#6679: Solat Taubat sebelum Selesai Qadha Solat Fardhu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Orang yang tinggal solat yang masih dalam usaha mengqada solat tetapi belum habis kerana solat yang ditinggal selama 4 tahun lebih ketika awal baligh disebabkan duduk dengan orang yang tidak solat. Soalannya bolehkah orang sebegini mengerjakan solat sunat yg lain? Sedangkan dia belum habis mengqada solat fardu iaitu masih dalam proses qada? Contoh solat sunat hajat. Taubat dan lain-lain. Saya mahukan kepastian.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

(Surah al-Baqarah: 238)

Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)

Jika pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka hendaklah kita menggantikan solat-solat fardu itu semampu kita kerana itu dikira hutang yang wajib kita langsaikan. Sabda Rasulullah SAW:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Qada’ solat fardhu adalah wajib berdasarkan nas di atas, bahkan tuntutan solat adalah amat serius. Dengan sebab itu, Rasulullah SAW bersabda:

Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: “Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.”

Riwayat Tirmizi (2621), Ahmad (22987), Ibnu Majah (1079) dan Nasa’ie (463)

Kesimpulan

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan menggantikan atau mengqadha solat fardu yang ditinggalkan adalah wajib. Namun, untuk melakukan solat sunat yang lain, ia dibolehkan sebagaimana fatwa yang dinukilkan oleh al-‘Allamah Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husain bin ‘Umar Ba ‘Alawi al-Hadhrami dengan syarat, kelonggaran tersebut tidaklah menyebabkan seseorang itu bermudah-mudahan dengan kewajiban qadha’ solat. Wallahu a’lam.

Begitu juga, kami katakan ada sembahyang mempunyai sebab-sebab yang tertentu (min zawati al-asbab). Justeru, hendaklah kita raikan seperti solat sunat tahiyyatul masjid, solat sunat Hari Raya, solat sunat rawatib dan lain-lain.

Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak untuk marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (41-42)