#6675: Menggunakan Minyak Pelincir Ketika Melakukan Hubungan Intim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya mengalami masalah kekeringan faraj, jadi saya akan sedikit sakit apabila bersama suami. Lalu dicadangkan kepada saya untuk menggunakan produk-produk atau minyak pelincir. Soalan saya, bolehkah saya menggunakan atau memakai minyak pelincir itu, dan apakah pandangan Islam mengenainya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya seorang suami diharuskan untuk menikmati secara seksual setiap bahagian tubuh isterinya melainkan menyetubuhi isterinya pada dubur sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (4/84). Begitu juga diharuskan untuk bermain-main secara seksual antara suami dan isteri secara intim dan mesra, sebelum memulakan persetubuhan, dengan syarat selagi mana tidak membawa kepada kerosakan. Perkara ini berdalilkan firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ

Maksudnya:Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu.

(Surah al-Baqarah: 223)

Ayat di atas bermaksud, Isteri-isteri kamu adalah tempat kamu bercucuk tanam, melahirkan anak-anak untuk kamu; seperti tanah yang mengeluarkan buah-buahan. Maka datangilah tempat bercucuk tanam itu — iaitu faraj — dari mana-mana arah yang kamu suka dan bagaimana cara pun yang kamu suka asalkan di faraj. Dan sediakanlah untuk diri kamu dengan melakukan kebaikan, termasuklah seorang lelaki menggauli isterinya dengan niat mendekatkan diri kepada Allah dan berharap mendapatkan zuriat yang soleh. Bertakwalah kepada Allah dengan mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, termasuklah apa yang telah disyariatkan kepada kamu mengenai wanita. Ketahuilah bahawa kamu akan menemui-Nya pada hari kiamat, berdiri di hadapan-Nya, dan Dia akan membalas kamu berdasarkan amalan-amalan kamu. Dan berilah berita gembira — wahai Nabi — kepada orang-orang beriman dengan apa yang menggembirakan mereka ketika bertemu Tuhan mereka, iaitu nikmat yang kekal dan melihat wajah-Nya yang mulia. (Lihat al-Mukhtasar fi Tafsir al-Quran al-Karim, hlm. 35).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, penggunaan produk atau minyak pelincir ketika melakukan hubungan kelamin suami isteri, tujuannya adalah bagi membantu mengurangkan ketidakselesaan dan kekeringan faraj, terutamanya bagi wanita yang mula mengalami menopaus.[1]

Pada asasnya penggunaan alat-alat bantuan seks bagi tujuan hubungan kelamin suami isteri adalah diharuskan selagi mana tidak memudaratkan dan tidak najis, termasuklah dalam jenis alat bantuan itu, minyak atau produk pelincir. Ini adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Bahkan perkara ini adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-15 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Menggunakan Alat-Alat Bantuan Untuk Tujuan Hubungan Kelamin. Muzakarah telah memutuskan bahawa harus menggunakan alat bantuan untuk tujuan hubungan kelamin selagi mana ia tidak memudaratkan dan tidak najis. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, terbitan JAKIM, hlm. 161).

Selain daripada itu, Markaz al-Fatwa di bawah seliaan Dr. Abdullah al-Faqih juga  pernah diajukan soalan berkenaan, adakah dibenarkan menggunakan minyak seksual (pelincir) dan mainan seksual yang tidak berbahaya seperti alat kelamin tiruan untuk meningkatkan keseronokan antara suami isteri?

Mereka menjawab, tidak dibenarkan bagi suami untuk memasukkan alat kelamin tiruan ke dalam faraj isterinya, dan tidak dibenarkan juga bagi isteri untuk melakukannya, kerana ia boleh menyebabkan kebiasaan kepada perilaku yang menyimpang, serta termasuk dalam perbuatan yang dilarang seperti yang disebut dalam firman Allah SWT:

إِلَّا عَلَىٰٓ أَزْوَٰجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ ٦ فَمَنِ ٱبْتَغَىٰ وَرَآءَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْعَادُونَ

Maksudnya: “Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela (6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

(Surah al-Mukminun: 6-7)

Namun, tidak ada halangan menggunakan minyak yang disebutkan untuk membantu suami dalam berhubungan intim dengan isterinya demi menjaga kehormatannya, dengan syarat minyak tersebut selamat digunakan dan tidak membahayakan penggunanya. (Lihat al-Fatawa al-Mu‘asirah fi Hayah al-Zaujiyyah, 1/253).[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan menggunakan produk atau minyak pelincir dengan cara menyapunya pada kemaluan untuk memudahkan proses hubungan intim. Bahkan mungkin perkara itu digalakkan bagi memudahkan proses hubungan kelamin tersebut, supaya tiada seorang pun daripada pasangan yang merasa sakit. Sekalipun begitu, keharusan ini adalah tertakluk selagi mana kandungan atau bahan-bahan dalam produk dan minyak pelincir itu suci dan bukannya najis, serta tidak memudaratkan penggunanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://hellodoktor.com/seks-hubungan/petua-seks/pelincir-seks-ketika-bersetubuh/. Diakses pada 5 Ogos 2024.

[2] Lihat https://ketabonline.com/ar/books/15797/read?part=1&page=253&index=4333555. Diakses pada 5 Ogos 2024.