#6685: Sujud Syukur Dilakukan Secara Terbuka atau Diam-diam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ketika ini saya melihat ramai orang melakukan sujud syukur di hadapan khalayak ramai atau secara terang-terangan. Apabila seseorang mendapat khabar gembira, dia segera sujud syukur, disaksikan oleh orang lain. Sebenarnya, ketika sujud syukur, adakah ia harus dilakukan secara terang-terangan atau tersembunyi tanpa dilihat orang lain? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras’.”

(Surah Ibrahim: 7)

Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. Namun, sekiranya dia mengingkari nikmat itu, maka sesungguhnya azab Allah sangatlah pedih. Perkara tersebut adalah dengan menarik kembali nikmat itu daripada diri mereka dan menyeksa mereka disebabkan oleh pengingkaran terhadap nikmat tersebut. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni, 2/291)

Dikatakan juga bahawa “لَأَزِيدَنَّكُمْ” di sini bermaksud Allah SWT akan tambahkan lagi kepada mereka ketaatan kepada-Nya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 330)

Syukur merupakan pengiktirafan terhadap kurniaan Tuhan dengan memujinya. Hakikatnya menzahirkan atas kesan nikmat pada lidah, hati dan anggota badan di mana lidah memuji, hati mengiktiraf dan anggota badan melakukan mengikut apa yang diredhai-Nya (Lihat Madarij al-Salikin, 2/244). Syukur pada istilah ialah seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi, 1/22)

Sedangkan takrif sujud syukur sebagai sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau tertolak bala. (Lihat Hasyiah al-Qalyubi, 1/208).

Terdapat riwayat daripada para sahabat yang mana turut juga melakukan sujud syukur ketika menerima satu perkhabaran yang gembira. Sebagai contoh, diriwayatkan bahawa Abu Bakar al-Siddiq R.A sujud syukur ketika pembukaan Yamamah dan mendengar perkhabaran Musailamah al-Kazzab dibunuh. Begitu juga Ali R.A telah sujud syukur apabila mendapati bahawa Zu al-Thudayyah daripada kalangan Khawarij telah terbunuh. Seterusnya, diriwayatkan juga bahawa Ka‘ab bin Malik telah sujud syukur ketika mana mendengar khabar bahawa taubatnya telah diterima oleh Allah SWT.

Disunatkan untuk melakukan sujud syukur ketika mana menerima kurniaan nikmat daripada Allah SWT seumpama kelahiran anak, mendapat harta, pangkat, lulus peperiksaan dengan cemerlang dan juga selainnya. Begitu juga disunatkan untuk sujud syukur ketika mana kita terbebas dari segala bala dan bencana sepertimana terselamat dari kemalangan, gempa bumi dan juga perkara-perkara yang tidak baik.

Sepertimana dijelaskan, inilah pendapat Imam al-Syafi‘i (begitu juga pendokong mazhab al-Syafi‘i), Ahmad bin Hanbal (begitu juga pendokong mazhab Hanbali), Ishaq, Abu Thaur dan juga Ibn al-Munzir. Adapun al-Nakha‘ie, Malik dan juga Abu Hanifah berpendapat bahawa sujud syukur adalah makruh (Lihat al-Mughni, 1/449 dan al-Majmu‘, 4/70). Namun, terdapat juga pendapat sebahagian Malikiyyah yang mengatakan bahawa sunatnya sujud syukur.

Imam al-Syaukani berkata: Yang dimaksudkan ialah nikmat yang baru yang boleh didapati dan juga yang tidak boleh didapati. Oleh sebab itu, Nabi SAW tidak sujud melainkan apabila nikmat itu nikmat yang baru di samping terdapat juga nikmat-nikmat Allah yang lain kepada Baginda. ( Lihat al-Sail al-Jarar, 1/175).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dinyatakan, ulama al-Syafi‘iyyah menjelaskan bahawa sesiapa yang sujud kerana mendapat nikmat atau terlepas daripada musibah yang tidak berkaitan melainkan dengan diri orang yang sujud, maka disunatkan/dianjurkan untuk menzahirkan sujud tersebut. Namun, jika seseorang sujud kerana bala yang menimpa orang lain dan orang tersebut bukan dalam keadaan uzur, seperti orang fasik, maka dia hendaklah menzahirkan sujud tersebut dengan harapan orang itu akan bertaubat. Jika orang tersebut dalam keadaan uzur, seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh dan seumpamanya, maka dia hendaklah menyembunyikan sujud tersebut supaya tidak menyakitkan hati orang itu.

Manakala ulama Hanabilah pula menyatakan bahawa sujud ketika melihat orang yang ditimpa musibah, jika musibah tersebut berkaitan dengan agamanya, maka dia sujud sama ada di hadapannya atau tidak, dan mengucapkan:

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي عَافَانِي مِمَّا ابْتَلاَكَ بِهِ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah menimpamu.”

Jika musibah tersebut berkaitan dengan badannya (fizikalnya), maka dia hendaklah sujud dan mengucapkan perkara yang sama, tetapi menyembunyikan hal itu daripadanya dan memohon kepada Allah untuk kesejahteraan. Ibrahim al-Nakha‘i menyebutkan, mereka tidak suka memohon kesejahteraan kepada Allah di hadapan orang yang ditimpa musibah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/250).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, jelaslah bahawa menurut para ulama, menzahirkan sujud syukur atau menyembunyikannya bergantung pada situasi dan keadaan tertentu. Ringkasnya, jika dia sujud kerana mendapat nikmat atau terlepas daripada musibah yang tidak berkaitan melainkan dengan dirinya, maka dianjurkan untuknya menzahirkan sujud tersebut. Namun, jika seseorang sujud kerana bala yang menimpa orang lain dan orang tersebut bukan dalam keadaan uzur, seperti orang fasik, maka dia hendaklah menzahirkan sujud tersebut dengan harapan orang itu akan bertaubat. Jika orang tersebut dalam keadaan uzur, seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh dan seumpamanya, maka dia hendaklah menyembunyikan sujud tersebut supaya tidak menyakitkan hati orang itu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”