-Syafi‘i, Imam Abu Hanifah, riwayat yang masyhur dari Imam Ahmad, dan ini pendapat ‘umar bin al-Khattab.

Mereka beristidlalkan firman Allah SWT:

ءَاتَىٰكُمْ ۚ وَلَا تُكْرِهُوا۟ فَتَيَـٰتِكُمْ عَلَى ٱلْبِغَآءِ إِنْ أَرَدْنَ تَحَصُّنًۭا لِّتَبْتَغُوا۟ عَرَضَ ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا ۚ وَمَن يُكْرِههُّنَّ فَإِنَّ ٱللَّهَ مِنۢ بَعْدِ إِكْرَٰهِهِنَّ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba perempuan kamu melakukan pelacuran kerana kamu inginkan kesenangan hidup di dunia sedangkan mereka mahu menjaga kesucian diri mereka. Sesiapa yang memaksa mereka, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Pengampun terhadap mereka setelah mereka dipaksa, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Nur: 33)

Peristiwa yang hampir sama pernah berlaku pada zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khattab R.A. Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami meriwayatkan:

أُتِيَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ بِامْرَأَةٍ جَهَدَهَا الْعَطَشُ، فَمَرَّتْ عَلَى رَاعٍ فَاسْتَسْقَتْ فَأَبَى أَنْ يَسْقِيَهَا إِلَّا أَنْ تُمَكِّنَهُ مِنْ نَفْسِهَا، فَفَعَلَتْ، فَشَاوَرَ النَّاسَ فِي رَجْمِهَا، فَقَالَ عَلِيٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: هَذِهِ مُضْطَرَّةٌ، أَرَى أَنْ نُخْلِيَ سَبِيلَهَا، فَفَعَلَ

Maksudnya: “‘Umar bin al-Khattab R.A pernah didatangi oleh seorang wanita (yang menceritakan suatu ketika) dia sangat kehausan. Ketika dia bertemu dengan seorang pengembala, dia meminta air, tetapi pengembala itu enggan memberikannya kecuali jika dia membiarkan dirinya disentuh. Wanita itu pun bersetuju. Kemudian, Umar meminta pendapat orang ramai mengenai hukuman rejam ke atas wanita tersebut. ‘Ali R.A berkata: ‘Wanita ini dalam keadaan terdesak, aku berpendapat kita harus membiarkannya pergi,’ dan Umar pun melepaskannya.”

Riwayat al-Baihaqi (17506), dan al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil (7/341) menilai sanadnya baik.

Imam Ibn al-Qayyim berkata mengenai hadith ini: Beramal dengan hukum ini, sekiranya seorang wanita itu sangat terdesak untuk mendapatkan makanan atau minuman dari seorang lelaki, kemudian lelaki tersebut enggan memberikannya melainkan dengan tubuh wanita itu sebagai ganti, dalam keadaan wanita itu khuatir akan kecelakaan dirinya lalu dia memberikan tubuhnya, dia tidaklah dihukumkan berdosa.

Jika dikatakan: “Adakah dalam keadaan tersebut, wanita itu boleh memberikan tubuhnya? Atau dia wajib bersabar meskipun dia akan mati?”

Dijawab: Ketika itu dia dihukumkan sebagai orang yang dipaksa untuk berzina, seperti orang yang diugut: “Bagi aku tubuh engkau atau aku bunuh engkau?” Orang yang dipaksa ini tidaklah dijatuhkan hukuman penzina ke atasnya, dan dia boleh untuk mengelakkan dibunuh dengan melakukan demikian. Sekiranya wanita itu bersabar, nescaya itu lebih afdhal dan baik baginya, dan dia tidaklah wajib untuk menyerahkan dirinya. (Lihat al-Turuq al-Hukmiyyah, hlm. 80)

Begini juga situasinya bagi lelaki yang dipaksa untuk melakukan zina, sebahagian ashab Abu Hanifah, al-Malikiyyah dan pandangan yang dipilih dalam kalangan al-Syafi‘iyyah adalah: Lelaki yang dipaksa tersebut tidak dijatuhkan ke atasnya hukuman penzina kerana syubhah paksaan itu. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/24)

Imam al-Nawawi memperincikan lagi masalah ini, menurut beliau ada dua perkara yang tetap tidak dibenarkan meskipun dalam keadaan terpaksa; dipaksa membunuh, dan dipaksa berzina. Adapun membunuh ini memang jelas hukumnya berdasarkan persepakatan ulama.

Manakala zina pula, jika seseorang itu dipaksa dalam keadaan dia diberikan pilihan, sama ada berzina atau dibunuh, maka berdosa hukumnya sekiranya dia memilih untuk berzina. Akan tetapi jika dia tidak mempunyai sebarang pilihan, seperti wanita yang diikat dan tidak mampu untuk melawan, maka tidaklah berdosa. Beginilah pendapat yang dipegang oleh fuqaha’ al-Syafi‘iyyah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/12)

Di dalam kitab Minhaj al-Talibin pula, Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa fuqaha’ al-Syafi‘iyyah sendiri mempunyai dua pendapat, dan perbezaan ini kerana satu sebab, iaitu adakah mungkin berlaku keterpaksaan untuk berzina ini.

Pertama: Orang yang dipaksa untuk berzina itu tidak berdosa dan tidak dijatuhkan hukuman kerana syubhah paksaan itu. Ini kerana mereka lebih cenderung bahawa kemungkinan boleh berlaku paksaan. Kedua: Wajib dijatuh hukuman ke atasnya, kerana kemaluan tidak boleh menegang melainkan dengan disertai syahwat dan pilihan. Ini kerana mereka lebih cenderung bahawa mustahil boleh berlaku paksaan.

Pandangan yang lebih tepat adalah pandangan pertama, kerana paksaan itu berkemungkinan boleh berlaku, dan kemaluan pula mampu untuk menegang secara tabiatnya apabila ia disentuh.

Perselisihan hukum ini pada hakikatnya apabila orang yang dipaksa itu adalah lelaki. Sekiranya orang yang dipaksa itu perempuan, tidak ada perselisihan pada hukumnya iaitu tidak berdosa dan tidak dikenakan had zina. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/188; Bidayah al-Muhtaj, 4/186)

Kesimpulan

Kami nyatakan terdapat sebuah hadith Rasulullah SAW: Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”

Riwayat Ibn Majah(2045) dan Riwayat Ibn Hibban (7219). Hadith ini dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah.

Ibn Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini bahawa — yang paling jelas menurut beliau — seseorang yang terlupa atau tersilap itu adalah dimaafkan. Dalam erti kata lain, terangkat dosa daripada kedua-duanya kerana suatu dosa itu dikenakan berdasarkan tujuan dan niat. Sedangkan orang yang terlupa dan tersilap, keduanya tidak ada niat ketika melakukannya, maka tiada dosa dikenakan kepada mereka. Adapun terangkat hukum daripada keduanya, maka ini bukanlah kehendak yang dimaksudkan daripada nas ini. Oleh itu, bagi mensabitkan dan menafikannya memerlukan kepada dalil yang lain. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 2/369. )

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimullah menyebut: “Hadis ini mempunyai manfaat yang menyeluruh kerana terdapat tiga perkara yang selalu dibahaskan di dalam permasalahan figh bahkan ada juga yang mengatakan bahawa hadis ini adalah sebahagian daripada syariat. Ini kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh seorang yang mukallaf tidak terlepas daripada dua hal; sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Adapun yang tidak sengaja itu merangkumi dua lagi perkara iaitu sama ada terlupa ataupun dipaksa melakukannya.” (Lihat al-Fath al Mubin, hlm. 606-607).

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas sekali bahawa perbezaan hukum berkenaan orang yang dipaksa untuk berzina ini apabila orang yang dipaksa itu adalah lelaki sahaja; kerana khilaf dikalangan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah ini timbul apabila mereka cuba menggambarkan sama ada situasi lelaki terpaksa untuk berzina ini boleh berlaku atau tidak pada hakikatnya.

Menurut pandangan yang paling rajih dalam mazhab, lelaki yang diugut dan dipaksa untuk melakukan zina, dia tidaklah berdosa sekiranya dia benar-benar tidak mempunyai pilihan lain dan dia tidak juga dijatuhkan hukuman zina. Adapun sekiranya dia diugut bunuh sekiranya tidak berzina, bersabar atas kematian itu adalah pilihan yang lebih baik baginya, dan tidak menjadi satu dosa jika dia pilih untuk menyelamatkan nyawanya dengan terpaksa melakukan zina.

Situasi ini amatlah jarang berlaku, dan kami menyeru kepada mereka yang diuji dengan situasi begini untuk memperbanyakkan taubat serta memohon agar perbuatannya itu diberikan pengampunan oleh Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam