#6709: Ancaman Mereka Yang Suka Berdebat dan Bermusuhan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah ancaman bagi mereka yang suka berdebat dan bermusuh-musuhan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ

Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).”

(Surah al-Baqarah: 204)

Berkaitan dengan permusuhan dalam ayat di atas terdapat padanya 4 pandangan iaitu:

Pertama, dia adalah seorang yang suka berbantah-bantah, ini adalah pandangan Ibn “Abbas.

Kedua, dia adalah seseorang yang tidak lurus dalam pertikaian, tetapi menyimpang, ini adalah pandangan Mujahid dan al-Suddi.

Ketiga, dia adalah seorang pembohong, ini adalah pandangan al-Hasan al-Basri.

Keempat, dia adalah seorang yang sangat keras dalam kederhakaan kepada Allah, ini adalah pandangan Qatadah. (Lihat  al-Nukat wa al-‘Uyun, 1/265 )

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa Allah SWT amat murka terhadap mereka yang sering bermusuhan dan berdebat. Ini kerana perkara tersebut merupakan perkara yang amat tercela yang menyebabkan perpecahan antara muslim. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الرِّجَالِ إلَى اللهِ الأَلدُّ الخَصِمُ

Maksudnya: “Orang yang paling dimurkai oleh Allah SWT ialah penentang yang bersikap sangat keras.”

Riwayat al-Bukhari (4523) Muslim (2668)

Hadith ini memberi amaran terhadap perdebatan yang keterlaluan dan terlalu kerap, iaitu apabila seseorang selesai berdebat, dia terus memulakan perdebatan yang lain, sehingga tiada siapa yang dapat terlepas darinya. Ini akan memudaratkan dirinya dan menyakiti orang lain. Ini juga menyebabkan Allah SWT membenci hamba tersebut; kerana dalam kebanyakan perdebatan yang sengit, orang yang berdebat itu biasanya tidak mencari kebenaran, tetapi ingin menunjukkan kelebihan dan kemenangan atas lawannya walaupun dengan cara yang salah.

Celaan dalam hadith ini ditujukan kepada orang yang berdebat dengan cara yang salah, menggunakan penipuan, kepalsuan, dan kesaksian palsu untuk menundukkan lawannya. Namun, bagi orang yang mempertahankan haknya dan menggunakan hujah syariah dan cara yang betul untuk mencapai kebenaran, dia tidak termasuk dalam kategori perdebatan yang tercela.

Seorang mukmin wajib menjauhi perdebatan yang banyak, menghindari perdebatan yang keterlaluan, menjadi orang yang berlemah-lembut dan berbicara dengan baik, serta tidak berkeras kepala dalam perdebatan sehingga dia dibenci oleh Allah dan manusia. (Lihat Minhah al- ‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/310)

Selain itu, Ibn Rejab al-Hanbali menyatakan: Jika seseorang lelaki memiliki kemampuan dalam perdebatan, sama ada perdebatan tersebut berkaitan dengan agama atau dunia, sehingga dia mampu memenangkan kebatilan dan membuat pendengar menyangka bahawa kebatilan itu adalah kebenaran, serta melemahkan kebenaran dan menjadikannya kelihatan seperti kebatilan, maka perbuatan itu adalah antara yang paling buruk dan merupakan sifat nifaq yang paling keji. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/254)

Justeru,  sikap permusuhan yang membawa kepada perdebatan yang merosakkan hubungan sesama Muslim perlu dielakkan kerana ia merupakan sikap yang tercela. Malah, Allah memberi ancaman kepada mereka yang suka berbantah-bantah dan berdebat. Oleh yang demikian, menjauhi sifat suka berdebat dan bermusuhan membantu kita menjaga hati dan akhlak, kerana perdebatan sering kali membawa kepada perasaan marah, benci, dan dendam. Di sini kami juga ingin menasihati, sekiranya terdapat sebarang konflik, maka hendaklah mencari penyelesaian secara baik, bukan dengan cara berdebat dan bermusuh-musuhan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam.