#6699: Nabi Mengetahui Bunyi Itu Adalah Tapak Kaki Bilal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Semasa Rasulullah dipertontonkan syurga Baginda terdengar tapak kaki bilal. Bagaimana Rasulullah tahu bahawa yang bunyi itu tapak kaki Bilal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa benar, terdapat hadith sahih yang menceritakan bahawa Nabi SAW pernah mendengar suara sepasang sandal Bilal di syurga. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal ketika waktu solat Subuh:

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ.

Maksudnya:Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling engkau harapkan yang telah engkau lakukan apabila memeluk Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kasutmu di hadapanku di dalam syurga. Beliau menjawab: ‘Tidak ada amalan yang lebih aku harapkan berbanding apabila aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan mendirikan solat dengan wuduk itu apa yang telah ditakdirkan untuk aku solat.’

Riwayat al-Bukhari (1149)

Seterusnya, berkenaan penyampai atau pemberitahu perkara itu kepada Nabi SAW (dalam mimpi tersebut), para ulama berbeza pendapat mengenainya. Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

رَأَيْتُنِي دَخَلْتُ الجَنَّةَ، فَإِذَا أَنَا بِالرُّمَيْصَاءِ، امْرَأَةِ أَبِي طَلْحَةَ، وَسَمِعْتُ خَشَفَةً، فَقُلْتُ: مَنْ هَذَا؟ فَقَالَ: هَذَا بِلاَلٌ

Maksudnya:Aku melihat diriku (di dalam mimpi) memasuki syurga. Aku terlihat al-Rumaisa’, isteri Abu Talhah (di dalam Syurga). Aku mendengar bunyi tapak kaki maka aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Seseorang menjawab: ‘Dia Bilal.’

Riwayat al-Bukhari (3679)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari ketika menjelaskan lafaz dalam hadith di atas iaitu, “فَقَالَ: هَذَا بِلاَلٌ” (Seseorang menjawab: Dia Bilal), pengucapnya boleh jadi Jibril A.S ataupun malaikat lain, ataupun Bilal sendiri. (Lihat Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 7/31).

Manakala al-Mulla Ali al-Qari pula berpendapat, pengucapnya boleh jadi adalah Jibril A.S atau selainnya daripada kalangan malaikat ataupun penjaga syurga. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 9/3895).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa Nabi SAW mengetahui bahawa itu adalah bunyi tapak kaki Bilal kerana ada seseorang yang menyampaikan/memberitahu kepada Baginda selepas Baginda bertanya mengenainya. Namun, tidak diketahui secara jelas siapakah yang telah menyampaikan kepada Baginda atau dalam erti kata lain siapakah pemberitahu itu. Sebahagian para ulama mengandaikan bahawa boleh jadi pengucap dalam hadith tersebut adalah Jibril A.S, ataupun malaikat selainnya, atau penjaga syurga mahupun Bilal sendiri.

Kami berpendapat, oleh kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib, maka cukuplah kita berpegang kepada zahir hadith bahawasanya ada seseorang yang memberitahu kepada Nabi SAW akan hal itu. Sekalipun tidak dapat dinafikan bahawa kemungkinan pengucapnya adalah Jibril A.S ataupun terdiri daripada kalangan malaikat, mahupun penjaga syurga adalah kukuh (ada kebenarannya).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”