#6697: Keperluan Memberi Nama yang Baik Kepada Anak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapa ada nama-nama yang tidak sesuai diberikan kepada anak-anak kita, sedangkan nama itu kadang-kadang indah aja bunyinya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sabda Nabi SAW:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ، وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ، وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ .‏

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Dawud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Nama ini boleh menjadi salah satu dari simbolik kemuliaan seorang manusia kerana dengan nama inilah seseorang itu dapat dibezakan dengan individu lain. Islam menggalakkan umatnya untuk memberikan nama-nama yang baik dan tidak memberikan anak-anak sebarang nama yang mempunyai maksud buruk seperti penghinaan atau celaan.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan kalam Imam al-Tabari, katanya, tidak boleh diberikan nama-nama yang buruk maksudnya, atau nama-nama yang membawa maksud penyucian diri, atau nama yang bermakna celaan. Meskipun nama-nama tersebut hanyalah sebagai penanda bagi individu dan bukan bermaksud untuk menunjukkan sifat sebenar, namun sebab kebencian adalah apabila seseorang mendengar nama itu, mereka mungkin berfikir bahawa ia adalah sifat bagi orang yang dinamakan. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW sendiri pernah mengubah nama orang lain kepada suatu nama, yang jika dipanggil dengan nama tersebut, maka sifat nama tersebut menjadi kenyataan. (Lihat Fath al-Bari, 10/577)

Ulama menggariskan sebab mengapa nama-nama yang tidak baik sepatutnya tidak diberikan, iaitu kerana dikhuatiri akan berlakunya perkara-perkara sial atau malang. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/119; Syarh Musykil al-Athar, 4/442)

Imam Ibn al-Qayyim pula menyatakan, antara hikmah mengapa syara‘ melarang nama-nama yang tidak baik adalah bagi mencegah umat Islam dari mendengar sesuatu yang tidak disukai atau terjadinya perkara tersebut, dengan cara mengubah nama-nama yang buruk kepada nama-nama yang tidak mempunyai maksud yang buruk. Dan satu perkara lagi: orang yang mempunyai nama buruk itu dikhuatiri akan beranggapan dan mempercayai bahawa sifat namanya itu benar-benar terdapat pada dirinya, maka dia terlanjur menyucikan diri sendiri (tazkiyah) dan membesarkan dirinya serta meninggikan diri berbanding orang lain. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/313)

Sebaik-baiknya, berilah nama anak-anak kita dengan nama ahli agama dari kalangan para Nabi dan Rasul serta hamba-hamba Allah yang soleh. Niatkan dengan pemberian nama tersebut mereka dapat sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagaimana sifat nama yang diberikan kepada mereka. Ini juga sebagai meneladani contoh agama yang telah memberikan nama-nama dengan maksud yang baik kepada para wali Allah SWT.

Beginilah serba ringkas yang dapat kami kongsikan, semoga kita semua beroleh manfaat daripadanya, di samping berusaha untuk memberikan nama yang terbaik kepada zuriat keturunan. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam