#6693: 8 Zulhijjah Dinamakan Tarwiyah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapakah 8 Zulhijjah dinamakan sebagai hari Tarwiyah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالْفَجْرِ (1) وَلَيَالٍ عَشْرٍ (2)

Maksudnya:Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

(Surah al-Fajr: 1-2)

Maksud 10 malam dalam ayat di atas ialah 10 hari terawal Zulhijjah. Inilah pendapat yang sahih yang dipegang oleh jumhur ahli tafsir dalam kalangan salaf dan selainnya. Ia juga merupakan pendapat yang sahih daripada Ibn Abbas, yang diriwayatkan daripadanya melalui banyak jalan. (Lihat Lata’if al-Ma‘arif, hlm. 268)

Dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya para ulama berbeza pendapat berkenaan sebab hari kelapan Zulhijjah dinamakan sebagai hari Tarwiyah.

Ibn Qudamah menyebutkan hari Tarwiyah ialah hari kelapan Zulhijjah. Kemudian, beliau menyebutkan dua pendapat ulama berkenaan sebab ia dinamakan sedemikian:

Pertama: Ia dinamakan sebagai hari Tarwiyah kerana para jemaah haji akan mempersiapkan air sebagai bekalan pada hari tersebut untuk digunakan pada Hari Arafah. Ini kerana mempersiapkan air sebagai bekalan diistilahkan sebagai “يَتَرَوَّوْنَ”.

Kedua: Dinamakan sedemikian kerana Nabi Ibrahim AS bermimpi pada malam itu tentang menyembelih anaknya, lalu pada paginya Baginda berfikir, merenung dan tertanya-tanya dalam dirinya sama ada itu adalah mimpi biasa (mainan tidur) atau perintah daripada Allah SWT? Maka hari itu dinamakan sebagai hari Tarwiyah. Apabila malam Arafah, Baginda melihat mimpi yang sama, maka Baginda mengetahui bahawa itu adalah perintah daripada Allah, maka (hari itu pula) dinamakan sebagai hari Arafah. Ini kerana berfikir dan tertanya-tanya diistilahkan sebagai “يَرْوِى”. (Lihat al-Mughni, 5/259-260).

Justeru, hari Tarwiyah ini di sisi Ibn Qudamah mempunyai dua maksud iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim AS mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Mimpi tersebut telah membuatkan Nabi Ibrahim AS tertanya-tanya pada dirinya.

Manakala Imam al-Nawawi pula berpendapat, hari kelapan Zulhijjah dinamakan sebagai hari Tarwiyah kerana mereka membekalkan air bersama mereka dari Makkah. Kemudian, Abd al-Fattah Hussain Rawah al-Makki menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi dengan menyebutkan bahawa dinyatakan dalam al-Hasyiah, ini kerana di Arafah dan Mina tiada air. Secara zahirnya, kata-katanya seperti yang lain menunjukkan bahawa pengumpulan air tidak terikat/terhad kepada air tertentu. Akan tetapi Ibn Khalil mengikatnya dengan air Zamzam. Kemudian, alasan yang disebutkan adalah yang masyhur. Ada juga yang mengatakan, kerana Jibril menunjukkan kepada Ibrahim AS manasik haji pada hari itu, maka jika demikian, ia sepatutnya dinamakan sebagai hari Ara’ (يوم الأراء) dan bukannya hari Tarwiyah. Ada yang mengatakan, kerana pada hari itu Nabi Ibrahim merenung dan tertanya-tanya tentang penyembelihan anaknya.

Ada juga yang mengatakan, kerana pada hari itu Adam melihat Hawa ketika diturunkan ke bumi dan ia juga dinamakan sebagai hari al-Naqalah (يوم النقلة) disebabkan perpindahan mereka ke Mina pada hari itu. Secara zahirnya, Kata-kata beliau menunjukkan bahawa hari ketujuh tidak mempunyai nama (khusus), dan ini jelas dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, tetapi ada yang menyebut bahawa ia dinamakan sebagai hari al-Zinah kerana mereka menghias kenderaan mereka pada hari itu untuk menuju ke Arafah. Namun, aku (Abd al-Fattah Hussain) katakan, dan sekarang, dengan segala puji bagi Allah, air mudah didapati di Arafah, Muzdalifah, dan Mina. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah wa ‘alaihi al-Ifsah ‘ala Masa’il al-Idhah ‘ala Mazahib al-A’immah al-Arba‘ah wa Ghairihim, hlm. 268).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada persoalan di atas, jelas bahawa sebab penamaan hari kelapan Zulhijjah sebagai hari Tarwiyah termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama. Di antaranya adalah kerana perkataan tarwiyah itu sendiri boleh membawa kepada banyak makna. Namun, dalam hal ini — wallahu a‘lam — kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa hari Tarwiyah dinamakan sedemikian kerana mereka mempersiapkan air sebagai bekalan dari Makkah sebelum menuju ke Arafah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”