Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah boleh meracun pokok besar di tepi rumah kerana daun-daun gugur ke halaman rumah terlalu banyak, setiap hari gugur dengan banyak.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan membawa satu kaedah fiqh yang menyebutkan:
الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Asal sesuatu perkara itu adalah harus sehingga datangnya dalil yang mengharamkannya.”
Kata Imam al-Suyuti, inilah pandangan yang dipegang Mazhab al-Syafi‘i. Adapun Mazhab Imam Abu Hanifah berpergang pada kaedah yang berlawanan: “Asal sesuatu perkara itu adalah haram sehingga datangnya dalil yang mengharuskannya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/60)
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith:
الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”
Riwayat Muslim (223)
Dalam riwayat yang lain, Baginda SAW menggalakkan umat Islam untuk membersihkan kawasan rumah bagi menyelisihi kaum Yahudi yang tidak suka membersihkan rumah mereka. Daripada Sa‘d bin Abi Waqqas R.A, Rasulullah SAW bersabda:
طَهِّرُوا أَفْنِيَتَكُمْ، فَإِنَّ الْيَهُودَ لَا تُطَهِّرُ أَفْنِيَتَهَا
Maksudnya: “Bersihkanlah perkarangan rumah kalian, sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan perkarangan rumah mereka.”
Riwayat al-Tabarani (4057)
Meskipun terdapat sedikit kritikan terhadap hadith Sa‘d bin Abi Waqqas R.A ini, akan tetapi kita dapat mengambil ibrah darinya bahawa Islam amat mementingkan kebersihan rumah. Tidak sewajarnya bagi seorang muslim untuk bermalas-malasan membersihkan rumah atas alasan tidak mempunyai masa. Berusahalah dan carilah masa yang sesuai, meskipun pembersihan itu dikerjakan pada malam hari.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami katakan sekiranya pokok tersebut tidak bertuan yakni bukan kepunyaan jiran atau seumpamanya, maka dibolehkan untuk meracunnya bagi menjaga kebersihan. Namun, sekiranya ia kepunyaan jiran, maka berbincanglah secara baik bagi menyelesaikan masalah ini tanpa ada perasaan yang terguris dalam hidup berjiran.
Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan, dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam.