#6706: Menguatkan Bacaan pada Rakaat Ketiga dan Keempat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah dibolehkan bagi Imam untuk menguatkan suara bacaannya pada rakaat ketiga dan keempat dalam solat Isyak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith Rasulullah SAW: Daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Rasulullah SAW:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”

Riwayat al-Bukhari (631)

Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)

Pada asasnya, disunatkan bagi Imam dan orang yang bersolat sendirian untuk menguatkan bacaan dalam dua rakaat solat Subuh, dan dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isyak, serta memperlahankan bacaan dalam solat-solat lain menurut jumhur ulama daripada kalangan Malikiyyah, Syafi‘iyyah, Hanabilah dan mereka yang sependapat dengan mereka. Ini kerana telah sabit daripada Nabi SAW, dan tidak sahih cara selainnya. Imam Ibn Qudamah menyebutkan, Imam menguatkan bacaan dalam solat Subuh dan dua rakaat pertama solat Maghrib dan Isyak, serta menguatkan bacaan pada tempat-tempat ini adalah disepakati anjurannya (sunnahnya), dan tidak ada perselisihan dalam kalangan umat Islam mengenai tempat-tempatnya. Hukum asalnya adalah berdasarkan perbuatan Nabi SAW, dan ia telah dibuktikan/disabitkan melalui penukilan ulama khalaf daripada salaf. (Lihat al-Mughni, 1/569).

Walau bagaimanapun, ulama Hanafiyyah berpendapat, menguatkan bacaan adalah wajib dan bukannya sunat. Dinyatakan dalam kitab al-Hidayah (1/74) bahawa sekiranya imam menguatkan bacaan di tempat yang sepatutnya diperlahankan atau memperlahankan bacaan di tempat yang sepatutnya dikuatkan, maka ia wajib melakukan sujud sahwi kerana dia telah menguatkan bacaan di tempatnya dan memperlahankan bacaan di tempatnya adalah daripada perkara-perkara yang wajib.

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, para ulama telah berbeza pendapat berkenaan menguatkan bacaan pada tempat yang sepatutnya diperlahankan atau sebaliknya. Menurut ulama Hanafiyyah dan Malikiyyah, pelakunya dikenakan sujud sahwi; sujud sahwi itu adalah wajib di sisi ulama Hanafiyyah dan sunat di sisi ulama Malikiyyah. Dalam kitab al-Fawakih al-Dawani bagi ulama Malikiyyah (1/206) disebutkan, jika membaca secara kuat di tempat yang sepatutnya diperlahankan, dan secara perlahan di tempat yang sepatutnya dikuatkan; maka dia hendaklah sujud sahwi selepas salam. Namun, jika sujud sahwi ditinggalkan, solatnya tetap dianggap sah.

Manakala di sisi ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah, pelakunya dianggap meninggalkan sunnah, dan solatnya tetap dikira sah serta tidak dikenakan apa-apa ke atasnya. Ini adalah sebagaimana jawapan yang diberikan oleh Da’irah al-Ifta’ al-‘Am.[1]

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, sekiranya seseorang menguatkan bacaan di tempat yang sepatutnya diperlahankan atau sebaliknya, solatnya tidak terbatal dan tidak wajib sujud sahwi, tetapi dia telah melakukan perbuatan yang makruh. Inilah mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i) dan pendapat yang dipegang oleh al-Auza‘i dan Ahmad dalam riwayatnya yang lebih sahih. Manakala Malik, al-Thauri, Abu Hanifah, dan Ishaq berpendapat bahawa wajib sujud sahwi. Dalil kami (mazhab al-Syafi‘i) adalah hadith Abu Qatadah:

وَيُسْمِعُنَا الْآيَةَ أَحْيَانًا

Maksudnya: “Dan terkadang Baginda memperdengarkan (bacaan) kepada kami ayat al-Quran Baginda.”[2] Menurut Imam al-Nawawi, riwayat ini adalah sahih. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390-391).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak dianjurkan bagi Imam untuk menguatkan suara bacaannya pada rakaat ketiga dan keempat dalam solat Isyak. Sebaliknya, disunatkan baginya untuk memperlahankan bacaan pada dua rakaat tersebut — rakaat ketiga dan keempat. Namun, jika dia tetap menguatkan bacaannya pada rakaat ketiga dan keempat, solatnya tetap dikira sah dan tidak terbatal, begitu juga dia tidak diwajibkan untuk sujud sahwi. Meskipun begitu, dia dikira telah melakukan perbuatan yang makruh.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/researchfatwas/3100/حكمجهرالإمامفيموضعالإسرار. Diakses pada 7 Ogos 2024.

[2] Riwayat al-Bukhari (762)