Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah memilih isteri yang solehah itu memainkan peranan yang penting dalam memastikan masa hadapan anak yang akan dilahirkan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Islam menganjurkan para Muslimin untuk mencari bakal isteri yang solehah kerana mereka ini akan menjadi pasangan hidup yang bersama-sama kita dalam mendidik serta mentarbiah zuriat keturunan yang bakal dilahirkan. Pasangan yang soleh dan solehah ini merupakan nikmat yang sangat besar dari Allah SWT, dan melalui pasangan inilah akan lahirnya zuriat keturunan pewaris generasi kita pada masa akan datang. Allah SWT berfirman:
وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةًۭ
Maksudnya: “Allah menjadikan bagi kamu semua pasangan suami isteri daripada jenismu sendiri dan daripada para isteri kamu Dia menjadikan untuk kamu anak-anak dan cucu-cicit.”
(Surah al-Nahl: 72)
Maka hendaknya seorang lelaki memilih wanita yang solehah, berakhlak mulia dan kuat pegangan agamanya, dan begitu juga sebaliknya bagi wanita. Jangan hanya menjadikan rupa paras sebagai tujuan utama kerana kelak ia boleh menjadi asbab ketidakbahagiaan dan kesengsaraan bagi seorang manusia. Kemudian anak-anaknya akan dibesarkan dalam kemaksiatan dan akhlak buruk. Sebaliknya, wanita yang solehah akan mendidik generasi yang baik. Rasulullah SAW telah memberikan petunjuk mengenai hal ini dan memberitahukan bahwa wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadith riwayat Abdullah bin ‘Amru R.A:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”
Riwayat Muslim (1467)
Imam al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas adalah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221)
Hal ini merujuk kepada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A:
أَلَا أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”
Riwayat Abu Daud (1664)
Rasulullah SAW juga menyebutkan dalam riwayat Sa‘d bin Abi Waqqas R.A bahawa wanita solehah ini merupakan salah satu punca kebahagiaan di dunia. Sabda Baginda:
مِنْ سَعَادَةِ ابْنِ آدَمَ: الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ، وَالْمَرْكَبُ الصَّالِحُ، وَمِنْ شَقَاوَةِ ابْنِ آدَمَ: الْمَرْأَةُ السُّوءُ، وَالْمَسْكَنُ السُّوءُ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ
Maksudnya: “Antara kebahagiaan anak keturunan Adam A.S: Wanita solehah, kediaman yang luas, dan kenderaan yang baik. Antara kesengsaraan anak keturunan Adam A.S pula: Wanita yang buruk, kediaman yang buruk dan kenderaan yang buruk.”
Riwayat Ahmad (1445)
Pemilihan isteri yang terbaik ini sememangnya memberikan kesan dalam melahirkan generasi yang baik, kerana isteri merupakan orang pertama yang akan mentarbiah anak-anak. Ia secara tidak langsung menjadi sebahagian dari tanggungjawabnya di rumah, sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW:
وَالمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا، وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Seorang wanita juga pemimpin terhadap rumah suaminya dan anak-anaknya, maka dia bertanggungjawab terhadap mereka semua.”
Riwayat al-Bukhari (7138)
Zuriat keturunan yang ditarbiah dengan didikan agama yang baik ini pula pada akhirnya akan kembali memberikan manfaat kepada kedua ibu bapanya di dunia dan akhirat kelak. Apabila matinya manusia, semua amal ibadahnya akan terhapus kecuali 3 perkara yang ganjaran pahalanya akan berkekalan sehingga selepas kematian. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَاّ مِنْ ثَلاثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَه
Maksudnya: “Apabila matinya anak Adam, maka amalnya terputus kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.”
Riwayat Muslim (1631)
Imam al-Nawawi berkata, setiap amalan orang yang mati terputus disebabkan oleh kematiannya, kecuali tiga perkara tidak terputus yang mempunyai sebabnya. Anaknya adalah daripada hasilnya, begitu juga dengan ilmu yang diajarkannya melalui pembelajaran, begitu juga dengan sedeqah jariah iaitu wakaf. Hadith ini secara tidak langsung menerangkan kelebihan berkahwin untuk mendapatkan anak yang soleh. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/85)
Apabila syari‘at Islam menggalakkan umatnya untuk mencari isteri yang solehah, ia dalam masa yang sama menuntut para bapa selaku wali untuk mengahwinkan anak-anak perempuan mereka dengan lelaki-lelaki yang soleh. Bapa perlu berusaha untuk memilih lelaki yang sesuai, mempunyai akhlak yang terpuji, agamanya baik, aqidahnya benar, mampu untuk memikul amanah, mampu menjaga isterinya dan memenuhi segala hak-haknya, serta yang menyayangi dan memuliakan isterinya. Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا خَطَبَ إِلَيْكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ، فَزَوِّجُوهُ، إِلَّا تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ عَرِيضٌ
Maksudnya: “Apabila seseorang yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang kepada kamu untuk meminang anak kamu, maka hendaklah kamu menikahkan orang tersebut dengan anak perempuan kamu. Jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”
Riwayat al-Tirmizi (1084)
Syeikh Abd al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa sebab terjadinya fitnah dan kerosakan kerana jika kamu tidak menikahkan anak perempuanmu kecuali kepada orang yang mempunyai harta atau pangkat sahaja, maka akan kekal ramai perempuan-perempuan yang tidak akan berkahwin dan akan ramai lelaki yang hidup tanpa isteri, dan akhirnya akan banyak terjadi fitnah perzinaan. Aib tersebut juga boleh menimpa para wali pernikahan sehingga menimbulkan fitnah dan kerosakan, iaitu terputusnya nasab, kurangnya sifat soleh dan kurangnya sifat ‘iffah (menjauhkan diri daripada perkara yang hina). (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/173)
Maka para bapa yang berjaya mencari lelaki yang soleh sebagai pasangan hidup buat anak perempuannya, ketika itu dia telah pun berjaya menyelesaikan amanahnya dan memindahkan tanggungjawab seterusnya kepada lelaki soleh tersebut.
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan di atas, benarlah pemilihan isteri yang solehah itu memberikan kesan kepada tarbiah anak-anak. Dalam pada itu, ayah juga memainkan peranan penting dalam memastikan zuriatnya dapat membesar dengan didikan yang benar. Ini sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW:
وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya: “Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.”
Riwayat al-Bukhari (7138)
Suami dan isteri pastinya mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam rumahtangga, dan sebahagian darinya adalah mendidik anak-anak. Bantu-membantu antara pasangan ini akhirnya akan menatijahkan pengakhiran kebaikan yang dijanjikan Allah SWT, dengan izin-Nya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا
Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”
Wallahu a‘lam.